top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

UNGKAPAN MISKIN MALAS VERSI ORANG MISKIN Oleh: W.N Khuzairey

SAYA menuliskan ini bukanlah kerana mengayuh basikal bersama orang kenamaan, kerana sudah tentu saya tidak mengenali langsung orang-orang kenamaan apatah lagi mahu memuaskan hati mereka.


Saya juga tidak punyai basikal untuk dikayuh bagi mencari orang miskin. Saya hanya punyai skipping rope, juga tak perlulah mencari orang miskin, kerana saya sendiri berasal dari kelompok itu. Oleh itu tak perlulah saya mematuhi SOP PKPB.


Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam di dalam hati, maklumlah saya punyai sejarah kehidupan miskin yang panjang. Secara jujurnya di dalam komuniti miskin yang pernah saya duduki, tak pernah sekali pun ada orang kenamaan yang datang tak cukup dengan itu orang miskin pula dituduh pemalas.


Saya sedar kebersihan adalah teras dan saya tak nafikan ada rumah orang-orang miskin yang kotor. Tapi untuk mengatakan pembersihan itu tak perlu kos dan hanya kerana malas saya rasa agak dangkal. Banyak tantangan mengenai kebersihan yang saya akan jelaskan nanti.


Juga saya hairan mengapa perlu dibersihkan rumah bila orang kenamaan mahu berkunjung? kerana fenomena ini saya dapat lihat dimana-mana, dari sekolah, hospital, jalan-jalan awam jika ada orang kenamaan mahu lewati dibetulkan sehabis baik. Walhal sebelum itu keadaan amat teruk dan tak pernah diambil tahu, bahkan selepas orang kenamaan itu berlalu pergi keadaan kembali terbengkalai. Ini bukan kes terpencil sering saya saksikan. Nantinya orang kenamaan itu seperti dikaburi bahawa semua yang berlangsung dalam keadaan baik. Walhal sebaliknya yang berlaku.


*Terkecuali*


Salah satu perkara yang sering saya nyatakan dalam tulisan baik di status Facebook, akhbar-akhbar tempatan, juga blog dan web-web penulisan bahawa punca kemiskinan bukanlah berpunca dari sifat malas semata.


Malah dalam satu video yang pernah direkodkan saya pernah menjelaskan bahawa persoalan kemiskinan itu kompleks tidak selesai hanya dengan mengucapkan kata malas pada mereka yang miskin. Maaf saya tiada perumpamaan seperti balo’ atau balo liat untuk menggambarkan hal ini.


Cuma saya pernah terbaca karangan Paulo Freire yang menyatakan mengatakan seseorang itu miskin akibat malas adalah sebuah kesedaran naif dan gaya pemikiran yang malas. Malas mahu berfikir kritis lalu menyelesaikan masalah secara sistematik dan struktural.


Saya juga tidak percaya dengan ungkapan bahawa seorang miskin yang rajin satu hari nanti “insyallah” nasib mereka akan berubah. Kerana jika mahukan perubahan, perlu dikritik sistem pengagihan ekonomi yang tidak adil yang sedang dialami hari ini lalu diubah. Sistem ini menguntungkan yang kaya lalu memiskinkan yang miskin.


Berkata seperti itu dan hanya berserah pada takdir “satu hari nanti” hanyalah menimbulkan sisi kesedaran magis. Seperti kata Freire, percaya yang takdir sudah menentukan tanpa ada usaha membaikan kerosakan.


*Pemalas*


Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini.


Golongan ini dikatakan seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras. Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah.


Terlampau simplisitik bukan?


Kesilapan paling besar ketika bantuan dihulurkan pada orang miskin kemudian tidak pula berlaku perubahan adalah kerana si pemberi bantuan tidak melakukan kajian, mengkaji dasar polisi negara, memasuki gelanggang wacana kemiskinan. Apa yang mereka tahu hanya memberi makanan, sejumlah wang ataupun rumah secara bermusim seterusnya beranggapan masalah kemiskinan akan selesai seperti mana cecair peluntur bertindak atas baju.


Makanya sekarang ini saya tertanya-tanya siapa yang malas sebenarnya? pembuat polisi? golongan cerdik pandai, ulama ataupun kelompok yang hidupnya kaya raya?


Mahu menolong miskin bukan sekadar turun padang jengok-jengok. Tapi merancang dasar dan merangkul pelbagai agensi untuk ambil tindakan besepadu bagi membantu mereka dalam segi:


Pelan perumahan, pendidikan anak penuh sama ada biasiswa atau pelatihan teknikal, kesihatan diberi dan dijamin, subsidi pengangkutan, baucer makanan, skim sponsor keluarga, mencarikan pekerjaan sesuai, memberi latihan kemahiran, insentif pembukaan kebun dan industri kecil, nasihat perancangan keluarga, nasihat pemakanan sihat, skim latihan penampilan dan kecerdasan untuk anak anak mereka, pendedahan kepada literasi ekonomi, pendekatan ekonomi tak bergantung secara jangka panjang, jaminan kuota pekerjaan kepada kelas termiskin dalam kantor awam. ( Affirmative policy ). Banyak sekali yang perlu ditekankan sebelum sibuk berkata malas.


*Duduk saja*


Saya pernah terbaca sarana dari seorang mufti yang mengatakan “Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma”


Saya percaya idea ini bukan wujud dalam fikirannya sahaja sudah tentu dalam fikiran orang ramai juga. Soalan saya adakah yang kaya itu tidak pengotor?


