top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

PATUTKAH AKU DIAM BILA NEGARA DIPENUHI ORANG KORUP? Oleh: Ruby Mas

Hari ini muncul 2 helai uban lagi di celahan rambutku. Mungkin asbabnya ruangan komen facebook Jurnal Sang Pemula. Mungkin selepas ini aku patut baca artikel bulat-bulat tanpa menjenguk komen-komen netizen. Bila difikir-fikir, ini hak mereka juga untuk berkata-kata. Bukan aku seorang ada mulut.


Ramai pembaca baru meletak label pembangkang, anti-agamawan, idealis, ateis pun ada pada penulis-penulis yang baru setahun bercambah. Bila difikir-fikir baik aku berhenti menulis aja kalau begini. Bukankah boleh aku diam aja walaupun ada perkara banyak perkara aku tak bersetuju dengan dunia ini.


Tetapi hidup sezaman dengan politikus tamak dan korup, agamawan kurang cakna penyakit masyarakat dan sasterawan bisu, membuatkan aku berasa langsung tak berkeyakinan bahawa keadaan masyarakat kita akan bertambah baik. Jadi, kalau aku tak bercakap dan menulis, siapa yang akan dapat beri suara kedua? Siapa yang berpihak pada golongan tertindas? Siapa yang akan dapat manfaat pada diamnya aku? Jangan-jangan dengan diamnya aku, terus aja dihumban ke neraka jahanam kerana tak penuhi seruan amar ma'ruf nahi mungkar.


Berdosa kalau aku menyebelahi politikus yang kaya raya sedangkan ada rakyat yang terpaksa ikat perut menahan lapar. Berdosa aku kalau aku menyebelahi agamawan yang tak perasan penyakit masyarakat sedangkan mereka berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mendidik masyarakat. Berdosa aku kalau aku membiarkan aja penulis-penulis lain meracuni pemikiran orang banyak dengan penulisan yang berpihak pada orang menang.


Isu kemiskinan, korupsi, kebodohan, ketidakadilan, penindasan, rasisme patut dibincang dan dibicarakan secara terbuka. Perkara ini bukan hal dalam kelambu yang patut disorok-sorok? Aib siapa yang kita nak jaga sebenarnya? Mengakui masalah adalah langkah pertama kita untuk dapatkan penyelesaian.


Minggu ini sahaja 2 orang politikus sudah dilepaskan dari banyak pertuduhan korupsi dan pecah amanah. Eh, apabila rantaian penulisan-penulisan yang dipersoalkan, ada juga orang mempertahankan mereka. Kenapa kita tak boleh bersuara? Negara ini negara aku juga bukan harta warisan para politikus.


Harta negara sesuka hati digunakan oleh kurang 1 peratus rakyat Malaysia sedangkan ada negeri yang 2030 barulah rakyatnya boleh menikmati air bersih. Itupun targetnya hanya 90 peratus. Sedangkan ada pelajar yang terpaksa menjawab soalan peperiksaan di atas pokok untuk mendapat liputan internet yang lebih baik. Sedangkan ramai yang kehilangan pekerjaan akibat pendemik.


Terbaru, sekumpulan ahli akademik menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Walaupun bilangan mereka hanyalah 115 orang tetapi cukup buat aku sedih. Punya banyak isu tentang pendidikan yang belum selesai malah tersingkap luas sewaktu pandemik, tidak pula mereka nyatakan secara umum apakah penyelesaian-penyelesaian yang mereka boleh tawarkan sebagai 'ilmuan'.


Pepatah Arab yang aku belajar pada Tingkatan 1 terus kembali di ingatan. "العلم في الصدور ليس في السطور", yang bermaksud ilmu itu di dada bukan pada tulisan. Ingatan ini bukanlah menghalang orang menulis bahkan menyeru supaya ilmu kita tidak terhenti pada tulisan seperti tesis phd, artikel dan buku sahaja. Kita patut menghayati dan mencerap ilmu yang kita perolehi ke hati sanubari sehingga menjadi sebati seterusnya terserlah pada perbuatan kita.


Nah, mana perginya ribuan graduan Phd kita? Di waktu pendemik inilah teruji adakah minda kita juga telah korup? Jika mengaku tidak korup, memgapa tidak berani menyatakan apa yang benar dan apa yang batil?


Jadi, aku memilih untuk berpihak dan bersuara bukan bungkam diam seribu bahasa. Dengan luahan hati ini, janganlah ada yang menepis dan menafikan apa yang ku katakan. Ia hujah sah dan anda perlu muhasabah diri jika masih lagi tidak mahu berpihak kepada mereka yang tertindas.

36 views
bottom of page