top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

ZAKIR NAIK & "ILMU PERBANDINGAN AGAMA (?)"

Oleh: A. Muziru Idham


Amaran: Tulisan ini tidak sesuai dibaca oleh orang yang tidak boleh bertoleransi dan berlapang dada, lebih-lebih lagi tentang isu Zakir Naik. Dibimbangi pembacaan terhadap tulisan ini akan menimbulkan alergik yang teruk. Sebarang risiko seperti gelora emosi, panas baran, rasa panas-panas badan, terkeluar kata-kata kesat, dan sebagainya adalah di bawah tanggungan para pembaca sendiri.


Isu Zakir Naik timbul tepat pada waktunya, iaitu pada bulan Ogos - bulan di mana rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-62. Apabila timbul isu Zakir Naik, maka ia telah menimbulkan reaksi masyarakat Malaysia yang terbahagi kepada dua kelompok, iaitu kelompok yang menyokong Zakir Naik atas alasan beliau adalah tokoh ilmu perbandingan agama yang telah berjasa kepada agama Islam, dan kelompok yang meminta Zakir Naik keluar daripada Malaysia kerana keberadaannya yang boleh menimbulkan ancaman kepada ketenteraman dan perpaduan rakyat Malaysia.


Dan ada juga kelompok yang ketiga, iaitu yang membenarkan sahaja Zakir Naik tinggal di Malaysia tapi perlu diam daripada menyampaikan ceramah di mana-mana. Saya mengakui bahawa saya adalah dalam kelompok ini. 


Alasan saya begini: Keberadaan Zakir Naik di Malaysia sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru pun. Serasa saya, dia telah menetap di Malaysia sudah hampir 2 tahun. Tahun lepas saya pernah solat Jumaat berhampiran dengannya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Waktu itu, ada lah beberapa isu yang berkaitan keistimewaan yang ingin diberikan kepadanya oleh beberapa ahli politik, tapi sekadar tenggelam timbul disebabkan Zakir Naik belum memunculkan dirinya secara eksklusif di mana-mana lagi. Jadi, tidak ada isu pun sebenarnya dia ada di Malaysia kalau dia diam dan tidak buat penampilan di mana-mana.


Kita pun tahu bahawa dia sedang diburu oleh kerajaan India atas beberapa tuduhan kesalahan jenayah yang akhirnya dinafikan oleh Interpol sendiri. Kita pun tahu apa nasibnya akan jadi bagaimana kalau dia dihantar pulang ke India. Ada juga cadangan agar dia lebih baik tinggal di Arab Saudi kerana sudah tentu Arab Saudi akan suka untuk memberikan taraf permastautin tetap ataupun warganegara kepadanya. Pun saya setuju juga kalau begitu lebih munasabah. Pendirian saya, sama ada di mahu tinggal di sini ataupun ke negara lain, tidak ada masalah kalau dia boleh bersikap seperti seorang rakyat asing yang menumpang di Malaysia untuk sementara waktu.


Tapi, tepat sahaja bulan Ogos 2019, iaitu bulan kemerdekaan dan perpaduan nasional, entah kenapa watak Zakir Naik tiba-tiba timbul dalam arus perdana. Dia mula keluar daripada gua dan mula dibawa  ke pentas-pentas ceramah. Sokongan paling padu yang banyak dia terima adalah daripada tokoh-tokoh agama daripada sebelah utara dan anak-anak muridnya di Malaysia. Dengan watak salafi yang Zakir Naik bawa dalam dirinya, maka sudah tentu dia akan lebih mudah diterima oleh golongan salafi dan dipertahankan atas nama agama. Malaysia mulai riuh apabila seorang Zakir Naik telah mula memunculkan dirinya di khalayak awam dan ramai yang menyokong; juga ramai yang menentang. 


