top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

TUHAN TAK LAGI DI MASJID oleh Izzah Dejavu.

MEON berlari-lari di sekitar kampung sambil menjerit,


“Tolong! Tolong! Tuhan sudah tidak ada di masjid.”

“Tuhan sudah tidak ada di masjid!”

“Tuhan sudah tidak ada di masjid!”


Orang kampung yang mendengar pekikan Meon segera keluar dari rumah. Mereka jadi bingung dengan kenyataan Meon. Meon itu anak nakal yang tidak habis sekolah lalu menghabiskan masa mudanya bermain di tepi paya hampir setiap hari. Sudah beberapa kali Tok Imam dan ketua kampung terpedaya dan dikerjakan oleh Meon. Kali ini entah apa lagi yang akan dibingitkan Meon. Tapi kenyataan Meon kali ini benar-benar meresahkan jiwa setiap penduduk.


“Kali ini aku tidak tipu, memang benar, Tuhan sudah tidak ada di masjid!”

Meon tercungap-cungap sambil tangannya menunjuk ke arah kubah masjid yang diperbuat dari kristal berjumlah RM 22juta itu. Nasib sahaja tahun ini negara dilanda wabak, kalau tidak setiap perayaan besar pasti mengundang hampir semua orang yang tidak pernah Meon temui wujud di kampung, dan bakal pula menghabiskan RM2 juta untuk membaiki cacat cela masjid.


“Kau ini sudah gila ya Meon! Berani-berani sahaja kau teriak Tuhan tidak ada di masjid. Kau gila ya? Memainkan sifat Tuhan yang tidak ada. Mahu jadi kafir?” dari jauh Haji Hadi sudah panas telinga mendengar teriakan Meon. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia mencili bibir Meon, namun melihat riak wajah bersahaja Tok Imam yang sibuk memangkas pokok bunga, Haji Hadi menguburkan niatnya segera.


“Aku tak gila. Aku bercakap benar. Memang Tuhan sudah tidak ada di masjid!” kali ini Meon sudah tidak berteriak. Wajahnya kelihatan sedih kerana tidak ada orang ingin mempercayainya.


“Tok Imam! Sudah-sudahlah memotong pokok. Imam tidak dengarkah apa yang dikatakan si Meon ini. Habis satu kampung ribut mendengar katanya-katanya! Ana rasa kita tak boleh biar perkara ni berlarutan. Buruk padahnya nanti.” Haji Hadi mengeluh sampai terpercik air liurnya menerangkan pada Imam.


Perhatian Tok Imam terarah pada Meon dan Haji Hadi.


“Apa yang nak diributkan ni Haji? Aku dengar saja kau berlawan mulut dengan Meon ni.” Tok Imam tersenyum memandang Haji Hadi yang sudah merah anak matanya menahan amarah.


“Baguslah kalau Imam dengar. Jadi sekarang ni bagaimana Imam? Ana nak cakap apa nanti pada orang kampung setelah solat. Sudah beberapa orang kampung menghubungi ana bertanya tentang hal yang diperkatakan Meon ini. Mereka bimbang kalau Tuhan tidak ada di masjid, siapa yang mahu mendengar zikir-zikir, tangisan dan penyesalan mereka?” Haji Hadi mencebik. Hatinya belum puas kerana Tok Imam seperti mengambil mudah atas hinaan pada Tuhan yang dilakukan oleh Meon.


“Sabar. Sabar Haji. Aku tahu hati kau tengah marah. Mari naik atas rumah dulu, aku bancuh kopi cicah roti kering yang kau suka. Meon, kau pun mari la naik sekali.” ujar Tok Imam sederhana.


Mendengar ajakan Tok Imam, Haji Hadi dan Meon akur naik ke ruang tamu. Kedua-duanya bertegang muka. Tok Imam keluar dari arah dapur dengan aroma kopi cap Kapal Api, yang dibeli kerana terpengaruh iklan ‘Jelas Lebih Enak’ sebelum memulakan bicara,

“Begini Haji… aku diam kerana menurut pendirianku yang dikatakan oleh Meon itu kan tidak salah. Memang benarkan, Tuhan di ada di masjid. Bila sahaja masanya Haji melihat Tuhan di masjid? Aku juga bahkan seumur hidup ini tidak pernah lagi menemukan Tuhan di masjid” bibir Tok Imam mengulas senyum mempamerkan gigi tuanya yang jarang-jarang.


“Memang benar itu Imam, tapi kan kenyataan Meon itu menimbulkan keresahan orang kampung! Lagipula, budak Meon ini seperti mempermainkan sifat Tuhan. Seolah-olah Tuhan itu ada jasad untuk dilihat. Ini kan salah! Imam…” Haji Hadi terus menyambung gelisahnya,

“Itu baru yang kecil. Ini, nanti kalau semua orang tahu Tuhan tidak ada di masjid, semakin kuranglah jemaah kampung kita ini. Imam bukan tak tahu, anak-anak muda sekarang, tak mahunya mereka nak ke masjid lagi nanti! Jangan-jangan tinggal Imam sahajalah nanti, tanpa makmum!” Haji Hadi berkeras mahu Tok Imam memihak padanya. Sempat juga dia memberi paku buah keras kerana jelik melihat sifat lembut Tok Imam pada Meon.


