top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

UNTUK MEMAHAMI KORUPSI, ANDA HARUS MASUK KE SIN CITY (2005) Oleh: Amirah Haziqah

AMARAN: Ulasan ini mengandungi pendedahan daripada filem yang dinyatakan, dan ia sangat banyak!


1. Sinopsis Walaupun tema utama dalam Sin City adalah noir, secara tidak langsung ia memperlihatkan kepada kita kesan daripada korupsi itu sendiri – menghalalkan segalanya selagi manusia memegang tampuk ‘kuasa’ demi kepentingan sendiri.

Kompleksiti tingkah laku manusia di Ba(sin) City itulah elemen utama yang harus diperhatikan dalam filem antologi arahan Robert Rodriguez dan Frank Miller ini. Salah satu alasan lain anda harus menonton filem ini juga adalah nilai estetika yang menarik di mana ia menggunakan kontras hitam dan putih dengan penekanan kepada warna-warna tertentu sudah tentu akan menancap mata anda.


Pembukaan filem dengan cerita pertama “The Customer Is Always Right (Part 1)”, kita dipersembahkan dengan watak The Salesman (Josh Hartnett) yang memancarkan karisma yang keras dan jahat. Setelah menawarkan sebatang rokok kepada The Customer (Marley Shelton), The Salesman terus membunuhnya dengan silencer dan berkata, “I’ll cash her check in the morning.” Sepertinya kedua-dua pengarah ini menempatkan babak ini di permulaan filem ingin memberitahu bahawa di Ba(sin) City nasib seseorang adalah tidak terduga.


Antologi kedua “That Yellow Bastard (Part 1), John Hartigan (Bruce Willis) seorang pegawai polis cuba untuk memberhentikan perbuatan jenayah seorang pembunuh bersiri kanak-kanak yang bernama Roark Junior (Nick Stahl) daripada merogol dan membunuh mangsanya yang keempat, Nancy Callahan. Dipendekkan cerita, selepas John berjaya mencederakan dua senjata Roark Junior, rakan sekerja John menembaknya bertubi-tubi hinggalah dia dibawa ke hospital. Pergolakan antara John dan Roark belum berakhir kita dibawa ke cerita ketiga.


“The Hard Goodbye” menceritakan perjalanan Marv (Mickey Rourke) yang mencari pembunuh kepada Goldie (Jamie King) yang dibunuh secara senyap ketika mereka berdua sedang tidur. Cerita ketiga ini kita menonjolkan usaha Marv dalam mendapatkan keadilan buat Goldie dengan membunuh pembunuh tersebut. Setelah mengetahui Kevin (Elijah Wood) merupakan orang yang bertanggungjawab atas kematian Goldie, Marv didedahkan dengan cerita hitam disebalik seorang paderi yang mempunyai pengaruh besar di Basin City, Patrick Henry Roark (Rutger Hauer) abang kepada Senator Roark (Powers Boothe).


Patrick memberitahu Marv bahawa dia menyucikan perbuatan Kevin, seorang kanibal yang memakan wanita-wanita dari Old Town atas alasan Kevin menemui ‘cahaya’ apabila melakukan perbuatan tersebut, malah Patrick akui bahawa dia juga turut berkongsi perlakuan berkenaan. Marv bagaimanapun ditangkap atas tuduhan membunuh paderi yang ‘suci’ di mana polis telah memaksanya untuk membuat pengakuan kerana jika tidak ibunya akan dibunuh. Marv akhirnya di hukum mati – dengan renjatan kerusi elektrik.


Antologi keempat “The Big Fat Kill” membawa naratif sekumpulan bandar yang dikuasai wanita – mempunyai peraturan yang tersendiri telah membunuh seorang polis Jack Rafferty (Benicio del Toro). Dwight McCarthy (Clive Owen) yang mempunyai hubungan dengan ketua di Old Town, Gail (Rosario Dawson) telah terperangkap dalam sistem penguatkuasaan undang-undang yang korup dalam usaha menyelamatkan ‘wilayah’ kawalan mereka daripada campur tangan luar.


Sambungan kepada “That Yellow Bastard (Part 2)” lebih serius di mana Senator Roark bengang atas keadaan anaknya hingga menyebabkan dia ketiadaan legasi untuk menyambung pemerintahan di Basin City. Atas kuasa yang ada, John telah disumbatkan ke penjara atas alasan telah mencederakan Roark Junior dan telah menjadi pedofil yang cuba mengambil kesempatan Nancy. Nancy yang tahu akan keadaan sebenar berjanji kepada John bahawa dia akan terus menulis surat buat John dan persahabatan mereka berterusan. Hinggalah selepas tahun ke lapan dia di dalam penjara, tiada lagi surat daripada Nancy. John tahu dia harus lakukan sesuatu di mana – keluar dari penjara, perlu mengaku jenayah yang dilakukan dalam usaha menyelamatkan Nancy dari cengkaman Roark.


