TIDAK ada orang tua berkeinginan meletakkan anaknya dalam sebuah bot kecil yang akan berlayar di tengah perairan luas dan dalam, melainkan berada di perairan itu lebih selamat dari menjejak tanah –menjadimanusia
Tapi kata Tok Mat aka Mohamad Hasan kelmarin, ‘We had no choice but to return away boat carrying some 200 of Rohingya refugees’. Bahasa Inggeris mudah yang dapat difahami ramai. Pasti nanti akan ramai bahaskan, itu pasti tajuk saja. Poin yang Tok Mat katakan ada benarnya jugakan? Negara ini ada peraturannya. Ada polisinya? Lagipula ramai lagi yang ber ‘IC’ biru perlu dibantu. Kenapa pilih untuk membantu mereka? Kalau nanti lebih meningkat dan menular pandemik COVID bagaimana? Siapa mahu tanggung? Kamu?
Aku fikir tidak ada lagi hal yang bisa mengejutkan aku lagi. Hari ini seorang teman perempuanku menitip pesan lewat Whatsapp. Barangkali terganggu apabila perbualannya bersama teman lain hal Rohingya- secara acuh tidak acuh berkata; bahawa ramai sahaja Rohingya yang berjaya di Malaysia- kenapa mereka tak balik bangunkan negara mereka?
Aku diam sebelum menjawab. Fikiran aku berputar lewat kira-kira 2 minggu lalu ketika membantu penghantaran barang pada yang memerlukan. Yang aku tahu, aku harus pergi ke beberapa kawasan, jadi pemudah cara penghantaran barang. Di sana aku bakal menemui seorang laki-laki yang akan mengurus pembahagian barang buat komuniti. Katanya, panggil saja Ahmad. Satu jam kira-kira kami membawa barang keluar dari 2 van kecil dan pengagihan sebelum pulang ke tempat berkumpul.
Van aku dipandu oleh dua orang lelaki badan uniform. Memecah sunyi awal perjalanan kami berbual hal kebiasaaan. Bagaimana kehidupan berjalan dan rutin harian. Tidak mereka tahu, persoalan ketika pulang mereka berdua, tak lagi memecah kesunyian, tapi merobek jiwa kecilku. Lelaki bertubuh kurus dan sedikit kumis, mengintai ke belakang dari cermin hadapan, tanpa ragu dia bertanya,
“Kenapa bantu Rohingya, bukan warganegara kita? Korang semua bagi dekat orang lain eh?”
“Oh! Kita bagi pada semua. Ramai yang memerlukan sekarang” Aku menjawab perlahan sebelum memilih untuk sepi dan bungkam. Aku mahu mendiamkan diri. Membawa wajah ke sisi tingkap kanan van. Kalau ikut mulut aku ingin sahaja menjerit kuat;
“Tapi kalau kita bantu warganegara, yakinkah tidak ada yang akan mempersoal, kenapa bantu Cina, India, Orang Asli, tak bantu Melayu?”
3 PANDEMIK KEMANUSIAAN BORJUIS
1. KEMANUSIAAN HIERARKI
Kemanusiaan hierarki jarang dapat dikenalpasti secara zahir. Kebanyakkan tindakan lahir dari minda separa sedar dan proses pemikiran yang ditanam dan berakar dalam diri. Kemanusiaan hierarki meyakini bahawa ada tingkat dan lapisan yang mesti diselamatkan dan disantuni, dan ada sebahagian yang lain tidak. Ada kedudukan dan lapis dalam masyarakat menjadikan nilai seorang manusia itu berbeza dalam kaca mata kemanusiaan hierarki.
Kemanusiaan ini adalah kemanusiaan yang berangkat dari sebuah kehairanan. Kemanusian ini merasa hairan kenapa pertolongan, bantuan harus diberi pada SEMUA ORANG. Kehairanan ini bukan cuma sekali, tapi beratus-ratus foto kemanusiaan yang ia pamer atas tujuan kemanusiaan-ia sendiri akan masih merasa hairan kenapa pertolongan mesti diberi pada SEMUA ORANG? Kemanusiaan yang hairan ibarat solat, tapi tidak merasa apa-apa saat kemanusiaan diragut. Ibarat media massa yang penuh ceramah agama di malam hari, tapi siangnya mengagung para kapitalis dan koruptor. Ibarat orang kaya pergi Haji beratus kali, tapi yang pulang cuma jiwa yang berisi kesombongan pada tetangga. Hati-hati dengan kemanusiaan yang hierarki. Ia bersifat dalaman dan peribadi. Tidak dapat dilihat mata kasar. Tidak dapat pula diselamatkan oleh orang lain, kecuali mereka yang berusaha mendepani kejahilan.