“Kau ini, ada-ada sajalah Haji!” Tok Imam mengekek geli hati mendengar kata-kata berpandukan hidayah Tuhan yang keluar dari mulut Haji Hadi. Meon diam; memberi perhatian pada mereka berdua sambil otaknya ligat berfikir.


“Beginilah Haji. Haji sendiri mengakui, memang Tuhan, tidak ada di masjid. Maka, yang harus Haji khuatiri itu bukan pada Meon atau kegelisahan masyarakat, tetapi harus lebih Haji khuatiri dengan serius, adalah bagaimana Haji mahu mendepani masyarakat dengan berlaku jujur pada ilmu…” Tok Imam menelan air liur membasahkan tekak yang kering sebelum menyambung memilih perkataan yang tepat,


“…jangan-jangan, ketakutan Haji dek nanti akan kehilangan Jemaah atau hilangnya muda-mudi kampung ini, ramainya orang tidak mahu dekat pada Tuhan, sebenarnya datang dari esensi agama yang tidak matang atau mungkin ketakutan peribadi Haji sendiri.” Tok Imam berhenti bicara mengambil jeda panjang.


“Maksud Imam, bagaimana? Cara beragama Haji Hadi salah?” Meon mencelah, mempersoal soalan berat.


“Bukan. Bukan begitu maksud aku. Masakan aku maksudkan cara beragama manusia itu salah sedangkan, cara beragama dan cara setiap orang mendekati Tuhan sahaja berbeza.” mata Tok Imam mengarah pada Meon lalu menyambung,


“Maksudku begini, kita ini kan harus selalu memeriksa diri, kerana terkadang, hanya kerana memikirkan banyak ibadat yang telah dilakukan, jangan sampai kita merasakan kita sahaja yang benar. Jangan sampai menjalankan ibadat membuat kita merasa saleh di sisi Tuhan, kerana terasa sudah ‘menyenangkan’ Tuhan. Lebih barah lagi kalau agama itu hanya menjadi sebatas penyebaran kata-kata. Apatah kalau agama menjadi tren tentang soal ‘memberitahu’ orang lain, apa yang benar dan tidak menurut kita, tetapi senyap dalam mengatakan tentang keadilan, kesamarataan, kesaksamaan, tentang nilai-nilai agama dan perkembangan jiwa….” ujar Imam beraut wajah serius dalam mengatakan hal ini.


“Dan lagi satu yang mesti diinsafi dengan serius, Haji lihat sendiri kan betapa ramainya orang yang menjadikan agama sebagai pekerjaan. Bahkan di era ini, orang boleh kaya hanya dengan memakai jubah agama dan ternyata ia berhasil. Memakai jubah agama menjadikan seseorang kalis dosa kerana disangka ‘pewaris Nabi’. Namun kan menjengkelkan, kalau yang hanya diwarisi hanyalah kehormatan pada statusnya bukan esensi perjuangan Nabi sendiri.”

Meon dan Haji Hadi keduanya memandang lantai. Entah apa yang mereka fikirkan. Keduanya membisu dengan penjelasan Tok Imam.


“Tapi Tok, Meon ada soalan.” Wajah Meon berkerut seribu cuba untuk menyusun ayat di kepalanya. Haji Hadi membuntangkan matanya kepada Meon.


“Apa lagi yang mengganggu fikiran kamu Meon?” Tok Imam menyoal sambil menyarung kopiahnya; ingin berangkat ke masjid sebelum masuk waktu solat Asar.


“Kalau Tuhan tak lagi di masjid, Tuhan ada di mana?”


“Tuhan ada di mana-mana. Antara Tuhan dan kita, tidak ada yang namanya ‘Jarak’. Di setiap detik dan saat. Di setiap gerak dan kaku. Di kesulitan dan kesenangan. Di terik pagi dan bayu malam. Pada sunyi dan hiruk-piku, Tuhan ada…” belum sempat Tok Imam menyambung puisi yang dikarangnya semalam, Meon mencelah.


“Maknanya, Tuhan juga ada dalam korupsi?”


“Ah, kamu ini Meon! Ini mesti tentang kes Wak Aman di kampung sebelah kan. Korupsi seperti arak. Makin dihinggapi, makin mengkhayalkan ramai. Dan penting untuk kamu tahu, Tuhan juga ada dalam korupsi; jangan kerana tidak ada ‘ayat jelas’ hal pengharaman korupsi, Tuhan tidak akan menilai orang-orang yang:

i. Membuat KORUPSI

ii. Mengedar KORUPSI

iii. Meminum KORUPSI

iv. Membawa KORUPSI

v. Mengirim KORUPSI

vi. Menuang KORUPSI

vii. Menjual KORUPSI

viii. Memakan hasil KORUPSI

ix. Membayar KORUPSI

x. Memesan KORUPSI


Bunyi kerantung dari arah masjid menghentikan perbualan mereka. Imam mengajak Meon dan Haji Hadi berjalan ke masjid. Haji Hadi banyak diam sepanjang perjalanan menginsafi bahawa, bukan semua kata-kata yang keluar dari mulutnya berpandukan hidayah Tuhan kerana banyak juga yang datang dari mulut, adalah dari nafsu-nafsu jahat politik.

50 views
bottom of page