SUDAH jam 4.30 pagi. Aku masih belum tidur. Tidurku tidak lena. Pastinya Vivy Yusof malam semalam juga masih tidak lena tidurnya. Sudah beberapa hari warganet tidak henti-henti berzikir sial, sial dan sial pada dirinya. Dasar orang kaya lupa diri kata mereka!
Semalam VV memilih untuk melakukan video memohon maaf, seakan hampir menangis pada semua rakyat Malaysia. Tegasnya, kata-kata yang berkisar di laman sosial telah disalah-ertikan. Soalannya, adakah VV memikirkan bahawa mohon maaf itu akan menutup segala celanya yang sudah terbongkar, tersebar dan dilondehkan kini? Tidak, bukan untuk kami rakyat terbanyak.
Aku cuma fikir, jika VV tidak melakukan komentar kelmarin, apakah segala kesalahan yang dilakukannya akan didiamkan? Selain daripada perkara yang sudah terbongkar seperti dana daripada Khazanah, apa lagi yang kami tidak tahu? Apa lagi yang tidak ada bukti di dalam sistem? Apa lagi connection, apa lagi privileged, apa lagi cerita orang dalam, cerita bawah meja yang kami tidak tahu?
Orang kata, jika Tuhan boleh maafkan dosa hambanya, apatah lagi antara hamba dengan hamba. Maka soalannya di sini adalah urusan kemaafan itu tidak membawa apa-apa tanpa kebertanggungjawabannya selepas itu.
Tanggungjawabnya apa? Untuk VV adalah menjadi jujur dan untuk kita adalah mencari kejujuran. Dalam urusan kita mencari kejujuran, pertama sekali adalah jangan kita sesekali kita lupa. Maka, memegang kata-kata Dixie Chicks, “forgive, sounds good, forget, I'm not sure I could”.
Mengapa kita tidak boleh lupa? Kerana jika kita lupa lagi sekali, bermaharajalela mereka ini. Ketahuliha, VV tidak bersendirian.VV ini cuma simptom dalam sistem yang korup. Belakangnya penuh ahli politik, ahli perniagaan, para elitis yang menyokongnya. Yang mengangkatnya. yang sama-sama dalam lembah kaya elitis jijik ini.
Lihat sahaja pada sejarah, Jika dulu harta dan kekayaan Tanah Melayu diambil oleh British, bukan untuk rakyat, kini harta dan kekayaan juga masih diambil. Bezanya kali ini bukan British tetapi para penguasa dan para elit. Ternyata, ada sejarah itu ada harapan untuk mempelajari apa yang sasau dan garau. Pada sejarah itu adalah kita dapat mengenal siapa yang menggunakan kuasa untuk kebaikan mereka sendiri.
Apapun yang paling penting kini adalah membebaskan apa yang membelenggu rakyat pada masa kini. Namun, sayang agamawan kini lebih memilih untuk suruh semua memikirkan tentang kedatangan dajjal, hari kiamat, banyakan ibadah. Tetapi soalnya, bagaimana mahu berfokuskan pada ibadah jika yang membelenggu sekarang ini adalah ekonomi? Kerja apa lepas ini, mahu makan apa duit tidak ada, sewa rumah siapa yang mahu bayar. Aduh bagaimana mahu mengingati Tuhan padahal setiap laungan takbir dipenuhi dengan bayangan duit-duit yang semakin berkurangan di dalam bank.
Maka adalah tugas agamawan untuk mencari jalan bagaimana mahu mengeluarkan rakyat terbanyak ini daripada dibelenggu daripada masalah ini. Bukan menutup masalah ini dengan ibadah-ibadah. Soalnya adalah tiada agamawan yang mahu membicarakan tentang ekonomi. Agamawan mana yang mahu melawan kapitalisme? Agamawan mana yang mahu bersuara di saat neo-liberal memasuki kancah-kancah polisi negara, agamawan mana yang mahu bersuara di saat orang seperti VV menggunakan duit rakyat, duit cukai untuk keuntungan sendiri?
Kata Imam Ali, hati-hatilah untuk tidak membiarkan dirimu, keluargamu, atau teman-temanmu, menggunakan sekecil apapun kesenangan atau keistimewaan dalam hal-hal yang merupakan milik rakyat dan yang harus diberi rata di antara seluruh rakyat!
Di saat masyarakat kita mendambakan reformasi tetapi hanyalah janji-janji palsu diberi, perubahan yang dinantikan tidak datang kemari, dengan siapa rakyat mahu mengadu terhadap semua soal-soal berat tentang kemiskinan, ketidakadilan sosial dan kerakusan para elitis dan pemerintah?
Jawapannya adalah pada kita semua, antara tangan-tangan para liberal elitis, para intelektual yang adil dalam menyampaikan maklumat atau agamawan yang berani melawan koruptor, siapa yang mahu bersuara melawan sistem keparat ini.
Sistem ini - sistem kapitalis, sistem birokrasi, sistem yang memberi kuasa pada atasan untuk menentukan segalanya. Dengan kuasa, mereka menentukan, siapa pegang projek ini, siapa dapat dana untuk ini, siapa jadi Board of Directors untuk Yayasan ini, siapa jadi ahli Lembaga untuk univerisiti ini. Paling asyik, sistem ini membenarkan untuk mereka melakukan apa sahaja bukan untuk kebaikan orang ramai tetapi untuk kepentingan diri sendiri.
Hari ni, VV ternyata masih tidak boleh tidur. Jika semalam dia meminta maaf, hari ini VV memilih untuk menyaman mereka yang memulakan tandatangan petisyen untuk membuangnya daripada menjadi ahli lembaga UiTM. Malah sekarang, UiTM sedang menggunakan kuasa mereka dibawah akta-akta yang berkaitan dengan pendidikan untuk sesiapa yang tandatangan petisyen tersebut yang mana akan dikenakan tindakan undang-undang.
Satu dunia sudah mulai bersuara tentang sikap kapitalis sial seperti ini. Kapitalis yang menggambil duit-duit cukai, kapitalis yang mendapat nama dan pangkat kerana orang dalam, kapitalis yang privileged dan masih memikirkan mereka relevan dalam dunia kritikan sosial.
Untuk VV, perkara yang dia boleh lakukan seterusnya adalah diam, letak jawatan sebagai ahli Lembaga dan memberitahu pada orang ramai kemana duit Khazanah pergi sehingga hilang berjuta-juta duitnya. Jika tidak, aku percaya, setiap langkah seterusnya akan penuh dengan balasan yang lebih parah dari rakyat terbanyak yang sudah masak dengan kesiallanya.
Untuk VV yang menangis meminta maaf, maaf juga, kerana tiada maaf lagi bagimu.
Kommentare