top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

TENTANG POCONG YANG MAHUKAN KEBEBASAN Oleh Farahin W.

“Salahkah?!”


Teriakan Pocong A menggoncangkan malam. Panas hatinya bila mendengar hujah Pocong B yang tak habis-habis menyalahkan diri sendiri dan tak mahu berusaha lagi. Kata Pocong B, kita bukan macam toyol yang diseru-seru manusia bagi mendapat imbal balik yang menguntungkan. Kita juga bukan macam hantu raya yang mengawal rumah. Atau polong. Atau setidaknya pontianak. Kita ini, cuma pocong. Hantu bungkus dengan kulit yang kudisnya masih basah, hitam, berbau pacai dan kapur barus. Beruntung berbau kapur barus. Ada pocong yang bau macam bangkai. Sial.


Pocong A letakkan kepala di dinding, rasanya letih sekali berhujah dan berleter dengan orang yang tak ada otak. Otaknya cuma estetika. Diletakkan namun tak digunakan.

“Kau sendiri tahu kan kita ini dihina-hina di sini? Hantu-hantu semuanya tidak mahu menerima kita? Di negara hantu ini, negara kita sendiri, kita dipijak-pijak. Hanya kerana kita hodoh dan tak berguna? Habis, orang minyak tu bergunakah? Anak bini kau pun dirogolnya bukan? Itu, kain kafan kau yang koyak. Itu kerana menggantikan kain anak kau?!”

“Habis? Kau mahu lagi ke Negara Manusia? Tidaklah! Di sana pocong diperbudakkan. Digunakan orang untuk menakut-nakutkan. Mereka berbuat zalim dan mensyirikkan Tuhan”

Pocong A menggeleng. Badannya yang berbungkus terasa lebih hangat daripada biasa. Angin juga seakan tidak bertiup malam ini. Rasanya ingin berbogel dan berlari mengejar malam. Ah si pocong ini, apa yang dia tahu tentang syirik dan Tuhan? Manusia itu sama sahaja dengan iblis, sombong, bongkak dan selalu meninggi diri. Jika tidak, mengapa mereka memandang rendah dengan hantu-hantu macam kita?

“Lagi pula, kau punya duit untuk ke sana?” tambahnya lagi.

Pocong A diam sahaja menekur lantai. Di fikirannya, cuma mahukan kebebasan dari Negara Hantu yang macam sial. Di sini pocong-pocong diperas ugut. Kadang dibogelkan dan dirogol orang minyak. Memang aneh. Dikeji kerana hodoh dan busuk. Tetap sahaja hantu-hantu macam orang minyak merogol semahu mereka. Bukan itu sahaja, anak-anak kecil sering diculik hantu tetek dan dipaksa menjual sayuran daun kering dengan ulat-ulat kepada hantu-hantu kaya macam toyol. Dan pelesit.


“Beginilah. Aku pernah berbincang dengan hantu air. Ada sebuah bot yang dia sediakan untuk kita ke Negara Manusia. Di sana, ada tauke yang akan membawa kita masuk.”

“Kau gila! Aku tak mahu! Dengan keadaan kau berbungkus begini, kau mahu memandu bot? Mati kita ditelan air! Aku tak mahu!”

“Kau dengar sini. Siapa yang mahu ke negara lain? Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Tapi, setidaknya di sana kita ada kerja menakutkan orang. Di sini? Kau mahu minta kerja menyapu lantai pun tidak diperkenan kerana tangan dan kaki yang terikat. Kau mahu apa? Menjadi penyanyi? Itu semua dah disapu pontianak. Sudahlah di Negara Manusia mereka sering bersaing dengan langsuir untuk menjadi perempuan cantik. Mereka, hantu-hantu kaya tak peduli pun memberi bantuan kepada kita. Dihina lagi ada. Bagus kita usaha sendiri!”

Panjang lebar leteran Pocong A. Kemelut kesusahan di negara sendiri memang sukar untuk dikatakan. Tiada lagi jalan lain selain bergantung hidup dengan mereka yang berkemampuan macam manusia. Meskipun di Negara Manusia pocong-pocong macam sampah. Diperlakukan macam hamba tapi tak apa. Asalkan ada tempat berlindung dan diberi makan secukupnya. Kalau bernasib baik, bakal dibela sehingga keturunan seterusnya.


Pocong B akhirnya mengangguk dan akur. Benar juga apa yang dikatakan Pocong A. Ya lah. Selama ini, di negara sendiri juga tiada apa yang menguntungkan. Berapa banyak anak luar nikah yang lahir kerana ulah orang minyak. Berapa ramai anak gadis yang mati bersalin kerana perangai sial si perempuan tua penanggal. Di siang harinya melenggang macam mak dara, pada malamnya berburu macam harimau lapar.

Malam itu mereka kumpulkan pocong-pocong yang lain. Ada yang diam-diam tak mahu turut serta. Ada yang segar menanti perutusan dari Pocong Perancang. Misi besar ini adalah demi masa depan yang lebih cerah. Sepertinya bertahun-tahun disisih dan menerima tohmahan bangsa hantu paling pengotor dan tak bermoral. Kadang-kadang mereka saling menyalahkan namun apalah gunanya saling bercakaran?

