Novel Salina merupakan novel yang malar segar dan dicari-cari penggemar buku-buku sastera. Malahan, 2020 ini Malaysia meraikan 60 tahun kemunculan Salina dalam persada buku. Menarik lagi, ramai yang berkejaran mendapatkan novel sasterawan negara ini. Penulis masih ingat akan kata seorang gurunya. “Bacalah Salina. Salina adalah bacaan yang bagus dan buat kau tak tidur malam”. Soalnya, ada apa dengan Salina? Apa bicara Salina yang sehingga kini dicari-cari?
Salina mungkin sudah 60 tahun. Namun, ungkap bicaranya masih mengejar dan belum lemas dalam lautan zaman. Salina membawa latar masyarakat proletar yang hidup dalam gelung masyarakat kampung. Dan bicara tentang hal realiti ini membawa pembaca bergerak ke titik kesedaran bahawa hakikat kehidupan yang sebenar adalah bukan tentang cinta dan mencari pasangan sehidup semati. Atau tentang perjalanan mencari Tuhan hingga menafikan pesan-pesan Tuhan tentang hamba-hamba yang Dia cipta bersama. Atau tentang perlumbaan merebut kekayaan. Tetapi tentang hakikat pesan Tuhan bahawa Dia tidak menciptakan manusia itu berbeza-beza hanya untuk individu hanya memikirkan kenyang perut sendiri.
Mendalami Salina membawa pembaca ke dalam sebuah rumah seni yang melekatkan warna-warna masyarakat pada dinding putih yang minta dicorakkan. Pak Samad merakam buah fikir dalam sebuah coretan seni yang indah dan menangkap jiwa. Dan semakin pembaca masuk ke dalam, citra seninya semakin lama semakin mencanak dan meluahkan makna-makna tersirat di dalamnya. Lama-kelamaan, pembaca lemas dalam pelukan Salina dan tak mahu dilepaskan. Ketika ditanyakan apa yang indah tentang Salina, Salina tidak didatangkan untuk menjual dirinya. Sebaliknya, tentang orang lain yang mencorak warna dalam hidupnya.
Salina digambarkan dengan kehidupan masyarakat kampung yang beragam. Di dalamnya, ada yang resah menanti hari-hari mendatang. Ada pula yang sentiasa menantikan hari esok dengan senyum dan gelak tawa. Tidak ketinggalan, orang-orang yang sentiasa menunggu matahari terbit untuk kembali menyembah Tuhan sambil menangisi dosa semalam. Ini ialah gambaran masyarakat yang sehingga hari ini masih begitu-begitu sahaja tingkahnya. Dan kerana itu, Salina perlu dibaca.
A Samad Said menceritakan kemiskinan dalam Salina. Justeru, tulisan ini membawakan keindahan fikiran sasterawan negara ini dalam menukilkan hakikat kemiskinan dalam kaca mata beliau. Mungkin ada yang kurang tahu tentang kemiskinan. Nah, tulisan ini untuk kalian.
Manifestasi Kemiskinan Dalam Novel Salina
1. Orang miskin lakukan apa sahaja untuk hidup.
Ketika Sunarto dibuang oleh tentera Jepun, hidupnya melarat sehingga menanti fajar merupakan hal yang paling menyesakkan. Kerana pada hari yang baru, di situlah peluang yang baru untuknya bakal menghulurkan tangan dan membawanya keluar dari kesakitan. Diserang demam malaria, tiada helaian-helaian berharga yang mahu ditunjukkan ke kaunter pendaftaran hospital.
Kata Salina : dia sendirilah, dalam sakit-sakitnya itu menjerang air di dalam sebuah tin buruk yang dijumpai di dalam sebuah tong sampah. Dan dengan meminum air panas dan memakan sebiji roti jagung yang sememangnya dibekalkan sedikit-sedikit hidup jugalah dia dan sembuh dari sakitnya itu. Lalu pergilah dia mencari rezeki di tempat lain.
Menyelami Katijah, orang ini mengambil upah mencuci baju orang-orang kaya. Dan dengan tulang empat kerat itulah, Katijah mengambil upah menjahit baju. Salina tidak salah menggambarkan si miskin sebegitu kerana hari ini, hanya si miskin yang akan lakukan apa sahaja (meskipun menyakitkan) untuk hidup.
Mana ada orang-orang kaya yang mahu mencari tin di sampah-sampah lalu membersihkannya dan menjerang air di dalamnya. Hanya orang miskin yang melakukannya. Kerana apabila kalian miskin, hanya kuasa Tuhan sahaja yang kalian harapkan dapat mengeluarkan kalian dari kemiskinan yang menyakitkan. Maka, ketika mengharapkan Tuhan melakukan kerjaNya, berpagianlah orang-orang miskin melakukan hal-hal yang mesti dilakukan agar terus hidup. Hari ini, orang-orang miskin melakukan dua tiga kerja meskipun berkali-kali dituduh malas oleh si kaya. Hari ini, orang miskin menangkap ikan agar dimakan orang kaya. Lalu pulang memakan nasi dan telur sahaja. Apa sahaja untuk hari ini, hari esok hanya Tuhan yang tahu.
2. Hari ini untuk hari ini. Hari esok, barangkali.
Salina katakan, ketika Hilmy berbelanja untuk keperluan rumah cukup-cukuplah dia membeli sayur asin, cili merah dan cili hijau, ikan kembung dan kacang hijau. Jika direnung semula, sayuran ialah sumber makanan yang tahan lama disimpan berbanding makanan basah yang lain. Oleh sebab itu, orang-orang seperti Hilmy memilih makanan hijau berbanding makanan basah yang lain.
