top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

UNIVERSITI TAKUT WACANA, PELAJAR TAKUT BUKU Oleh W.N. Khuzairey

PERJALANAN merentasi bumi Indonesia banyak mengajar saya tentang intisari keintelektualan. Menjelang malam hari pula, suhu di dataran Malang cukup dingin, jangan cuba-cuba untuk keluar dengan hanya memakai t-shirt nipis jika tidak mahu sentiasa berpeluk tubuh juga menggosok dua tapak tangan. Hari kedua antara hari yang paling memberi kejutan, mana tidaknya kami dibawa masuk kesatu daerah yang bagi saya seperti the other world. Di sebalik cahaya yang terang benderang, bunyi muzik yang hiruk pikuk, gerai yang menjual pelbagai makanan dan minuman, ada kelompok-kelompok mahasiswa dan aktivis sedang ngopi (ngobrol sambil pikir) di sebuah gazebo mengenai isu-isu realiti yang selama ini kita senyapkan. Perbualannya cukup tegang, anak-anak siswa dengan enthusias membentangkan idea, kebetulan pada hari berkenaan mereka sudah merancang satu demonstrasi besar-besaran bagi menentang akta korupsi yang tidak telus, maka tema yang mereka sentuh sudah tentu soal korupsi, elitis, ketamakan, kemiskinan dan akta. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Muhammad Abid al-Jabiri “seorang intelektual pada hakikatnya adalah kritikus sosial, dia adalah peribadi yang selalu berupaya mengidentifikasi, membuat analisis dan bertindak menyingkirkan segala rintangan menuju tercapainya sistem sosial yang lebih baik, lebih humanis dan rasional.” Saya terkesima dengan budaya mereka. Satu budaya wacana yang punya stamina dan yang lebih mengujakan siswa, siswi ini punyai satu kesepakatan mengenai isu yang harus mereka perjuangkan secara kolektif. Bukannya terpecah-pecah dan mementingkan kumpulan sendiri. Budaya ini membuatkan saya mengimbas kembali empat tahun dahulu semasa saya bergelar pelajar di salah sebuah universiti awam. Kerana budaya wacana apatah lagi wacana kritis yang kontang, satu organisasi cuba ditubuhkan bagi mengimbangi budaya wacana di universiti. Beberapa teman-teman termasuklah saya cuba membawa masuk budaya ini pada waktu itu. Pada fikiran kami, universiti ini tempat anak-anak yang tercerah. Tempat manusia yang dahagakan ilmu, jadi ada kebarangkalian jumlah yang hadir itu ramai. Tetapi sangkaan merosot yang hadir cuma dua orang. Malah teman-teman yang lain sebelum diskusi duduk santai di sekitar kami, tapi selepas itu mereka menjauh. Tak tahu apa yang mereka takutkan. Setelah merefleksi situasi, konklusi mudah kita boleh sepakati. Masih ada jurang dalam budaya berwacana di Malaysia berbanding dengan Indonesia. Saya rasakan jika mahu diukur mungkin Indonesia itu maju 10 atau 20 tapak lebih dari kita. Mana tidaknya dari jumlah penerbitan buku juga pembaca kita sudah jauh ketinggalan. Apa sebenarnya masalah universiti kita? Antonio Gramsci dalam Prison Notebook-nya pernah menulis “Pada dasarnya, semua orang punya potensi menjadi intelektual, sesuai dengan kecerdasan yang dimilikinya, dan dalam cara menggunakannya. Tetapi tidak semua orang adalah intelektual dalam fungsi sosial.” Kini autonomi universiti sudah dibuka sepenuhnya, tidak lagi dibungkam. Namun sejauh mana wacana kritis dibawa masuk? Apabila bercakap soal wacana adakah universiti sudah bersedia membawa masuk naratif yang selama ini bukan satu yang mainstream? Semisal ideologi kiri tak kira sama ada komunis atau sosialis, mungkin juga Islam transformatif. Sejauh mana tokoh-tokoh progressif semisal Edward Said, Howard Zinn, Karl Marx, Ngugi Wa Thiongo dan bermacam pemikir lagi mahu dibedah idea mereka lalu dipaparkan kepada mahasiswa bahawa tawaran alternatif untuk satu masalah itu banyak? Jika belum maka saya rasa universiti masih belum bersedia untuk ideanya digugah, dikritik lantas diperbetulkan kerana bagi mereka universiti itu tempat suci. Tempat berkumpulnya orang cerdik pandai. Tapi sekali lagi apalah gunanya orang cerdik pandai tapi masalah masyarakat tidak pernah dibahaskan? Satu lagi masalah universiti, mereka tidak mahu membincangkan masalah realiti, malah mereka mengherot imaginasi pelajar keluar dari realiti. Semisal kemiskinan, penindasan, korupsi dan pemerasan. Tidak mungkin to read the word is to read the world seperti yang di sentuh Freire akan terhasil. Apabila universiti jauh dari realiti, maka wacana mereka tidak lahir, berkembang dan menyusup apatah lagi wacana-wacana kritis. Peranan pensyarah juga penting. Kerana sebelum ini saya fikir pensyarah itu seperti bank hanya mendepositkan bahan kepada pelajar, dan jelas di universiti kita terkenal dengan sistem suapan. Akhirnya pelajar hanya akan menerima apa yang diberi oleh pensyarah tanpa ada persoalan. Akan adalah hubungan tuan dan budak. Di mana pelajar tidak akan mempersoalkan sesuatu isu kerana bimbang pensyarah akan beremosi selain bimbang markah mereka akan terjejas. Sistem ini bagi saya amatlah kacau bilau kerana nantinya yang terkesan adalah pelajar. Mereka telah melaburkan beratus malahan puluhan ribu ringgit dengan harapan dapat mempelajari sesuatu dan membaik masyarakat, tetapi sebenarnya tidak sangkaan meleset dan terbenam jauh ke dalam tanah. Maka saya rasa alternatif yang diperlukan untuk mengelakkan dari universiti tanpa wacana dan pelajar takut buku adalah dengan memasuki elemen literasi kritis atau pedagogi pembebasan kedalam sistem pendidikan. Henry Giroux di dalam makalah Critical Pedagogy in Dark Times menulis; “educators at all levels of schooling should be addressed as public intellectuals willing to connect pedagogy with the problems of public life, a commitment to civic courage, and the demands of social responsibility.” Tambah Giroux lagi: “…critical pedagogy attempts to take young people beyond the world they are familiar with and makes clear how classroom knowledge, values, desires, and social relations are always implicated in power.” Akhir sekali: “I believe it is crucial for educators not only to connect classroom knowledge to the experiences, histories, and resources that students bring to the classroom but also to link such knowledge to the goal of furthering their capacities to be critical agents who are responsive to moral and political problem of their time and recognize the importance of organized collective struggles.” Saya rasakan inilah masa yang tepat untuk dilaksanakan sebelum masalah betul-betul menjadi parah. Kesimpulan Memetik kata Soejadmoko seorang pemikir ulung Indonesia, “Hanyalah dengan perjuangan intelektual yang maha besar dan penerangan moral bisalah diharapkan ancaman-ancaman dan masalah masalah yang meliputi kita dapat diatasi.” selagi pelajar-pelajar kita takut buku dan selagi universiti tidak benar-benar serius mengangkat wacana, selagi itulah gelumang masalah kita tidak dapat diatasi.

8 views0 comments

Comments


bottom of page