top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

TULIS. MENULIS. KUIS.

oleh Azura Nasron.




TULIS. Semua orang boleh menulis tapi tak semua orang boleh meneruskan penulisannya berterusan. Tak semua orang mampu menyentuh hati dengan tulisan mereka. Sedangkan menulis itu sendiri adalah satu terapi buat diri. Ia mampu menenangkan jiwa-jiwa. Kerana kata-kata yang hadir melalui tulisan itu lebih jujur dari hati.


Tulis memang mudah. Kita hanya perlukan satu medium. Tak kisalah sama ada medium yang hanya satu interaksi, iaitu kamu, buku dan pensil atau kamu dan komputer riba kamu atau dua interaksi iaitu kamu dan media sosial. Dimana melalui media sosial ini kamu mampu mendapat pendapat pembaca dengan serta-merta. Itu pun jika ada yang membacanya.


Namun, macam mana pula dengan penulisan yang panjang, seperti zine, cerpen, atau buku? Bukanlah, seperti tulisan- tulisan biasa yang kamu boleh memberi orang lain membacanya serta merta. Semestinya kamu harus memastikan ia siap ditulis dahulu.


Tidak kisahlah, sama ada tulisan itu mengambil masa seminggu, sebulan, setahun malah sepuluh tahun sekali pun, selagi ia belum siap maka kamu tidak boleh tunjuk selagi ia belum siap.


Persoalannya ialah, apakah motivasi yang diperlukan untuk kekal menulis?


TULIS

kamu hanya perlu mula menulis. Percayalah, idea itu akan datang sendiri. Sekarang, cuba berhenti membaca, dan menulis. Jangan cari alasan masa dan sebagainya, tapi cari jalan penyelesaian. Masa kita semua sama dua puluh empat jam sehari. Sentiasa membawa buku dan pen kemana sahaja. Bila ada masa, terus menulis. Jangan sia-siakan idea yang mengalir.


CARI CARA PENULISAN

Apa yang menyebabkan kita malas untuk menulis ialah selalunya bila kita cuba untuk mengikut kehendak orang lain. Terlalu risaukan tentang penulisan tidak seperti orang ini atau tidak seperti orang itu, hanya akan melemahkan penuliasan diri sendiri. kamu akan mula berasa malas dan akhirnya putus asa dan hanya menulis bila nafsu menulis kembali. Tulis sahaja. Macam mana tulisan kamu sekalipun, kalau ia menarik orang tetap akan baca. Apa guna tuhan ciptakan manusia berbeza-beza kalau semua mahu serupa.


JANGAN MULTI-TASKING!

Ya, jangan buat semua benda dalam satu masa, masa tu lah kamu hendak menulis masa tu juga lah kamu hendak makan masa tu jugalah kamu hendak berborak. Tidak! Kamu bukan komputer. Kamu bukan robot. Kamu perlukan fokus. Untuk menulis. Tidak kisahlah kalau sepuluh minit atau sejam sekalipun, apabila kamu sedang menulis gunakannya untuk menulis sahaja!


REHAT

Ya, rehat. Kalau tadi jangan multi-tasking, sekarang jangan terlalu obses. Obses kepada sesuatu benda adalah sangat merbahaya. Perlahan-lahan menulis dan menikmati tulisan kamu satu persatu. Kamu tak perlu siapkan semuanya dalam satu masa yang sama, dan tiba-tiba berhenti untuk masa jangka yang panjang. Lebih baik jika kamu menulis sedikit tetapi berterusan.


PENYOKONG

Kamu fikir hanya ahli sukan perlu penyokong? Tidak, penulis juga perlu sokongan. Sokongan yang padu. Jauhkan diri dari mereka yang sentiasa menjatuhkan tulisan kamu. Abaikan sahaja mereka. Teruskan menulis. Jadikan mereka yang menjatuhkan kamu sebagai semangat untuk teruskan menulis. Cari orang sekeliling yang juga sukakan penulisan. Bukan sahaja mereka menyokong kamu bahkan mereka boleh menjadi tempat merujuk sewaktu diperlukan.


BACA

Manakan menulis tanpa ilmu didada. Seorang penulis harus membaca lebih banyak daripada seorang yang hanya membaca. Kamu ada dua pilihan, membaca buku yang menulis sangat hambar, supaya ia memberi kamu semangat untuk menulis lebih baik, atau membaca buku yang menulis sangat menarik, juga supaya ia memberi kamu semangat untuk mencapai dan boleh menulis sebegitu hebat. Tapi apa yang penting ialah, kamu harus membaca. Apa guna tuhan turunkan ayat Iqra, kalau kamu malas membaca.


RANCANG

Rancang penulisan esok. Kalau perancangan esok harus dibuat harini maka rancangan harini sudah dibuat semalam. Maka kamu akan sentiasa menulis untuk mencari idea hari esok. Tetapkan satu tajuk dan capaikan matlamat untuk menyiapkan tajuk itu pada hari itu juga. Apa-apa sekalipun rancangan kamu, cari dan rancang kebahagian untuk esok hari. Supaya nafsu menulis itu tidak pudar.


Dan akhir sekali, BERHENTI CARI MOTIVASI UNTUK MENULIS.

Untuk jadi seorang penulis kamu hanya perlu menulis!


Ditulis oleh seorang yang malas menulis.

52 views0 comments

Comments


bottom of page