Oleh : L
Awan gelap dan langit sedang menjerit. Ada pertarungan hebat di dada langit. Tiada yang mahu mengalah, masing–masing belum kalah. Hingar seperti sebuah keramaian yang ditabrak sebuah gondola. Ada yang menjerit. Ada yang bertempiaran mencari anak yang entah ke mana. Aku sudah mahu muntah mendengar bebelan orang bijak di hadapan. Fikir aku, selepas ini ada anjing – anjing yang minta disogok makanan. Di tepi jalan tempat orang lalu lalang.
Mereka tak selalu memberi. Sebab anjing binatang haram dan manusia (baca : muslim) adalah yang paling mulia. Dahulu, ada Johny mengintai dari jauh. Tidak juga aku minta dia memintal buih tetap sahaja dia mengintai di sebalik bangunan usang di tepi blok. Makanannya tidak pernah habis. Aku kurang pasti kenapa. Johny – anjing kurus. Sekarang, entah ke mana.
Bilik ini semakin rancak dengan persoalan – persoalan tentang agama dan manusia. Seperti biasa, aku belum pun bersuara. Aku belum pun murtad tetapi sudah diletakkan dalam kandang pesalah. Seperti biasa, aku diamkan sahaja. Bilik ini kuburan. Dan aku jenazahnya. Aku – masih berfikir tentang anjing.
Di hadapan ada seorang perempuan sedang membentang isi dan buah fikir. Dia macam seorang ahli politik sedang aku dibayar untuk ke sini. Fikiran aku masih tentang anjing. Sedikit – sedikit aku mendengar hujah politiknya. Bebernya berkisar tentang agama dan kerajaan. Tentang Muhammad dan Khulafa’. Tentang piagam yang dibentuk dan negara yang harmoni. Menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta; agama ini paling sempurna. Fikir aku – masih tentang anjing.
Langit sudah terang dan pertarungan sudah ada pemenang. Mereka sedang bersorak sambil ketawa geli hati. Barangkali melihat musuh tertunduk kalah itu bikin hati senang. Aku dengar kerusi ditarik. Lalu aku menongkat dagu, melihat dia, mendengar isi fikirnya. Katakan dengan cepat sebelum aku kembali berfikir tentang anjing – kataku. Dia ketawa. Seperti seorang (literal) penonton yang sedang melihat pelawak yang entah apa – apa di atas pentas yang kosong.
Dia terpaksa ketawa. Aku ikut ketawa. Entahlah. Supaya tidak kekok nantinya. Soalannya ringkas dan pemikirannya dangkal. Aku jadi mahu berfikir tentang anjing.
“Ini pendapat saya, ibu saya pernah berpesan, pilih pemimpin biarlah seorang muslim”
Aku mendongak semula.
“Ya. Biarpun apa pilihlah yang muslim”
“Seorang muslim, sekalipun dia zalim. Dia tetap seorang muslim”
Aku melihat yang lainnya mengangguk setuju. Ada riak puas dalam diri mereka. Seperti riak seorang yang telah mengangkat agama di mata dunia, mereka kelihatan puas dan bertambah iman di dada. Aku menekur lantai sambil berkira – kira mahu menjerit dari kandang pesalah atau seperti biasa – diamkan sahaja.
“Sepertinya kau ada sesuatu yang mahu diperkatakan?”
Ya. Aku kira kau sudah tahu jawapan aku. Agama barangkali benar – benar mengajar aku tentang kemanusiaan. Tetapi manusia tidak pernah manusia. Kalian benar – benar serius? Jika diberi pilihan antara si kafir yang benar – benar meyakinkan dengan si muslim yang zalim, kau memilih yang zalim? Kalian serius? Kalian harus tahu – Tuhan tidak pernah salah. Dan kerana itu, Dia menciptakan neraka.
Aku pergi dulu. Ada makhluk Tuhan yang menunggu. Anjing mungkin bukan manusia tapi dia tahu, yang mana Tuan yang mana lawan.
Comments