Akhir filem ini, “The Customer Is Always Right (Part 2)” menunjukkan The Salesman menawarkan rokoknya kepada seorang wanita yang lain di mana dari situ kita mengetahui bahawa The Salesman akan melakukan satu lagi pembunuhan.


2. Penjelasan Gambaran sosial di Basin City yang boleh dianggap kacau bilau penuh dengan hal-hal korup digambarkan secara basah dan sentiasa berasap. Penduduknya semua merokok dan kelangsungan hidup dilihat agak distopia. Marv menggambarkan bandarnya sebagai “... a lousyroom in a lousy part of a lousytown.”


Cerita-cerita yang terdapat di dalam antologi Sin City ini sebenarnya watak-watak mereka saling terkait. Apabila kita masuk ke dalam bandar ini, kita dapat melihat segala undang-undang dan pihak penguatkuasa diikat bawah satu telunjuk Senator Roark. Katanya kepada John ketika di hospital;


“Power don't come from a badge or a gun. Power comes from lying. Lying big, and gettin' the whole damn world to play along with you. Once you got everybody agreeing with what they know in their hearts ain't true, you've got 'em by the balls.”


Kata-kata Lord Acton, “Power tends to corrupt, absolute power corrupts absolutely.” Banyak sarjana terdahulu sudah membincangkan perihal kekuasaan. Menurut Max Weber, kuasa adalah keupayaan untuk melaksanakan kehendak seseorang melebihi orang lain. Kuasa bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan peribadi, tetapi ia membentuk dinamik yang lebih besar seperti kelompok sosial, organisasi profesional dan kerajaan. Senator Roark dengan riaknya mengetahui kuasa ada dalam genggamannya menyatakan kuasa datang daripada menipu. Semakin besar penipu, semakin banyak yang bisa dicengkam dan dirangkul untuk kepentingan sendiri.


Dalam satu babak di mana pengakuan paderi Patrick kepada Marv yang membungkam atas kesalahan Kevin yang menjadi kanibal ini adalah sesuatu yang dapat dikaitkan dengan dunia realiti. Para agamawan banyak senyap seolah-olah tangan, kaki dan mulut serta hati mereka terikat dek kebodohan ataupun pengecut. Berdegar-degar suruh orang bawahan buat itu ini, akan tetapi jika ada perkara ‘yang boleh dipertimbangkan – dalam masa yang sama dia menerima faedah yang sama – maka tidak menjadi masalah atas nama agama.’


Jangan-jangan tiada istilah amar maaruf nahi mungkar terpakai dalam hal-hal korupsi. Lihat sahaja bagaimana polis-polis di Basin City bersatu padu mempertahankan pemerintah dengan menghukum banyak pihak yang cuba mencantas segala perkara yang cuba membuka pekung mereka.


3. Realiti Ketika negara dikejutkan dengan skandal rasuah yang terlepas daripada dibicarakan, ia mengukuhkan lagi apa yang dikatakan John, “Sometimes the truth doesn’t matter like it ought.”


Seharusnya apabila berlaku perkara yang bobrok, haruslah daripada pelbagai bidang dan arah menyuarakan suara tanpa perlu bungkam. Ibarat yang dinyatakan V di dalam V for Vendetta di mana rakyat tidak perlu takut kepada kerajaan, tetapi kerajaan harus takut kepada rakyat. Apabila rakyat takut, maka diam seribu bahasa maka banyak perkara haram menjadi halal di tampuk kuasa.


Berapa lama lagi perkara sebegini harus dibiarkan senyap tanpa bicara? Adakah bila negara punah, musnah, ranah baru terkial-kial mahu bangkit melawan korupsi? Korupsi ini barah dan ia boleh datang dalam banyak bentuk. Kita, rakyat boleh serang korupsi dari pelbagai arah – seperti mana Dwight dan Gail serta teman-teman mereka dengan menembak penguasa yang cuba merampas kebebasan mentadbir bandar mereka.


Jangan-jangan mereka yang bungkam seribu bahasa tanpa kata ini mahu negara kita membentuk bandar-bandar berdosa – atas dasar matlamat menghalalkan cara. Mungkin, barangkali?

19 views0 comments
bottom of page