Yang menyokong, akan pertahankan Zakir Naik atas alasan jasanya dalam ilmu perbandingan agama. Zakir Naik dilihat sebagai seorang yang telah hafal kitab suci Islam, Kristian, dan Hindu dengan baik dan mampu menyebut dengan pantas kitab apa, bab yang mana, ayat berapa, dan halaman berapa dengan pantasnya di atas pentas. Malah, Zakir Naik dianggap sebagai wira Muslim apabila dia telah berjaya mengIslamkan ribuan orang yang terkagum oleh petah-petah bicaranya ketika berdakwah di atas pentas. 


Namun begitu, sesuatu yang perlu diteliti semula adalah, apa yang Zakir Naik bentangkan itu bukanlah sebuah kaedah ilmu perbandingan agama yang betul. Ilmu perbandingan agama diajar dan dipelajari bukan bertujuan menjadikan penuntutnya memandang rendah agama lain atau mencari-cari kesalahan dalam agamanya itu. Itu bukan ilmu perbandingan agama. Itu ilmu jidal (perdebatan) namanya. 


Ilmu perbandingan agama yang sebenar adalah mempelajari sisi-sisi agama lain bertujuan memahami kandungan agama tersebut dengan cara yang betul bagi mencari persefahaman yang mengharmonikan masyarakat dan membetulkan salah faham. Apabila mempelajari tentang agama orang lain, kita mengkaji teks dan doktrin agama mereka dengan disiplin tafsiran daripada ajaran agama mereka sendiri, bukannya memahaminya daripada sudut kerangka agama kita. Ilmu yang tidak dipelajari dan difahami daripada disiplin yang betul akan mengundang kepada kerosakan yang sangat besar.


Sesebuah ilmu tidak dibangunkan untuk tujuan menghancurkan atau merosakkan ilmu orang lain. Kalau ilmu tersebut difahami dengan nada superiority dan merendah-rendahkan kefahaman ilmu dan kepercayaan orang lain, bermakna ilmu tersebut ada masalah besar dari segi metodologi dan hakikatnya. 


Saya teringat ketika saya melawat perpustakaan ISTAC sekitar tahun 2013 yang lalu, saya begitu kagum amat apabila melihat ada beberapa buah rak buku yang besar khusus memuatkan kitab-kitab tafsir bagi agama Kristian. Saya tidak pasti apakah rak-rak itu masih ada lagi ataupun tidak. Tapi bayangkanlah, sebuah agama yang telah muncul lebih daripada 2000 tahun, malah muncul beberapa ratus tahun lebih awal pula daripada Islam, sudah tentulah ilmunya berkembang dengan sangat luas dan metodologinya semakin kompleks. Agak-agaknya, Zakir Naik sudah belajar ataupun tidak sebahagian kitab-kitab tafsir agama Kristian yang berkoyan-koyan itu? Cuba bayangkan pula pendakwah Kristian menafsir agama Islam dengan kerangka faham doktrin agama Kristian, apakah betul cara itu dan apakah kita dapat menerimanya?


Masalahnya, itulah yang dilakukan oleh Zakir Naik selama ini. Dia membicarakan teks-teks agama orang lain dengan sudut kerangkanya dan tidak belajar untuk memahami apakah tafsiran asal dan disiplin sebenar yang difahami dalam agama tersebut. Setiap agama ada  kaedah tafsiran masing-masing yang tidak boleh dipakai sekadar dengan logik agama kita. Sebab itulah ramai agamawan daripada Kristian dan Hindu tidak dapat menerima metod Zakir Naik. Sudah tentulah mereka marah. Sebab seseorang seperti Zakir Naik telah menyebabkan banyak tafsiran agama orang lain terpesong daripada pemaknaannya yang sebenar. Kepandainya dalam retorik berhujah menjadikan penyampaian-penyampaian begitu memukau. Di mana-mana pun, orang yang pandai berhujah dan beretorik sentiasa akan menjuarai persepsi masyarakat walaupun belum tentu apa yang disampaikan itu semuanya adalah betul. 