Oh sudah tentu tidak kerana mereka duduk dalam kawasan yang terjamin sistem pembuangan sampahnya dan sudah tentu mereka ada sumber untuk menggajikan orang miskin untuk membersihkan kediaman mereka. Tidak mungkin digajikan orang kaya untuk pembersihan. Masihkah orang miskin itu pengotor?


Kemudian, beritahu saya bagaimana proses cucuk tanam itu boleh berlaku sekiranya orang miskin sibuk membanting tulang siang dan malam? Menanam itu perlukan masa, ingat orang miskin tak punyai lapangkan masa. Sedangkan waktu makan hari ini mereka sudah fikirkan bagaimana untuk makan esok hari.


Beritahu saya juga, tanaman-tanaman yang diusahakan tu harus diletak dibahagian mana? Besar sangatkah ruangan orang-orang miskin? Nanti jika tak tersusun dikata pengotor pula. Bagaimana pula jika kemiskinan itu berlangsung di bandar? tempat tinggal saja mereka tiada apatah lagi bercucuk tanam.


Satu lagi, mahu berjimat barang dapur bagaimana lagi sedangkan beras, keperluan asas itu pun mereka tidak mampu beli, kemudian jika bercucuk tanam sekalipun hasilnya bukan boleh dituai pada hari yang ditanam itu. Perlukan tempoh. Jadi sepanjang tempoh itu apa yang mereka harus makan, jimat?


Akhirnya mereka terpaksa keluar mencari wang untuk makan hari-hari, bila pulang sudah keletihan. Apa mahu bercucuk tanam? Sebab itu sekali lagi saya tegaskan idea ini sangat dangkal.


*Malas dunia akhirat*


Saya tak pernah terfikir apatah lagi beranggapan bahawa ada ungkapan “bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya.” Menjadi idea untuk diujarkan oleh seorang agamawan terhadap orang miskin.


Saya tak pernah pula mendengar hujahan ini dilemparkan pada orang-orang kaya malah pada politikus-polituks yang terang-terangan korup. Mungkin mereka selalu mencuci muka dengan pencucui muka, jadi muka mereka nampak lebih bersih dan bersinar sehingga dapat terus menyembunyikan dosa dari dikesan.


Namun saya percaya, ada sinar atau tidak di muka seseorang tidak mengambarkan apa-apa kerana itu kerja Tuhan bukanlah kerja saya. Apa yang perlu ditekankan disini jangan jadikan ia sebagai alasan untuk menuduh orang miskin itu gagal kerana tidak ada amal ibadat. Saya rasa itu kesalahan berfikir yang paling nyata.


Menolong orang miskin bukan untuk dakwah tetapi adalah pertanggungjawaban dan amanah kalau tidak apa bezanya Islam dengan missionaries Kristen yang mendekati orang miskin untuk dibaptiskan? Malah sekiranya mereka miskin sehingga tidak bisa membuat ibadah, maka yang dipertanggungjawabkan nanti adalah orang-orang yang punyai sumber semisal agamawan.


Konklusi miskin malas versi orang miskin

Langkah pertama untuk menyelesaikan isu kemiskinan adalah dengan tidak melabelkan orang miskin malas secara generalisasi. Tetapi harus diselsaikan dulu masalah ulama, politikus, ahli akademik, birokrat, pembuat polisi, jutawan yang malas berfikir cara adil, efektif, struktural, sistematik bahkan sosiologis bagi menyelesaikan masalah kemiskinan.


Jika diberikan bantuan harus berdialog dulu dengan si miskin terutama apa yang mereka perlukan. Misalnya pekerjaan apa yang boleh dilakukan dan hambatan mereka dari bekerja. Kerana takut-takut mereka bimbang apabila keluar bekerja nanti anak bini dirumah kelaparan tidak dapat makan sedangkan mereka perlu tunggu satu bulan lagi untuk gaji.


Atau perkerjaan yang diterima itu bersifat menindas, menafikan nilai manusia juga jauh dari kebolehan mereka kerana ini bukan masalah kecil malah dihadapi oleh semua warga perkerja hari ini yang harus difikirkan terutama sekali pada kelompok agamawan.


Jadi sekarang ini sepatutnya bukan yang miskin sahaja perlu berjihad, agamawan perlu berjihad untuk berfikir dengan lebih kritis juga tidak mengatasnamakan agama untuk kekuasaan, jabatan-jabatan agama perlu berjihad memerangi kemiskinan dengan selalu turun mencari mereka yang kesusahan tanpa jemu, politikus pula perlu berjihad untuk melawan korupsi agar kemiskinan dapat dibantu, begitu juga elit-elit perlu berjihad dari sifat tamak dengan tidak lagi mendiami rumah-rumah agam besar yang menelan belanja puluhan juta dana awam oleh kerana gaya hidupnya yang mewah, para pemikir dan ahli akademik juga perlu berjihad dengan menegur segala kerosakan yang memandu kepada jurang ekonomi kaya dan miskin.


Saya tidak mahir dalam memetik ayat al-Quran apatah lagi mencari ayat-ayat yang berkaitan dengan jihad, tetapi saya pernah terbaca tafsiran surah al-Maun dan ingin saya kongsikan di sini:


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah

Yang Maha Penyayang


1. Kau lihatkah orang yang mendustakan agama?

2. Itulah orang yang mengusir anak yatim

3. Dan tiada menganjurkan memberi makan orang miskin.

4. Celakalah orang sembahyang

5. Yang melalaikan sembahyangnya.

6. Mereka yang (ingin) dilihat.

7. Tapi enggan (memberikan) sedekah (berupa) keperluan yang berguna


(Tafsir Surah Al-Maa'uun 107 dipetik dari H B Jassin, Al-Quranu'l-Karim - Bacaan Mulia)

21 views0 comments
bottom of page