top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

TUMBUH RASISME MANTAN SETIAUSAHA AKHBAR KPM Oleh Nursyuhaidah A. Razak

(Sanggahan artikel Kisah Sebuah Parti Politik Yang Terlalu Gopoh Mahukan Perubahan)


Adalah tidak baik bagi seorang penulis Muslim tidak mencermati bait-bait katanya, apalagi menjadi pencetus perkauman yang sudah semakin parah. Telah Allah berfirman di dalam surah Ali ‘Imran ayat 110 - ‘’Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk (faedah) manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah kemungkaran, dan beriman kepada Allah.’’ Malangnya ia tidak dapat keluar dari kerangka taksub kepartian, malah lebih menambah minyak ke dalam api kebencian yang sedang marak. Tujuan perbaik nama sendiri untuk kekal relevan dengan kaedah politik perkauman, ini adalah sesuatu yang sejahteranya boleh kita panggil: kebangsatan. Awas ya, kebangsatan membusuk ini jika dilakukan sendiri oleh Melayu-Muslim, ia memang pantas dipanggil, Melayu-Muslim berperangai baghal (keldai).


Sehingga ke hari ini, yang disebut hanyalah nama Kuntowijoyo untuk menjustifikasikan rasisme tersembunyinya. Awas ya, kaedah menempel nama-nama tokoh besar di dalam tulisan, memang sudah selalu ia lazimkan. Yang tidak disebut (baca: diamalkan) adalah tiga Etika Profetik dengan istilah moden yang diperkenal Kuntowijoyo: iaitu, (i) amar makruf (humanisasi:) (ii) nahi mungkar (liberasi: pembebasan) (iii) al-Iman billah (transedensi). Tiga istilah moden Kuntowijoyo ini saya rujuk dari jurnal Dr Faizal Musa bersama dua pengkaji yang lain, bertajuk ''Gagasan Sastera Islam (Profetik) Oleh Kuntowijoyo'' yang diterbitkan pada tahun 2017. Saya tidak berniat untuk memperincikan ketiga-tiga etika berkenaan di sini, saya kira sesiapapun yang berakal budi, sudah tentu memahami walaupun pengetahuan asas setiap daripadanya. Adalah diharapkan juga pembaca budiman sudah tersedia maklum bahawa wabak perkauman tidak mengenal warna kulit, agama dan bangsa.


Kuntowijoyo dalam mentakrifkan humanisasi (amar makruf), beliau bermaksud: memanusiakan manusia, menghilangkan ‘’kebendaan’’, ketergantungan, kekerasan dan kebencian dari manusia. Dari takrifan ini dapatlah kita simpulkan dengan mudah: mengapi-apikan perkauman adalah dehumanisasi terkutuk merentas abad. Ia menghilangkan esensi kemanusiaan dan kepercayaan masyarakat yang hidup di dalam negara yang multikultural, multibudaya dan multiagama. Awas lagi ya, menjadi pencetus kebencian kepada bangsa lain apalagi jika dilakukan sendiri oleh Melayu-Muslim dan dibenarkan pula perlakuan itu oleh Melayu-Muslim yang lain, sekawanan Melayu-Muslim yang tumbuh perangai sebegitu memang pantas dipanggil, kutu-kutu busuk (bangsat-bangsat).


Sebelum menginjak lebih jauh, suka untuk saya peringatkan rasisme juga sangat dekat relasinya dengan kuasa. Ini jugalah yang telah cuba ia kaburkan dengan kata-kata Lord Acton: “Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely. Great men are almost always bad men…” Sesiapapun yang mempunyai akal yang waras, pastilah mempunyai kesedaran yang juga waras: dunia politik adalah dunia yang mengumpul tahi korupsinya sendiri. Tindakan mengangkat-angkat parti kerajaan 22 bulan dan geng tingkat 13 yang telah ia cari makan sebagai ‘bersih’, sama seperti harapan budak kencing malam. Jika diambil semangat Kuntowijoyo dalam melunaskan tanggungjawab nahi mungkar (mencegah kemungkaran) - penindasan politik dan penindasan pemerintah kepada rakyat, itulah yang lebih awla untuk dikedepankan. Bukannya memanjangkan lagi kebencian kepada satu kaum dan bangsa, atau di dalam konteks ini, yang berbeza parti dengannya. Barangkali untuk melakukan kerja-kerja pembersihan namanya dan kepentingan, atau mungkin untuk mencucikan kembali nama baik sang guru, ia terpaksa menjadi pengampu kiri dan kanan. Inilah tindakan bermoral dan berintegriti menurut tafsiran dangkal ‘aktivis narsis'.


