top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

ULASAN CERPEN: MENJENGUK TUHAN DENGAN IBADAH KEMANUSIAAN Oleh: A. Muziru Idham

Membaca Mas Mantri Menjenguk Tuhan oleh Ahmad Tohari itu menemukan saya dengan sebilangan perkara yang barangkali kecil di sisi pembaca yang dahagakan cerita-cerita yang lebih berat dan falsafah, namun sisi kemanusiaan yang ditampungi dalam cerita yang ringkas ini memiliki nilai pemberat yang sendat dan padat. Setidaknya, tiga perkara penting yang saya temukan dalam cerpen ini, iaitu:

1. Budaya cakna dan ziarah pada saudara kejiranan yang tiada.

2. Kematangan menilai perkara yang perlu diutamakan dan dikemudiankan.

3. Hakikat ibadah itu adalah mengembalikan kebaikannya kepada masyarakat, bukan hanya sendiri-sendirian.

Ketiga-tiga perkara itu tidak akan kita dapati sekadar daripada pengajaran kitab-kitab kuning di pondok dan masjid, kerana apa yang diucapkan daripada bibir belum tentu terjelma dalam sikap dan tindakan individu. Nilai-nilai itu datang daripada warisan sosial yang diwariskan daripada adab berbudaya dan tatasusila normatif yang menjadi identiti kepada lingkungan masyarakat bertamadun.

Sesebuah masyarakat yang bertamadun dan berbudaya tidak lagi perlu diperingatkan untuk meneladani dan mengamalkan nilai-nilai normatif budaya tertentu, kerana ia sudah wujud dalam diri individu yang sudah terdidik dengan nilai-nilai sebegitu.

Daripada itu, maka kita dapat lihat daripada awal cerpen lagi, bagaimana penulis cerpen sendiri, Den Besus dan Kang Martopacul yang pergi melawat Mas Mantri ke rumahnya kerana warga kampung sudah bertanya-tanya kenapa Mas Mantri tidak menyertai solat Id. Ia menggambarkan nilai warga masyarakat yang mengambil peduli apabila ada ahli masyarakatnya yang tidak hadir ke majlis keramaian warga penduduk.

Sekiranya kita perbandingkan nilai budaya cakna dan ziarah ini dengan warga bandar, maka kita akan dapat lihat bahawa perbezaannya adalah terlalu besar. Warga kampung itu budayanya adalah terdidik untuk hidup bersama-sama komuniti dan bergotong-royong dalam sebarang kerja ataupun keramaian, manakala warga bandar hidupnya lebih bersifat individualistik dan mementikan wilayah privasi sendiri. Maka, cerpen Mas Mantri Menjenguk Tuhan ini telah memulakan cerpennya dengan menampilkan suatu latar budaya masyarakat kampung yang masih kuat mengamalkan adab sebegitu.

Jika kita perhatikan dengan lebih mendalam, adab cakna dan ziarah dalam hal kejiranan itulah yang lebih menambah erat sesama masyarakat, kerana padanya itulah ada penerapan nilai tabayyun yang dikekankan dalam Islam. Tabayyun itu maksudnya ialah sikap untuk menyiasat dan mencari kebenaran terlebih dahulu dalam sesuatu perkara tanpa terburu-buru untuk menghukum dan menuduh akan sesuatu.

Jadi, cerpen tersebut memperlihatkan sikap masyarakat yang berusaha menziarahi Mas Mantri sendiri untuk mencari sebab-musabab Mas Mantri tidak hadir ke solat Id. Barangkali sebilangan pembaca akan merasakan bahawa ia hanyalah sebuah perkara kecil semata-mata hanya untuk mengetahui kenapa salah seorang ahli warga kampung tidak hadir ke solat Id yang sunat itu. Tetapi ia menampilkan sikap masyarakat yang mengambil berat akan setiap warga penduduknya tanpa mengesampingkan atau meminggirkan walau seorang pun daripada mereka.

Seterusnya, apabila mereka sudah menemui Mas Mantri dan mempertanyakan hal tersebut, maka Mas Mantri pun mengemukakan alasannya bahawa dia sedang menjaga Nek Trimo yang tidak sihat justeru tidak dapat menghadiri solat Id sedangkan dia sudah bersiap-siap hendak ke masjid.

Bagi Mas Mantri, menjaga Nek Trimo yang sedang sakit itu lebih utama kewajibannya berbanding menghadiri solat Id yang hukumnya sunat itu. Penulis cerpen sendiri mengujarkan monolognya bahawa Mas Mantri telah melakukan kesalehan yang paling utama, kerana dia teringat akan suatu firman Tuhan bahawa sesiapa yang menjenguk orang yang sakit itu adalah bererti dia telah menjenguk Tuhan.

Ia menampilkan kematangan Mas Mantri dalam menilai perkara mana yang perlu diutamakan, dan perkara mana yang boleh dikemudiankan. Penulis cerpen sendiri mengakui bahawa Mas Mantri yang melakukan kesalehan itu sangat diyakini tidak tahu pun tentang firman Tuhan itu (justeru menampilkan Mas Mantri itu hanyalah orang biasa-biasa yang tidak memiliki ilmu agama yang tinggi), tetapi Mas Mantri lebih terkehadapan dalam mengamalkan nilai ajaran agama yang sebenar.

Ternyata perilaku kemanusiaan itu adalah lebih terkehadapan daripada sekadar hafalan-hafalan dalil yang sekadar menjadi hiasan bibir-bibir pada ramai orang sedangkan intipatinya itu sikit sekali yang diamalkan.

