Oleh Izzah Dejavu.
JAM menunjukkan 4.38 petang. Alunan ayat Al-Quran dari surau Blok 5, Desa Mentari kedengaran jelas di rumah kecil tingkat 8 kami. 5 kali sehari difardhukan atas Muslim untuk solat, 5 kali jugalah alunan ayat suci Al-Quran dialunkan sebelum masuk waktu solat kecuali di waktu Subuh, jiran berbangsa India kami seperti bersaing sama kuat dengan azan. Menjiwai toleransi penuh di dada, belum pernah sekali kami marah pada keduanya. Memegang erat 'untukmu agamamu, untukku agamaku', kami bersetia pada gitar kapok yang sering melayan sepi dan sunyi keabsurd-an hidup yang makin lama, makin kelam.
‘Lā ilāha illallāh’ (Tiada Tuhan Selain Allah) seruan akhir azan telah tamat tetapi aku belum habis berfikir untuk menulis apa. Di fikiran aku cuma ada kemarahan-kemarahan yang belum dapat aku ungkapkan.
Di kepalaku berputar mengingat surat lama yang aku hantar melalui satu organisasi bertanya tentang kes Wanji. Baru 2 minggu lalu, Wanji menghubungi aku menanyakan perihal kesnya. Baru seminggu lalu, aku menemuramah Wanji di pejabatnya mencari fakta untuk Anti Hukuman Gantung di bawah Ensemble Contre La Peine De Mort (ECPM), Paris, France. Masih belum terpadam bagaimana Wanji mengiringi kami keluar di pejabat dan semalam hanya caci maki yang terkeluar dari mulutku apabila mendengar khabar Wanji dijatuhkan hukuman penjara satu tahun atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.
2 hari lalu dan semalam, anggota polis penuh di hadapan semua blok di Desa Mentari. Ada yang mengetuk dari pintu ke pintu. Banyak perbualan awam yang dirakam dalam lif, sekitar kedai sekitar kejadian gempur di kawasan terpinggir dan anak tiri ini. Baru sebentar makan petang tadi, kami menemuramah tuan kedai tentang kejadian semalam. Benar, ada yang terus berhenti kerja kerana ketakutan. Min (bukan nama sebenar) ketakutan, takut kalau-kalau ditangkap tanpa suami. Ada yang ingin terus ke kongsi. Ada yang meneruskan kerja, mempertaruh nyawa demi sesuap nasi untuk keluarga. Ada yang tak peduli, yang penting gaji mesti dapat menanggung diri. Aku barangkali tidak pantas menulis ini, kerana aku tidak merasa ketakutan mereka. Aku tidak mengalami apa yang mereka alami kerana privileged yang aku miliki walau tinggal sebumbung di sini. Hidup dalam ketakutan berpanjangan sudah pasti meninggalkan kesan pada mereka yang melalui.
Berulang-ulang kali ketika jemari menyentuh papan computer riba, aku mengingat bagaimana keadaan setiap temubual yang aku hadiri tentang keadaan penjara dan lokap. Pelbagai cerita sampai aku sendiri terkadang merasa lelah mendengar, kerana ketidakmanusiaan cuma menambah luka dan menyimbah api pada jiwa-jiwa.
Azan maghrib dan bunyi loceng kuil kecil jiran kami sekali lagi bersahutan. Aku masih duduk, berkira-kira mahu menghabiskan catatan kecil ini sebelum bergegas mengajar anak-anak di Desa Mentari. Anak-anak yang belum mengenal makna penindas dan tertindas, yang polos dengan indahnya dunia. Semasa menamatkan tulisan ini, riuh anak-anak ini belajar masih menemani dan di antara bising kelas, hati aku luluh memerhati pemuda Indonesia kegemaranku itu bertarung antara nasib dan takdir di celahan tingkap kaca yang memisahkan kami; antara dikejar ke lokap atau terselamat lagi untuk sekalian kali.
Tidak ada penutup terbaik tulisan ini, cuma ucapan damai untuk kekal selamanya di jiwa-jiwa yang melawan penindasan atas diri mereka. Semoga terus bergerak ke hadapan.
Comments