top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

MEMBAWA PERUBAHAN MASYARAKAT MELALUI INTELEKTUAL ORGANIK Oleh: Azura Nasron

Selain daripada 115 pensyarah yang mengeluarkan kenyataan tanda sokongan pada kerajaan Muhyiddin, ketahuilah dalam satu tulisan Fahmi Reza, dia ada menyebut suatu sejarah penting Malaysia pada tahun 1961, dimana pada waktu itu terdapat juga secara kebetulan 115 wartawan Utusan Melayu yang telah melancarkan mogok bagi memperjuangkan kebebasan akhbar dan membantah pengambil alihan akhbar Utusan oleh parti pemerintah UMNO.


Mereka membantah pelantikan Ibrahim Fikri (ahli Majlis Tertinggi UMNO dan bekas Ketua Penerangan UMNO) sebagai Ketua Pengarang baru Utusan yang mahu mengubah dasar-dasar independen akhbar itu untuk menjadikan Utusan lidah rasmi parti pemerintah


Bezanya pada tahun 1961, 115 orang pekerja ini memilih untuk melawan kekuasaan dan tidak duduk dalam ranah politikus hancing ini. Pada waktu itu Said Zahari adalah intelektual yang bergerak dalam pimpinan pemogokan ahli pekerja Utusan. Selama 93 hari mereka berlawan sehinggalah Said Zahari disingkirkan dari Malaysia.


Namun kini, 115 pensyarah yang memberi tanda sokongan ini bukan sahaja secara tidak malu memilih pemerintah pintu belakang tetapi juga berdiam diri semasa semua pelantikan-pelantikan politik dilakukan juga semasa para koruptur dilepaskan. Sekalipun jika mereka bising di media sosial, yang dibisingkan itu bukan terhadap perbuatan yang korup dan salah guna kuasa oleh pemerintah tetapi cuma hanya kerana pada waktu itu adalah pemerintah yang tidak menyebelahi mereka. Maka, esensi kepada perlawanan para intelektual itu gagal kerana memilih-milih apa yang mahu dilawan tetapi bukan melawan secara keseluruhan.


Soalnya, mengapa Said Zahari tadi yang bukan seorang ahli akademik boleh bergerak secara intelektual tetapi ahli akademik sendiri gagal menjadi intelektual? Kata Prof Shaharuddin Maaruf, intelektual adalah mereka yang memberi pimpinan idea, menyampaikan dan juga memajukan. Jelasnya lagi, ahli akademik ini cuma intelegensia iaitu mereka mempunyai pelajaran lebih berpendidikan daripada orang kebiasaan, ada Prof, ada Dr, ada segala macam Emeritus atau Madya tetapi tidak semestinya berpengaruh dalam menyampaikan idea.


Inilah yang dikatakan juga oleh Gramsci, bahawa apabila dia menyebut tentang intelektual, dia tidak membicarakan mereka yang duduk di Menara Gading yang berada di dalam keranda-keranda mereka, menulis karya ilmiah atau jurnal akademik semata-mata tetapi baginya, setiap kumpulan sosial yang wujud, mewujudkan lapisan intelektual mereka sendiri yang memberikannya makna juga yang membantu masyarakat bersama untuk berfungsi. Boleh jadi mereka adalah jurnalis seperti Said Zahari, Pembawa Grab, Pengurus Kedai Jahit, Penjawat Awam, Peguam, Doktor dll. Pada dasarnya, mereka telah berkembang secara organik di dalam sekeliling mereka sendiri.


Gramsci melihat peranan intelektual sebagai peranan penting dalam konteks mewujudkan hegemoni perlawanan kelas pemerintah. Katanya, perubahan tidak dapat dilakukan oleh sekelompok elit yang revolusioner yang mewakili masyarakat terbanyak ataupun daripada kepimpinan parti politik. Ia harus, mesti dan wajib bergerak secara organik dan selari dalam masyarakat. Ideanya harus bergerak secara kultural dalam ranah pemikiran masyarakat.


Apa yang dimaksudkan dengan idea kultural di atas adalah dengan memanfaatkan potensi-potensi budaya yang ada dalam masyarakat. Budaya disini bukan sekadar tarian atau nyanyian tetapi juga nilai, adat, seni dan pengetahuan untuk mengembalikan norma-norma kebersamaan masyarakat. Hal ini supaya masyarakat dapat bergerak selari untuk mencapai cita-cita sempurna tetapi bukan dalam partisipatori politik ataupun kekuasaan tatapi dalam kehidupan masyarakat itu sendiri.


Antara gerakan kultural atau gerakan idea yang berkembang dari ranah pemikiran masyarakat sendiri boleh dilihat bagaimana jatuhnya kedua-dua rejim pemerintahan Soekarno dan Soeharto di Indonesia. Ya tidak dinafikan banyak lagi hal-hal di Indonesia yang tidak selesai seperti penindasan, korupsi dan kemiskinan tetapi satu hal yang kita harus sedar adalah sifat kritis kelompok mahasiswa dalam menghasilkan agenda perubahan dalam negara mereka. Gerakan kultural yang dilakukan oleh mereka telah mengubah cara pandang dan pemikiran orang ramai terhadap para pemerintah yang korup pada waktu itu. Gerakan kultural ini menjadi kunci kepada kejayaan perlawanan yang mereka lakukan.


Maka, masyarakat pada hari ini harus mencari dan menghasilkan intelektual mereka sendiri dan tidak lagi perlu mengharapkan para intelegensia jargon dan jijik untuk perlawanan melawan penindasan yang cuma reti beronani di media sosial. Sungguh, tidak ada lapisan yang tidak dapat melahirkan intelektual mereka sendiri. Ketahuilah, intelektual bukan lagi mereka yang cuma pandai berbicara, tetapi intelektual adalah penyertaan aktif di dalam kehidupan sehari-harian yang membangun dan mengerakkan idea kultural. Sebelum berakhir, ingatlah bahawa untuk melakukan perubahan dalam masyarakat ini idea kultural dan intektual organik ini harus selari dalam setiap lapisan masyarakat.


*Bahagian kedua tulisan akan disambung dengan memahami pula apa itu idea kultural yang dikatakan di atas dengan lebih jelas.

74 views
bottom of page