2. KEMANUSIAAN TANPA KESEMPURNAAN MANUSIAWI
Kerja kemanusiaan adalah kerja kemuliaan. Kerja Nabi. Tapi kemanusiaan tanpa kesempurnaan manusiawi adalah kegagalan. Kita semua mencintai kemanusiaan-kita cinta pada yang berbuat keadilan, yang bercakap benar. Namun persaudaraan sesama manusia gagal kita terjemahkan dalam kemanusiaan yang kita anuti hanya kerana satu kad nama-yang bila bila masa boleh dipatahkan, dihilangkan, dilenyapkan. Kemanusian yang sempurna manusiawinya tidak mengenal apa yang dipanggil ‘batas’. Baik itu batas agama, batas kepercayaan, batas warna kulit, batas bahasa, batas sosial apatah lagi batas negara. Hancurkan sahaja batasnya. Bukankah kamu yang melaung, bahawa di depan Tuhan, bukankah kita semua sama?
Kesempurnaan manusiawi juga tidak dapat dicapai apabila kita bersikap membandingkan kesusahan A dan kesusahan B. Kemanusiaan dan empati bukan dinilai dari jarum timbang kilo seperti di pasar-pasar membeli ikan. Kita tidak boleh melihat jalur kemanusiaan dengan perbandingan dua kesusahan dan kemelaratan. Kita harus peduli bahawa baik A atau B, keduanya dalam kesusahan meski mungkin situasinya berbeza. Awas! Jangan-jangan saat kita membandingkan dua kemalaratan, kitalah yang telah mendehumanisasi makna dalam kemanusiaan.
3. KEMANUSIAAN BORJUIS
Kalau kemanusiaan Nabi adalah kemanusiaan yang memilih status sosial, rupa, warna kulit, bangsa dan negara, Nabi juga pasti buntu mahu memilih di hadapan Tuhan. Sungguh, Tuhan tidak memerintahkan Nabi untuk memilih. Dan saat Tuhan, tidak membezakan manusia, kenapa manusia membezakan sesame mereka? Lantas gagal memahami keserataan dalam perbezaan identiti yang unik? Kemanusiaan yang memilih juga datang dengan dorongan kerja bantuan mana yang lebih glamour dan mendapat perhatian. Jangan-jangan, terdetiknya prejudis di hati kita pada manusia lain adalah kerana mereka tergolong dalam golongan yang tidak penting. Tidak mendatangkan keuntungan buat diri, poket dan populariti.
Umumnya, ada sikap kemanusiaan borjouis dalam diri manusia yang mendakap universalisme dengan moral kemanusiaan borjuis. Moral yang kasihan pada mereka yang tertindas, tetapi jangan sampai urusan mereka(yang tertindas) menghalang perjalanan kehidupan borjuis. Dosa moral kemanusiaan borjuis adalah kerana membenarkan berlakunya perbezaan hak istimewa antara sesama manusia. Ia membiarkan dan memilih hanya sedikit orang yang boleh bebas, dan membiarkan yang lain hidup dalam kecemasan untuk bertahan hidup walau sehari. Dosa moral kemanusiaan borjuislah yang membuat satu kumpulan boleh memaksa dan merendahkan kumpulan lain. Bahkan, ia mengambil hak asasi, hak perundangan, hak sosial dan ekonomi yang amat sulit untuk dipertahankan dan dipelihara dalam najis moral borjuis.
TANGGUNGJAWAB KEMANUSIAAN
Dalam jiwa manusia telah tertanam kebenaran. Namun atas sebab tertentu barangkali kebenaran tertutup oleh wajah kejahilan. Tanggungjawab kemanusiaan kita mestilah mampu merungkai permasalahan sosial masyarakat dan merasai dengan sebenarnya duka lapar saudara semanusia kita. Kemanusiaan kita mestilah kemanusiaan yang peduli bukan sahaja kerana nilai angka 200, tetapi kemanusiaan yang peduli dan mengiktiraf pada setiap dan satunya adalah kehormatan pada nyawa. Kemanusiaan yang peduli adalah kemanusiaan yang tahu di mana ia harus berdiri dan mengapa ia berpihak pada pendiriannya. Kemanusiaan peduli meyakini bahawa keadilan untuk semua, toleransi keamanan dan kesaksamaan sosial, ekonomi dan gender duduknya di bawah satu payung cinta yang menggerakkan tindakan dan perlawanan. Kerana tanpa cinta, kemanusiaan tidak mungkin tumbuh bertahan walau sehari.
MUSUH KEMANUSIAAN
Kemanusiaan Borjuis hanya membuat kita terlelap dalam dunia angan-angan untuk satu dunia yang lebih baik untuk semua orang. Angan-angan yang menjauhkan kita dari realiti.
17 April 2020; 10.26 pagi- Pesawat C-130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) telah mengesan sebuah bot sarat dengan kira-kira 200 orang Rohingya yang terdiri dari lelaki, wanita dan kanak-kanak dan mengekang pergerakan bot tersebut. Namun atas dasar kema*****n, anak kapal KD LEKIU telah memberikan bantuan wajar dan mengagih bekalan makanan dan mengiringi bot keluar dari perairan negara. (Sumber: FB TUDM)
Mengubah kata Rendra,
“Apakah artinya kemanusiaan
bila terpisah dari derita linkungan
Apakah artinya berfikir akan kemanusiaan
bila terpisah dari masalah kehidupan.”
Comments