top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

UKAI ANAK MALAYSIA

Oleh L.



GENSET rosak lagi. Malam ini aku berpanas dan bergelap. Dan seperti biasa – aku tidak dapar berhubung dengan sesiapa. Di sini, kampung ini, masyarakat berkongsi air. Selalu sahaja aku memarahi muridku kerana tak mandi pagi. Ai mit, kami malas nganti– katanya. Tak apalah asalkan kau mahu ke sekolah itu sudah bagus. Sekolah tempat aku mengajar macam rumah panjang (tanpa tangga). Aku dan murid – murid sudah biasa melangkah tinggi ke atas kerana sekolah ini tiada tangga. Sudah reput dimakan anai – anai. Kadang – kadang aku ke sekolah dan sekolahku seperti kuburan. Anak – anak tidak ke sekolah, mungkin pergi berburu. Sepatutnya, esok aku hendak mengajar tentang penggunaan perisian Microsoft Word. Ya lah. Kita sudah menjelang 2020, kereta sudah mahu terbang namun anak – anak sekolah belum pun celik teknologi. Kalau kereta sudah terbang mudahlah aku keluar dari kampung. Tidak perlu bersusah – susah menunggu bot untuk ke seberang.


Tujuh tahun lepas aku ke sini, kulitku jadi sensitif. Sering sahaja kemerah – kemerahan dan dijajah ruam. Pedih. Mujur. Orang kampung baik – baik dan peramah. Aku diubat secara kampung sahaja. Ubat kampung paling mujarab dan doktor kampung lebih bertauliah (di sini). Menjelang 2020, masih sahaja kami bergantung dengan tanaman dan ubat – ubat kampung.


Harap – harap esok genset berfungsi semula. Pernah sekali genset tidak berfungsi dan anak – anak tidak senang duduk di dalam kelas. Aku pun. Tak senang duduk. Muridku paling kecil bangun dan berjalan ke arahku. Dia tidak berbaju sekolah dan tidak berkasut. Kuku kakinya hitam, ada sedikit parut – parut kudis yang sudah kering.


“Pengajar, aku enggai belajar. Aku ka pulai”


“Kenapa? Kalau kau pulang kau buat apa?”


“Nangkap ikan ba sungai”


“Kalau begitu, marilah. Kau ajarkan aku menangkap ikan di sungai. Boleh?”


Dia setuju. Lalu dia yang menjadi guru pada hari itu. Mengajar aku dan lapan orang murid yang lain. Ya lah. Menjelang 2020, sudah pastinya murid perlu dilengkapi dengan pelbagai kemahiran.


Baru kelmarin aku ke rumah murid. Berbincang tentang kewarganegaraan si anak. Aku seperti biasa meminta ibu ayah berfikir panjang tentang si anak. Ya lah. Menjelang 2020, Sains dan Matematik perlu dalam tangan. Mereka perlu belajar ke peringkat yang lebih tinggi.


“Puan perlu faham. Mereka perlu ada kad pengenalan. Kewarganegaraan itu yang kita mahukan”, kataku memujuk.


“Nama tuju?”


“Untuk ke Sekolah Menengah”


“Nama tuju ea ke sekula?”


“Puan, belajar penting. Untuk mencari pekerjaan kelak”


“Ya? Pengajar, ea ngasu pan enda nemu. Belajar pan enda landik. Aku dah enda kiruh ngau tingki”


“Puan..”


“Pengajar, aku ka nanya siti soalan. Enti tiga iko urang minta pengawa, Melayu, Iban, ngau Penan, sapa kena pilih?”


“Melayu” jawabku spontan.


“Enti Iban enggau penan?” soalnya lagi. Aku diam lalu dia menyambung lagi.


“Melayu tetap dipilih. Jadi pa penemu aku iya nibuh besekula”


Aku masih berfikir – fikir lagi tentang soalan yang diajukan. Ya lah. Menjelang 2020, masih ada yang tak mahu ke sekolah. Aku masih tak habis fikir kalau mereka mahu terus hidup begini. Ya lah. Menjelang 2020, masih sahaja membasuh baju di sungai. Sudah berapa helai bajuku dibawa arus. Barangkali tersangkut di ekor buaya.


Panas betul malam ini. Ya lah. Menjelang 2020, genset masih sahaja rosak berhari – hari.

10 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page