Orang-orang seperti Hilmy ialah orang-orang miskin yang hari ini berfikir-fikir untuk membeli keperluan hidup. Orang-orang seperti Hilmy ialah orang-orang yang berfikir kalau hari ini aku memilih ayam apakah ada lagi ayam untukku pada hari esok. Dan untuk ayam – ialah hari memerah keringat dan menahan lelah. Barangkali ayam. Atau tak apalah – hari ini kita makan sayur.
3. Akses kesihatan yang terhalang.
Ketika Katijah tercungap-cungap menahan sesak di dada dan terbatuk-batuk dan Nahidah yang demam, mereka memilih menunggu laluan nafas lancar dan panas badan kembali kebah berbanding bertemu doktor. Fikir mereka, ada apa dengan bertemu doktor berbanding memecah tabung untuk keperluan makanan? Menanti berjam-jam di hospital ialah satu pembaziran. Eloklah mencuci kain orang kaya atau menjahit baju. Setidaknya, ada imbalan.
Pernahkan terlintas dalam pentas fikiran masing-masing, ada apa dengan orang miskin? Mengapa orang-orang ini sering sahaja sakit melarat dan tak tersembuhkan? Orang-orang ini sahajakah yang terus-terusan diduga dengan kesakitan?
Ini membawa kepada satu kejadian lampau yang pernah penulis lihat. Pagi itu seawal jam 5 pagi, ramai sudah mula berdiri di hadapan pintu masuk klinik gigi kerajaan. Mereka masing-masing dengan wajah yang mengantuk dan memikirkan tilam dan katil yang memanggil-manggil. Rantaian manusia yang panjang ini memaksa orang ramai berdiri dan tidak sekali pun meninggalkan posisi kerana takut diambil orang. Barangkali, ada yang berkerut itu kerana menahan berak. Di saat matahari mula muncul, beberapa orang jururawat mula menanti pesakit mendaftarkan diri. Orang-orang yang beratur seawal jam 5 mulai senang, seorang demi seorang mendaftar dan merehatkan punggung di atas kerusi. Ketika seorang lelaki tua ke meja pendaftaran, kedengaran suara jururawat : maaf ya pakcik. Kuota mencabut gigi sudah habis. Wajah itu kembali sugul. Dahinya berkerut dan matanya berkaca : tapi pakcik dah tunggu sebelum jam 5 lagi. Lalu, jururawat tadi menjawab : Pakcik, kalau pakcik nak cepat dan sentiasa ada kuota, jangan ke hospital kerajaan. Lelaki tua diam menunduk lalu berkata lagi : Kalau pakcik kaya pakcik tak datang sini nak. Kaki tiga diatur keluar dari klinik. Entah berapa hari lagi mesti menahan sakit pada gigi.
Satu hal yang perlu difikirkan, adakah orang-orang miskin sakit melarat kerana masa (wang) yang habis dengan menanti giliran? Atau orang-orang ini memilih keperluan lain berbanding melaburkan wang untuk kesihatan? Atau memang – orang miskin dilarang sakit.
4. Asalkan berbumbung.
Kurupaya Samy tidak pernah peduli akan rumah yang disewakan bumbungnya bocor. Asalkan tiap-tiap bulan, penyewanya membayar sewa. Begitulah hakikat setinggan yang didiami penduduk Kampung Kambing. Namun, begitu jugalah corak kehidupan mereka. Kalau bocor, baiki sahaja bumbung dengan daun labu. Asalkan tiada air yang masuk ketika hujan, sudah baik.
Menariknya, Hilmy, Salina dan Zarina tidak sesekali marah-marah kepada tuan rumah. Malahan, dengan senang hati memperbaik bumbung rumah mereka sendiri dengan daun-daun labu. Atau mudah – tadah sahaja air hujan yang masuk melalui bumbung yang bocor.
Salina bicara yang benar. Orang-orang miskin fikir begini sahajalah kehidupan. Sudah bagus punya rumah meskipun berlubang sana-sini berbanding menangisi nasib di bawah kolong. Setidaknya, ada juga tempat berteduh. Dan kerana itu, orang-orang ini sering sahaja dituduh tidak proaktif, pasif dan tak punya usaha mengubah nasib. Ini persoalan penting yang mahu difikirkan, adakah membancuh simen di terik matahari itu kerja-kerja orang yang tidak proaktif? Mungkinkah mencuci piring di kedai-kedai mamak dari malam sehingga ke pagi merupakan kerja-kerja orang yang tak mahu mengubah nasib? Dan adakah hidup serba kekurangan itu ialah kehidupan orang yang siang malamnya memohon doa kepada Tuhan dan tidak berusaha?
Teman-teman, apakah bumbung rumah kalian bocor lagi?
Salina menggoda pembaca lalu menarik mereka ke puncak ghairah dan sensasinya ingin selalu dirasakan. Salina hari ini masih berkebaya dan membisikkan kata-kata erotik kepada orang-orang yang mahu bersenggama dengannya. Teriak Salina perlu didengari kerana sesuatu perlu dilakukan. Dakaplah Salina. Dipelukannya, kalian akan temukan nikmat kesedaran.
Satu hal yang masih difkirkan, mengapa Salina yang Pak Samad pilih? Bukannya orang-orang lain yang Salina bicarakan?
Hilmy barangkali?
Comments