Kerja-kerja jujur untuk kemanusiaan yang sepatutnya memberdayakan masyarakat pembaca untuk keluar dari naratif kebencian bangsa, telah ia gagal lakukan sebagai tanggungjawab sosial seorang penulis Melayu-Muslim. Kemanusiaan itu sendiri jika ia jujur dengannya, haruslah ia tidak mementingkan nilai-nilai dan kekuasaan lain. Malah tindakannya memperingatkan tentang ‘’psiki warga majoriti’’ yakni Melayu-Muslim, amatlah senada dengan gertakan masyarakat konservatif kepada komuniti minoriti: ‘’Aku tuan tanah, dan kamu cuma pendatang.’’


Dari satu sisi yang lain, sesiapapun yang jujur ingin mengambil semangat Usman Awang, lihatlah pernyataan sikap Usman Awang dalam menanggapi perkauman, beliau berkata perkauman kadang-kadang sengaja diperbesar-besarkan oleh pemimpin-pemimpin sendiri untuk mencari keuntungan politik. Dari kenyataan ringkas ini sudah tentu dapat sesiapapun fahami: pencetus perkauman bermakna senada dengan pemerintah, setiap yang senada dengan pemerintah bermaksud senada juga dengan penindasan. Apakah ia mahu membiakkan lagi bibit-bibit kebencian sehingga terjadi pertumpahan darah, saya tidak dapat mengagaknya dengan pasti. Yang sudah tentu jelas, ini adalah penindasan maruah manusiawi dirinya sendiri.


Usman Awang juga menyebut, yang ingin tumbuh dengan intelektual haruslah memilih apakah mereka memihak kepada kekuasaan golongan feudal, kepada politik perkauman atau kepada rakyat seluruhnya tanpa ukuran keturunan bangsa dan warna kulitnya. Atau apakah ia memihak kepada golongan miskin yang ditindas atau golongan berkuasa dan kaya yang menindas. Wiji Thukul juga menyanggah jika dia dipanggil pahlawan, atau membela rakyat. Yang dilakukan Thukul adalah membela dirinya sendiri yang berada di dalam kitaran penindasan penguasa, cuma secara kebetulan dengan membela dirinya sendiri ternyata dia juga menyuarakan hak‐hak tertindas orang lain. Awas ya, tujuan perenggan ini ditulis dengan sengaja adalah bagi memperingat tentang keberpihakan. Ini bukanlah syarahan untuknya, tetapi sebagai kenyataan sejarah untuk generasi anak semua bangsa yang ke depan, yang ingin bebas dari politik perkauman.


Saya akan mengakhiri tulisan ini dengan cepat, barangkali benarlah kata saudara, ini bukanlah perlawanan ideologi tetapi kedengkian, atau juga kata saudari, sesiapapun yang menyanggah ia semuanya kerana ‘personal’, izinkan juga saya untuk jujur hanya kepada saudara saudari: inilah artikel paling tidak penting yang pernah saya tulis. Jauh terdalam di sudut hati paling rahsia saya, ia sendiri sudah tidak lagi relevan. Namun kerja-kerja mengubah naratif perkauman yang telah ia mainkan dengan persepsi "Melayu-Muslim" sepatutnya dapat digerak dan dicantas atas kesedaran moral dan kepekaan sosial saudara saudari selaku penulis, tanpa teragak-agak.


Namun usah tersinggung, saya memahami sesiapapun yang tersangkut dalam hubungan-hubungan personal tidak akan mudah menyatakan jelas pendiriannya. Anggaplah ini sanggahan peribadi terakhir dari anak murid yang telah lama murtad dari perguruan Zul Fikri Zamir. Saya tidak berharap banyak, cukup permaknaan kecil kewujudan saya ini dapatlah tulisan ini menjadi gerak untuk hidup, menjadi penyambung dan disambut rakan-rakan penulis yang betul-betul jujur dengan kemanusiaan.


Saya tutup tulisan ini dengan mengingati seseorang yang pernah memberikan jaminan suatu ketika dahulu, bahawa ia anak muda yang bercakap serupa bikin... yang bercakap tentang masalah masyarakat dan cuba menawarkan ubatnya. Seseorang yang baik hati itu jika melihat peralihan pemikiran dan sikap baghalnya ia yang sekarang, saya yakin, beliau akan terpaksa bersetuju dengan rakan-rakan saya: kita-kita ini lebih baik mati muda, supaya kelak kita-kita tidak sempat tua untuk ubah pendirian. Mati tua adalah mati tersial.

15 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page