top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

THE BULL-SHIT oleh Izzah Dejavu

AKU punya segunung kemarahan

Dan aku masukkan dalam sebuah tulisan

Aku punya sebilah keresahan

Dan aku masukkan dalam sebuah tulisan

dengan darah dan luka

Buku merah darah ‘Women at Point Zero’ itu aku tutup rapat. Seolah ada kemarahan yang merasuki segenap tubuh dan jantungku. Kedua bibir aku gigit erat, bukan kerana enaknya mengingat lembut dua pasang bibir, tetapi merasai segenap nurani bahawa dari sejak dahulu, dari Timur ke Barat, dari Utara ke Selatan, dari Pak Ustaz ke Sang Revolusioner, dari Kandung sampai punya Tiri, dari sejak lahir sampai dewasa memahami bagaimana dunia berputar; patriarki tak akan dapat dikalahkan.

‘Kamu yakin Patriarki tak dapat dikalahkan?’

Pertanyaan spontan lelaki itu segera aku tangkap. Matanya bersinar memberi isyarat seolah jangan Berhenti Berharap-Sheila on7.

‘Kamu yakin dapat?’

Aku balas laju pertanyaan dengan pertanyaan. Memang begitu aku suka menjawab pertanyaan dengan pertanyaan.

‘Pasti dapat.’

Lelaki itu mengangguk seolah yakin punya cara untuk hapuskan patriarki dan satu dunia harus tahu.

‘Bagaimana caranya?’

Aku memerhati dalam mata hitamnya.

‘Kita bisa membangun wacana, diskusi, kesedaran biar orang lain ikut tercerah bahawa tidak ada kebebasan untuk satu perempuan, tanpa kebebasan untuk semua orang. Kita mulakan dari kumpulan kecil sampai jadi gerakan.’ Tuturnya jelas membuat perancangan.

‘Kemudian apa? Berhenti? Kita punya energi sebanyak itu?’ aku masih bertanya ragu.

‘Nanti kita akan berpecah-pecah. Menyusup-nyusup masuk menggerakkan apa saja. Kan kita harus tumbuh di mana sahaja?’ Dia mengambil hela nafas sambil menyambung,

‘Dalam gelap kita adalah terang. Dalam sakit kita adalah sembuh. Atas kesulitan, kita akan menjadi kesenangan. Atas kepayahan, kita akan menjadi kebutuhan. Dalam diam kita adalah api. Dalam hilang harap, kita adalah tubuh yang rindu. Atas rumput-rumput basah, kita adalah akar bawah tanah yang sentiasa melindung. Atas nama Tuhan, kita adalah mereka yang sesat di jalan yang benar.’ Asyik. Lelaki itu asyik melempar pandangan jauh ke bintang tenggelam oleh kata-katanya sendiri.

‘Kita mulai hari ini?’ pertanyaan pendekku menyedarkan dia dari lamunan cita.

‘Ya, kita tak pernah menunggu masa sebab kita tak pernah punya waktu yang tepat.’ Ucapnya tenang.

Aku senyum panjang. Bukan mudah ada orang yang sebegini enak untuk dibuat bicara apa saja. Kesemua urusan dunia, urusan manusia adalah urusan-urusan yang tak pernah langsai dalam ketamadunan manusia, tapi lelaki ini seperti tahu semua urusan di dunia.

312 JAM SELEPAS MALAM YANG PANJANG

Perempuan itu bukan pemarah

Dia hilang semua kepercayaan

Aneh, dia percaya cita sempurna

Tapi tidak akan pernah ada orang yang benar-benar sempurna

Dia juga percaya pada cita bencana

Sampai yang hadir cuma bencana-bencana.

‘Maaf, aku salah.’

‘Maaf, aku serba salah’

‘Maaf’

‘Maaf’

‘Maaf’

Cuma ayat yang hanya ingin membuat aku berkeinginan seperti Nawal El-Saadawi, bahawa untuk setiap lelaki yang aku kenal, setiap dari mereka cuma menerbitkan satu hasrat sahaja dalam diri aku; UNTUK MENGANGKAT TANGAN DAN MENGHENTAMKANNYA KE MUKA MEREKA.

Aku punya seberkas luka

Aku potong luka dan aku masukkan dalam sebuah tulisan

Aku punya sebidang kegelapan

Aku usir cahaya dan aku masukkan dalam sebuah tulisan

Dan kini aku menutupnya untuk aku kirim pada semua yang bullshit

Dari pelbagai jenis shit yang ada

Kamu tak akan pernah faham. Berat.

Tulisan ini memang ditatang menjadi individualis dan bersikap post-modernis.

Aku betul. Aku betul. Kamu betul. Kamu betul.

Dia betul. Dia betul. Mereka betul. Mereka betul.

Jangan tagih dan tanam apa-apa

Kerana jika kita tidak pernah menanam apa-apa

Kita takkan pernah kehilangan apa-apa.

Kecuali segunung kemarahan

Sebilah keresahan

Seberkas luka

Dan sebidang kegelapan

Yang aku masukkan dalam

tulisan kategori BULL-SHIT.

9 views0 comments

Comments


bottom of page