“Kita adalah angkatan gagap.
Yang diperanakkan oleh angkatan kurang ajar
Daya hidup telah diganti dengan nafsu
Pencerahan telah diganti oleh pembatasan”
W.S Rendra
ADA sebab mengapa dua tangan dan kaki anak muda diikat rapi dari dibiarkan bebas, bebas mempersoalkan moral penguasa mahupun elit. Peranan mereka dimomokkan, dilekehkan malah ada yang didoktrin supaya sentiasa tunduk pada kekuasaan sejak dari bangku sekolah lagi. Inilah yang pernah diungkap oleh Rendra “dasar pendidikan kita adalah kepatuhan, bukan pertukaran fikiran.”
Anak muda juga sering mendapat perhatian apabila menonjolkan sisi berbezanya. Kadang-kadang mereka dipuja tetapi selalunya dihina. Mereka seringkali dilihat tidak matang dan ideanya tidak masak bila berbicara.
Ada juga anak muda yang tenggelam dengan pujuk rayu elit penguasa lalu mengikuti mereka. Ada anak muda kekal bermoral tanpa mampu digugah sesiapa, ada juga anak muda yang mempertikaikan perlawanan anak muda yang lainnya kerana bagi mereka kelompok kekuasaan tidak dapat digugah dan ditegur moralnya kerana kuasa bukan milik anak muda.
Begitulah antara persepsi yang ditanamkan terhadap anak muda. Yang menyokong anak muda untuk terus menyuarakan suara moral itu tidak menjadi masalah tetapi yang membangkangnya itu menimbulkan sedikit kebimbangan dan tanda tanya kerana mahu atau tidak ia sepertinya mahu menanamkan budaya kelesuan dalam diri anak muda. Lesu dalam berhadapan dengan realiti manusia dan dunia. Lalu lesu dengan kehidupan sehingga menimbulkan perasaan nekrofilia (cinta akan kematian)
Semakin hari budaya kelesuan itu semakin menebal. Anak-anak muda tidak diisi harinya dengan budaya kesedaran, wacana juga mengedepankan keadilan. Malah masa-masa mereka pula diluangkan dengan budaya-budaya baru yang kelihatanya “popular” semisal tiktok yang dipimpin oleh elit penguasa yang rendah seleranya.
Platform itu tidak salah dan yang menggemarinya juga tidak salah, yang menjadi persoalan besar mengapa kepala negara berani mengeluarkan idea sebegitu? Membangunkan anak muda bukanlah sebuah jenaka, hiburan dan langkah-langkah popular.
Membangun anak muda yang bermoral, tercerah dan berpihak itu adalah amanah besar buat elit penguasa dan harus dipikul di pundak mereka. Adakah strategi mereka itu merupakan salah satu cara untuk mendiamkan peranan anak muda dari menjadi suara moral menegur elit penguasa?
Sekarang ini kita berhadapan dengan banyak masalah, selain dari Coronavirus, kita punyai satu lagi masalah yang akan dihadapi generasi muda kini dan seterusnya jika tidak diubah segera iaitu idea kepada pasaran bebas (neoliberalisme).
Setelah tumbangnya idea ekonomi Keyness sekitar tahun 1970-an akibat dari kemelesetan ekonomi yang teruk, munculah idea ekonomi baru yang dibawa oleh Friedrich Von Hayek yang dinamakan sebagai neo-liberalisme. Ditambah lagi dengan anak muridnya merangkul anugerah Nobel iaitu Milton Firedman memperkukuhkan lagi cengkaman idea ini sehingga diadopsi oleh syarikat-syarikat gergasi, IMF, Bank Dunia malah negara. Antaranya Ronald Reagan dan Magarat Thatcher termasuklah pemimpin negara kita.
Neoliberalisme menekankan pada kebebasan individu sepenuhnya, tanpa campurtangan dari negara. Individulah yang sepenuhnya akan mengatur mekanisme pasaran juga mengatasi setiap masalah ekonomi yang terjadi. Neoliberalisme sangat yakin pada kebebasan memilih individu dalam persaingan bebas (kompetisi) untuk mencapai kemakmuran setinggi-tingginya. Maka campurtangan negara hanyalah akan merosakan ekonomi yang akan mengakibatkan inflasi, pengganguran, kemelesetan ekonomi bahkan depresi.