Kerosakan telah ditimbulkan, dan proses nak membetulkan semula adalah jauh lebih sukar, apatah lagi kalau persepsi masyarakat telah jatuh dan rosak. Seorang Zakir Naik telah menyebabkan definisi dan metodologi sebenar bagi ilmu perbandingan agama telah rosak dalam kefahaman ramai orang. Itu yang berlaku. Masalah berlaku apabila sebahagian umat Melayu-Islam melihat Zakir Naik itu seperti seorang Nabi yang mesti dipertahankan. 


Sebelum sidang pembaca tulisan saya ini terus berasap-asap, wajar juga saya memberitahu dan menekankan semula bahawa saya juga tidak setuju untuk Zakir Naik dihantar semula ke India. Kita tahu bagaimana nasibnya kalau dihantar ke India. Ianya ibarat orang mengantuk disorongkan bantal saja kepada parti BJP di sana. Tidak ada masalah untuk Zakir Naik tinggal di sini. Malah jika dihantar ke negara lain (contohnya Arab Saudi) yang dapat menerima keberadaannya pun baik juga. Isu ini kita perlu tinjau dari sudut kaca mata sains politik.


Tapi untuk seorang Zakir Naik muncul di khalayak awam masyarakat Malaysia, saya tidak setuju. Dia tidak perlu didedah dan dibawa ke pentas ceramah. Masyarakat Malaysia tidak perlu untuk menonton agama-agama selain Islam direndah-rendahkan kerana kita semua sudah sedia ada harmoni di sini untuk hidup tanpa pertelingkahan agama. Tidak perlu hendak dicanang-canangkan debat kalau debat itu hanya sekadar untuk mempromosi pihak berkepentingan ataupun hendak merendah-rendahkan agama orang lain di khalayak umum. Cukup Zakir Naik duduk diam-diam sahaja di Malaysia dan jalani hidup seperti orang biasa.  


Bukan semua benda selesai dengan debat. Yang kita perlukan adalah dialog; dialog harmoni. Sebabnya, debat adalah bertujuan mencari kelemahan dan kesalahan orang, tapi dialog adalah bertujuan mencari persefahaman dan memberi penjelasan. Kalau ada yang salah faham, dialog akan menawarkan pembetulan dan masing-masing menerima perkara yang diperbincangkan itu secara lapang dada. 


Sempena bulan menyambut kemerdekaan yang ke-62 ini, bukan diri kita sahaja yang perlu bebas dan bukan fikiran kita sahaja yang perlu merdeka. Kefahaman ilmu kita juga harus merdeka -- merdeka daripada korupsi. Bagaimana korupsi ilmu itu berlaku? Iaitulah apabila kita mula merasakan bahawa kesalahfahaman ilmu yang kita terima itu adalah kebenaran, dan kebenaran sebenar yang sepatutnya kita pegang telah kita tinggalkan. Kita tidak mempelajari kaedah ilmu perbandingan agama yang betul menyebabkan kita mengangkat orang yang salah untuk dianggap sebagai ilmuwan perbandingan agama.


Kalau ilmu yang kita terima itu (seperti ilmu perbandingan agama kononnya) sampai menjadikan kita lebih menghakimi agama orang lain dan merendah-rendahkan agama mereka, ternyata ada masalah dalam ilmu yang kita terima. Sebab sepatutnya ilmu yang kita terima dalam memahami perbezaan dan persamaan dengan agama orang lain menjadikan kita lebih menghormati kepercayaan orang lain.


Kalau ilmu yang kita belajar itu lebih menjadikan kita sibuk untuk mencari-cari kesalahan daripada agama orang lain, kelak yang kita akan hadapi ialah kesibukan orang lain pula kelak mencari-cari kesalahan dalam agama kita. Lalu kesan-kesan selanjutnya adalah lebih mengerikan.


Pada akhir sekali, saya tinggalkan sepotong ingatan daripada pesanan dalam al-Qur'an, yang Allah SWT telah lama peringatkan dalam surah al-An'am, ayat 108, yang bermaksud:


"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka tentang apa yang mereka telah lakukan".

720 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page