Ramai sekali yang beranggapan bahawa, pahala melaksanakan ajaran kemanusiaan itu hanya akan sah sekiranya kita mengetahuinya sebagai perintah Tuhan dan melaksanakannya semata-mata demi Tuhan. Tapi, wajar juga kita persoalkan semula, apakah melakukan kebaikan itu memerlukan kita mendapat pengesahan dari Tuhan terlebih dahulu dengan kita mengetahui dalil-dalil yang sekian-sekian, ketika kebaikan itu datang terlebih dahulu untuk kita sambut dan laksanakan?

Ternyata Mas Mantri tidak perlu menimbang tara dengan dengan segala ilmu alat dan kefahaman dalil seperti fiqh awlawiyat atau maqasid syariah untuk dia membantu Nek Trimo yang sedang dalam kesusahan walaupun dia terpaksa meninggalkan solat Id berjemaah di masjid.

Sebabnya, agama sendiri sememangnya meminta kita mendahulukan bantuan kepada orang yang memerlukan bantuan dalam kadar segera, kerana rahmat dan waktu Tuhan itu Maha Luas untuk para hamba-hambaNya untuk beribadah kepada-Nya, sedangkan nyawa dan kesihatan diri seorang manusia lain itu adalah terbatas dan perlukan rawatan segera jika diperlukan.

Maka, ia membawa kita kepada kesedaran ketiga daripada cerpen ini, iaitu hakikat ibadah itu adalah mengembalikan kebaikannya kepada masyarakat, bukan hanya sendiri-sendirian sahaja yang mendapat manfaat daripadanya. Sama ada ibadah itu bersifat khusus (seperti solat, puasa, membaca al-Qur'an, berzikir, dll) ataupun ibadah bersifat umum (seperti menolong orang lain, bekerja, bersedekah, dll), kedua-duanya Tuhan syariatkan kepada manusia agar manusia dapat menjadi seorang khalifah yang baik di muka bumi dan menyebarkan kebaikan itu kepada sejagat.

Apabila Tuhan berfirman bahawa Nabi Muhammad S.A.W. itu membawa rahmat kepada sekalian alam, maka rahmat itu adalah bermaksud teladan dan ajaran Islam yang baginda sampaikan itu adalah bertujuan menjadikan manusia agar sentiasa berada dalam kebaikan dan tidak henti melakukan kebaikan. Nabi telah mengajarkan umatnya tentang hal-hal kebaikan, dan adalah suatu rahmat sekali apabila dunia ini dipenuhi dengan kebaikan-kebaikan.

Jadi, Mas Mantri telah menunjukkan kepada kita semua tentang contoh kebaikan tersebut. Dua kebaikan yang dia telah lakukan serentak, iaitu mengambil peduli terhadap hal-ehwal jirannya, dan menolong jirannya dalam kesusahan. Soal peduli ini yang semakin terhakis dalam budaya masyarakat bandar.

Kepedulian sosial inilah - jika boleh saya sebutkan - yang telah hilang dalam masyarakat Gotham City seperti yang kita boleh tonton dalam filem Joker yang ditayangkan di pawagam pada baru-baru ini. Nilai kepedulian sosial yang semakin hilang menyebabkan orang baik seperti Joker itu telah ditindas, kerana nilai kebaikan itu sudah tidak bernilai di sisi sebuah masyarakat bandar.

Maka, kembali kepada hal Mas Mantri ini, dia telah membuktikan bahawa ibadah kemanusiaan itu adalah lebih tinggi daripada ibadah sendiri-sendirian. Ibadah sendiri-sendirian itu hanya sekadar memanfaatkan diri sendiri semata-mata, tetapi tidak memberi manfaat langsung kepada orang lain jika hidup mahu sekadar berwirid 24 jam tanpa keluar dari rumah ataupun masjid melihat keadaan sosial sekeliling.

Maka, kalau kita silang rujuk cerpen Mas Mantri Menjenguk Tuhan ini dengan cerpen Robohnya Surau Kami oleh Ali Akbar Navis, maka segera kita dapat lihat apakah sebenarnya kesan ibadah sendiri-sendirian tanpa ada kepedulian sosial ini yang menyebabkan seorang Haji Salleh telah mengalami muflis pahala di akhirat nanti.

Tidaklah hendak mengatakan bahawa ibadah sendiri itu tidak penting dan boleh diabaikan, tetapi perkara utama yang harus diberi penekanan ialah ibadah itu harus seiring dengan amal kemanusiaan. Al-Qur'an dan as-Sunnah itu adalah wahyu untuk menjadi panduan kepada kebaikan sejagat, bukannya kitab hukum dan panduan ibadah sendiri-sendirian.

Utamanya, beribadah itu jangan sampai muflis pahala, justeru perlunya kepada ilmu dalam beragama. Mas Mantri telah membuktikannya, tanpa perlu dia menghafal dalil Qur'an dan hadis sebanyak mungkin, kerana yang diutamakan ke hadapan adalah ibadah kemanusiaan yang semakin dilupakan oleh masyarakat pada peradaban moden ini.

Jadi, wajar untuk kita renungi semula: Apakah budaya yang telah hilang dalam peradaban masyarakat kita hari ini, dan apakah ibadah yang perlu kita utamakan agar kita benar-benar dapat menjenguk Tuhan?

P/s: Cerpen Mas Mantri Menjenguk Tuhan boleh dibaca dalam dalam talian di blog ini: https://lautanhening.wordpress.com/2011/09/09/mas-mantri-menjenguk-tuhan-lagi/

25 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page