Neoliberalisme tidak akan menyentuh soal ketidaksamarataan ekonomi atau kesenjangan sosial (inequality) yang akan mereka timbulkan setelah ekonomi ini dilaksanakan, kerana bagi mereka itu bersifat alamiah. Bagi mereka sesiapa yang menang dalam persaingan bebas dan menjadi kaya-raya akan menitiskan keuntungan (tricle down effect) pada orang banyak terutama pada orang yang miskin.
Dengarnya sebagai sebuah rancangan yang baik, namun hakikatnya tidak terjadi seperti apa yang diungkap. Idea ekonomi yang dianggap ideal ini akhirnya menimbulkan ketamakan. kerakusan dan malapetaka pada kita dan dunia.
Antara dampak neoliberalime ini pada kita adalah berlakunya penswastaan besar-besaran terutama pada perusahaan-perusahaan yang sebelum ini merupakan milik negara lalu mengakibatkan kekayaan publik beralih kepada syarikat swasta. Negara tidak boleh mengawal apa yang syarikat ini lakukan. Akhirnya kita terperuk dengan kenaikan harga-harga barang keperluan kita tanpa belas kasihan.
Kemudian berlaku pula pemontongan pada subsidi-subsidi untuk publik (masyarakat). Walaupun idea asalnya subsidi ini diperuntukan adalah untuk memberikan bantuan pada mereka yang memerlukan, akhirnya disekat lalu ditamatkan. Tidak kisahlah sama ada untuk air, elektrik, pendidikan mahupun hospital kerana subsidi ini tidak mendatangkan keuntungan pada mereka juga sebagai satu langkah penjimatan.
Ketiga, syarikat-syarikat swasta ini akan memangkas setiap polisi dan undang-undang yang dapat mengurangi keuntungan mereka. Kerana undang-undang pemerintah ini akan menjejaskan perusahaan mereka, biar mereka yang tentukan harga. Kerana objektif akhirnya itu adalah keuntungan bukannya tanggungjawab sosial.
Keterlibatan kerajaan dengan ekonomi negara akan diminimumkan yang akhirnya akan menghapuskan kewajiban negara untuk menjalankan kepentingan rakyat dan akan digantikan dengan peranan komersial swasta. Antaranya dengan kewujudan hospital dan sekolah swasta, yang memaksa kita untuk kesana sekiranya mahu pendidikan atau kemudahan kesihatan yang lebih baik. Negara tidak lagi mengambil inisiatif untuk membangunkan kedua-dua hal itu.
Nah, inilah soalan yang selalu kita tanyakan, mengapa pemerintah kita tidak membantu kebajikan rakyat, kerana tangan dan kaki mereka sudah diikat oleh kekuasaan lainnya. Yang menyebabkan mereka patuh dan terus mengikutinya. Segala idea tentang kebersamaan, perkongsian digantikan dengan individu dan ketamakan.
Makanya cabaran anak muda itu besar, dan saya sedar benar setiap elit penguasa menyedari hal ini termasuklah Menteri dari Kementerian Pengajian Tinggi. Dengan mengajurkan pertandingan tiktok buat anak muda dalam masa senggang mereka tidak akan membongkar hal kerosakan ini.
Sama ada mereka sengaja menganjurkan itu supaya anak muda terus hanyut atau mereka sebenarnya gagal dalam berfikir waras bagaimana mahu memastikan anak muda masa hadapan nanti dapat berfikir waras, berpihak dan adil dalam mengelola negara yang mereka cinta tidaklah dapat dipastikan. Tapi yang kita tahu selera buruk mereka ini akan merosakan kita nanti.
Sebab itu kita semua mempersoalkan hal ini kerana memegang jawatan tinggi hadir dengan tanggungjawab yang besar. Kita menghadapi masalah yang bersusun antaranya neoliberalisme dengan hanya menawarkan dan memupuk budaya kelesuan dalam kalangan anak muda tak akan dan tidak akan menyelesaikan masalah-masalah yang mengakibatkan manusia semakin miskin, semakin hilang sifat kemanusiaan dan semakin narsis. Sepatutnya jika mereka serius, sekarang inilah masa untuk memupuk pemikiran kritis, memastikan bila semua hal ini selesai setiap lapisan masyarakat ada nilai tambah yang boleh dibanggakan.
Comments