Di tepi laut, hantu air sudah bersedia dengan bot-bot mereka. Kata mereka di sana ada seekor lagi hantu air menunggu bersama tauke. Dan di dalam bot, setiap satunya bersama mereka ada hantu air yang lain. Faham benar kalau pocong-pocong ini tak mampu berbuat apa-apa. Tangan terikat dan kaki masing-masing terlekat. Ada yang daging kaki kanan sudah melekat dengan kaki kirinya. Hanyir dan memualkan.

Masing-masing masuk bot dengan seribu satu harapan. Ada yang berpelukan dengan datuk dan nenek pocong yang ditinggalkan. Ada pula yang bersedih-sedih meninggalkan pasangan. Mereka saling berjanji mahu saling berhubung dan menghantar pesan. Dan kalau salah seorangnya mati, usahlah bermuram durja sehingga ranaplah bangsa pocong di sini. Khabarkanlah kepada hantu-hantu yang lain, kalau mereka semualah syaitan yang tak berperikemanusiaan. Persembahkan tubuh-tubuh yang sudah tidak bernyawa ini di hadapan istana mewah mereka. Pesan pada alam, bahawa merekalah yang telah membunuh kehantuan (baca : kemanusiaan).

Malam itu jadi saksi, ada jiwa-jiwa yang mahukan pembebasan dan mencari perlindungan. Di Negara Manusia yang terkenal dengan kemanusiaan. Manusialah yang paling manusiawi. Punya hati dan akal fikiran. Punya jiwa dan kerasionalan. Merekalah – manusia.

“Kalian jangan risau. Segalanya sudah diuruskan. Tauke-tauke sudah carikan kalian Tuan”, hantu air memberi jaminan.

Legalah hati pocong-pocong pelarian. Mereka tidak sabar memulakan kerja-kerja demi manusia. Biarlah syirik sekali pun. Biarlah. Asalkan ada imbalan. “Jadi, kita akan buat kerja syirik? Itu pekerjaan sial!” tiba-tiba pocong tua bersuara.

“Manusia – mereka memang terkenal dengan syirik. Menggunakan hantu untuk melariskan jualan. Kalau nasib kita malang, mereka gunakan kita untuk menyantau orang-orang yang mereka benci” jawab Ustaz Pocong ringkas.

“Ah! Tapi kan itu perbuatan haram dan salah di sisi undang-undang? Zalim!”, sanggah pocong yang lain.

“Benar. Tapi mereka peduli apa? Asalkan mereka mendapat keuntungan”, jawab Usahawan Pocong. Dia tahu benar selok-belok perniagaan. Semasa hayatnya dahulu, dialah usahawan yang memotivasikan semua usahawan yang lain.

Suasana tiba-tiba bungkam dan hantu air kelihatan resah. Wajahnya bertukar merah dan liurnya mula berjujuran. Matanya yang terbelalak tetap terbelalak. Pocong A jadi tak keruan. Fikirannya mula kacau melihat hantu air yang tak senang duduk. Bot tetap dipandu laju tapi mungkin keresahannya yang buat bot ini jadi ikut resah.

“Aku dengar di tepi perairan, ustaz-ustaz menabur garam dan dibacakan ayat-ayat suci”, hantu air tak lagi sembunyikan resah. Suaranya sedikit bergetar dan tangannya sejuk.

“Jadi? Apa kata tauke manusia?”

“Mereka paksa kita patah balik.”

Pocong-pocong kelam kabut. Baru sahaja mereka mendapat berita dari Negara Hantu. Katanya kawasan perkuburan, tempat tinggal mereka dimusnahkan oleh mumia. Dan kalau mereka pulang, habislah mereka dibunuh. Atau lebih parah lagi diseksa sampai mati. Pocong Tua tiba-tiba menumbangkan badan terus ke dalam laut. Dia terus tenggelam tak timbul-timbul. Yang lain diam sembunyikan resah dan tak berbuat apa apa.

“Tak boleh! Kita kena teruskan! Kan Tauke sudah berjanji!”, kata Pocong A.


Hantu air akur. Selepas dua hari perjalanan, mereka tiba di perairan Negara Manusia. Belum pun mereka turun dari bot, tubuh mereka sudah pedih dengan bahangnya bacaan ayat-ayat suci. Ada yang tidak sabar lalu terjun ke dalam laut. Ada yang memaksa-maksa hantu air untuk patah balik.

“Kita tak boleh diam! Kita mesti tembus sempadan”, Pocong B lebih optimis.

Mereka akhirnya lompat turun di tepi pantai lalu melompat merentasi sempadan. Belum pun sempat mengecap kebebasan, ustaz-ustaz manusia menangkap mereka lalu memasukkan ke dalam botol. Tiga ratus ekor pocong semuanya tertangkap ke dalam botol lalu dilempar semula jauh ke lautan. Dari dalam botol Pocong B berteriak “benarkah nasib kami akhirnya di atas lautan sahaja, Ya Tuhan?”

Sementara di Negara Manusia, Pontianak sedang menumpang teksi manusia.

21 views0 comments
bottom of page