Ya, Tuhan barangkali sedang senyum !
Macam mana Tuhan boleh senyum sedang manusia seluruh dunia hidup dalam ketakutan dan kerisauan? Diancam wabak penyakit yang kini telah makan angka korban hampir 400 ribu orang dan catatan kes melebihi 4 juta jiwa. Apakah wabak penyakit ini suatu rahmat?
Wabak ini telah berjaya membuat suatu lonjakan paradigma buat manusia dari segi praktik hidup seharian, pemikiran, sistem ekonomi, pentadbiran, pandangan keagamaan dan sosial. Ini adalah antara 3 hikmah pandemik Covid-19 yang barangkali membuat Tuhan sedang senyum atas situasi manusia:
Pertama, melondehkan kegagalan sistem ekonomi neoliberal. Neoliberal adalah suatu sistem ekonomi yang sentiasa berpihak kepada pihak pemodal (kapitalis), bank dan korporat. Sistem dan falsafah ekonomi yang berkiblat kepada memaksimumkan keuntungan ini ternyata telah gagal. Jika dilihat dari sejarah krisis ekonomi dunia, sistem ekonomi neoliberal ini sebenar telah gagal dan runtuh semasa krisis ekonomi dunia 2008 lagi, namun kerana keegoaan mereka yang sentiasa tamak dan nak keuntungan maka diyakinkan bahawa sistem ini masih hidup.
Syukur Tuhan kerana telah terlondeh bahawa sistem yang zalim, menindas, dan tidak mengambil kira kebajikan kelas pekerja ini ternyata gagal berhadapan dengan virus kecil yang Engkau hantarkan.
Kedua, Tuhan tidak wujud di ruangan masjid atau surau sahaja. Penutupan masjid dan surau oleh pihak kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 mendapat sambutan yang pelbagai daripada Muslim. Namun solat boleh sahaja dilakukan di mana-mana sahaja hatta dirumah, tempat kerja dan sebagainya. Agamamu itu dibangunkan bukan di masjid dan surau semata. Islam itu hendaklah dibina dan dibangun didalam jiwa dan praktik kita. Apakah tanpa masjid dan surau maka Tuhan itu tiada? Apakah tanpa masjid dan surau maka penyembahan dan ketaatan pada Tuhan juga harus diberhentikan juga?
Tuhan itu Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui setiap gerak geri hamba-hambaNya. Dia itu wujudNya tanpa bertempat. Barangkali benar seperti kata Kuntowijoyo 20 tahun yang lalu bahawa kita ini adalah masyarakat ‘Muslim Tanpa Masjid’.
Ketiga, kehancuran sistem pemerintahan kerajaan dalam pelbagai sektor. Pandemik Covid-19 telah berjaya melondehkan satu persatu kehancuran sistem pemerintahan kerajaan dalam pelbagai sektor didalam negara. Kehancuran yang didalangi oleh para politikus. Sudah pasti kehancuran ini disulami oleh elit yang mundur, korupsi, praktik feudalisme yang tebal, kebencian pada ilmu dan pencerahan, sikap tamak dan pentingkan diri serta permainan politik yang tiada pengakhiran. Kini barulah kita bising bahawa pelajaran anak anak di rumah susah kerana akses capaian internet sangat teruk.
Kini barulah kita mulai bising bahawa hak-hak pekerja di Malaysia banyak diabaikan oleh majikan-majikan. Sekarang barulah kita nampak bahawa pengurusan kita terhadap para migran yang bekerja di negara ini banyak ketempangannya. Sekarang barulah nampak wajah-wajah mereka yang rasis, tamak dan pentingkan diri serta menyebarkan kebencian jelas.
Kini barulah masyarakat sedar bahawa betapa susahnya golongan miskin bandar, B40 dan mereka yang terpinggir selama ini berhempas pulas siang malam bagi mendapatkan sesuap nasi.
Penulis rasakan bahawa cukup dahulu 3 perkara ini. Dan ohh ya, terima kasih Tuhan!
Kommentare