top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

BENAR YANG ARIF, DIA PEMBUNUH SAYA Farahin W.

Suasana di dalam sini tegang sekali. Semacam sebuah taman yang dilanda badai. Dihempas bah dan ditenggelamkan tsunami. Orang-orang macam mayat yang kaku dan tak lagi menguit. Sejuk. Dan membeku. Saya biarkan pendakwa raya menyumbat semula kapas di hidung. Tiada keperluan bernafas dan hidung saya pun tidak menghidu apa-apa. Di kandang pesalah, saya lihat pembunuh saya yang macam haram jadah. Anak haram ini mesti dijatuhkan hukuman hari ini. Mahkamah pun satu, kain kafan saya dan kuning begini, dan hampir terbuka sepenuhnya baru mahu memanggil saya untuk perbicaraan. Saya rasa marah. Kalau ikutkan, saya mahu hadir dengan muka yang buruk tanpa solekan. Biar semua lari lintang pukang macam nampak hantu.

Saya renung wajah peguam bela yang macam anak haram. Mukanya bersahaja. Macam tak merasakan yang dia bakal diganyang di dalam neraka, dibelit ular dan disengat jengking. Pada masa itu, tulangnya akan patah riuk lalu bercantum semula dan dibelit sekali lagi. Wajahnya macam Zulfakar. Saya tidak tahu. Tapi saya rasa macam Zulfakar. Menyebalkan. Saya benarkan diri saya hadir hari ini bukan kerana mahu berehat dari azab kubur, tapi sebab saya mesti menyatakan kebenaran bahawa orang itu telah membunuh saya. Pembetulan. Membunuh saya dengan kejam.

Begini perbicaraan mereka.

Ketika ditanyakan soalan riaknya bersahaja dan macam saya katakan tadi, macam haram jadah.

“Malam Isnin, 18 Mei 2020, jam 9.30 malam anda bersama dua lagi rakan berada di kelab malam. Ya atau tidak?”

“Ya”

“Minum-minum?”

“Tidak. Saya seorang muslim”

Saya fikir, tidak perlu dia mengakui dia seorang muslim kalau perangai macam syaitan. Saya malu. Amat malu.

“Jam 10 malam anda mengakui bahawa anda sudah keluar dari kelab malam. Manakala, jam 11 malam anda dikatakan sudah pulang ke rumah dan tidur pada jam 12 malam. Ceritakan pada saya apa yang berlaku pada antara jam 10-11”

“Takkanlah saya nak membunuh dalam masa satu jam?” jawabnya sambil merenung saya.

“Jawab soalan saya”

“Kalau pun saya yang bunuh. Dah memang salah dia. Yang malam-malam buta jalan kaki siapa suruh?”

Pendakwa raya diam dan memohon izin Yang Arif untuk berhenti memberi soalan. Pembunuh saya dibenarkan kembali semula ke kandang pesalah. Saya renung dia tak berkelip. Saya akan pastikan dia meringkuk dalam penjara. Kesejukan beralaskan lantai. Macam saya, kesejukan bila dia lemparkan saya ke dalam sungai.

Ketika saya dibawa untuk dibicarakan, saya lihat pembunuh saya sedang memandang lantai dan tak mahu melihat saya. Kenapa takut macam nampak hantu? Kerana kau bersalah? Haram jadah. Lalu, saya ditanyakan soalan. Saya tidak tahu dia siapa, saya jawab sahaja. Saya ini, sekolah sekadar sekolah. Belum pun sampai mahu menjadi peguam, sudah dibunuh. Menyedihkan.

Saya ceritakan semuanya apabila ditanyakan soalan. Saya katakan, pada jam 10 saya sedang berjalan kaki pulang dari kedai makan. Rumah saya tidak jauh dari kawasan tempat makan. Kira-kira 10 minit sahaja berjalan kaki. Saya memilih untuk berjalan kaki berbanding menunggang motosikal kerana mahukan angin malam. Lagi pula, dekat sahaja. Apa salahnya menghasilkan peluh. Saya tak bawa apa-apa kecuali dompet dan telefon bimbit. Semasa saya jalan, tiba-tiba lelaki bodoh itu memukul kepala saya dengan kayu besbol. Saya tak jatuh pengsan. Saya bangun dan pandang muka dia sebelum dia pukul lagi saya dengan kayu besbol. Tengok, muka saya.

Saya tunjukkan wajah saya yang hancur tinggal daging-daging. Ada yang berulat kerana saya sudah dua bulan dikuburkan. Saya katakan, dia pukul saya sampai mati. Kemudian, jam 10.40 dia campakkan saya ke dalam sungai. Masa tu, saya dah mati.

Zulfakar renung saya dan keluarkan telefon bimbit saya. Dia letak di hadapan saya. Wajahnya tenang (dan macam sial).

“Ini telefon bimbit kamu?”

Saya mengangguk. Terasa tegang urat leher ini kerana sudah lama berada di pembaringan. “Kenapa tak telefon polis?”

Baru sahaja saya mahu membuka mulut. Dia menyambung bicaranya.

“Kamu katakan, kamu berjalan dengan dompet dan telefon bimbit sahaja. Kenapa tak bawa apa-apa seperti payung untuk mempertahankan diri? Atau setidaknya penyembur pemedih mata, pepper spray?”

Dahi saya berkerut. Kalau ikutkan hati, saya mahu gigit leher lelaki ini.

“Lagi satu, kamu berumur.... oh 25 tahun, sepanjang hidup kamu, tak pernah belajar seni mempertahankan diri?”

Saya katakan, kalau pun saya tidak belajar, apa hak dia untuk membunuh saya? Katakan semula kalau ada agama yang membenarkan untuk dia membunuh. Dan jelas, dia tiada motif apa-apa membunuh saya.

“Yang Arif, itu sahaja”

Sedikit lagi saya ludah muka Zulfakar. Riaknya yang macam tak bersalah buat saya jadi marah. Saya lihat pembunuh saya tersenyum-senyum. Dia kemudiannya bangun dan dibicara semula. Soalannya ringkas sahaja.

“Jadi anda punya niat membunuh?”

“Ya”

“Motif pembunuhan?”

“Kerana saya memang suka membunuh. Ini fitrah saya. Dia yang mencari nahas dengan berjalan kaki malam-malam hari”

Jawabnya sebelum kembali ke kandang pesalah. Saya lihat orang-orang yang menyaksikan perbicaraan ini mengangguk-angguk setuju. Mereka berbisik-bisik menyatakan sayalah yang bersalah kerana membawa dompet dan telefon bimbit sahaja. Setidaknya saya perlu membawa pepper spray dan seharusnya saya belajar seni mempertahankan diri. Selebihnya saya tidak dengar apa-apa. Semuanya seperti dalam gerak perlahan.

Saya lihat pembunuh saya tersenyum-senyum ketawa dan peguam saya menggeleng-geleng kepala. Kemudian, saya lihat pembunuh saya dipeluk-peluk dan bersalaman dengan yang lain. Saya lihat pembunuh saya memandang saya lalu mengangkat tangan sebelum beredar. Semuanya berlalu pergi dan saya dibiarkan sendirian di sini - menanti pembelaan.


52 views0 comments
bottom of page