Oleh Ahmad Muziru Idham.
SAYA seringkali memberitahu teman-teman, apabila mewacanakan perihal politik Islam, bahawa yang sewajarnya menjadi bahan bacaan dan rujukan perbincangan ialah buku Taj Us-Salatin karangan Bukhari al-Jauhari, sebagai sebuah buku yang sarat dengan nasihat-nasihat siasah dengan tunjang agama Islam. Sementelah pula karangan itu lebih merapati budaya kenusantaraan, ia jauh lebih baik isinya dan tajam nasihatnya berbanding buku al-Ahkam al-Sultaniyyah karangan al-Mawardi.
Taj Us-Salatin adalah sebuah buku yang memerihalkan tentang nasihat kepada para pemerintah dan menterinya agar sentiasa berlaku adil kepada dirinya sebagai tanggungjawab daripada Tuhan dan berlaku adil kepada rakyatnya sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan. Saya sengaja menumpukan kepada kitab itu kerana tidak banyak kitab siasah Melayu yang begitu terperinci menghubungkan antara tasawwuf dan fiqh dalam hal ehwal siasah. Maka segera kita dapat faham bahawa tradisi kesufian adalah tidak asing daripada kebudayaan Melayu dan adab para pemerintah itu dihubungkan dengan ketuhanan agar didikan hati itu lebih kuat bagi membentuk raja dan para menteri yang adil.
Tinggal sahaja Taj Us-Salatin itu tidak ditulis dalam bahasa Arab, maka ia dipandang sepi daripada dunia pewacanaan politik Islam, lebih-lebih lagi daripada asatizah-asatizah yang begitu kental melaungkan semangat politik beratasnamakan Islam. Sebenarnya, wacana kita telah terkekang dengan sudut pandang yang telah tertawan oleh romantisme sejarah Arab-Muslim sehingga kita tidak berupaya untuk menjengah dan menilik semula kanun-kanun yang telah ditinggal dan diwariskan oleh para moyang kita.
Mungkin sahaja, kita boleh melihat situasi ini sebagai salah satu fenomena minda tertawan dalam pemikiran para asatizah, lebih-lebih lagi graduan daripada Timur Tengah dan pula ahli dalam mana-mana jemaah haraki. Jika Syed Hussein Alatas menggagaskan konsep minda tertawan sebagai menjelaskan fenomena sosial yang terlalu terpukau dengan segala-gala yang datang dari Barat sehingga tidak mampu berfikir sendiri dengan kritis, maka boleh juga kita katakan bahawa mereka yang terlalu berkiblatkan dunia Arab sehingga mengabai dan merendahkan kanun tradisi sendiri sebagai petanda mereka yang terperangkap dalam minda tertawan dan minda mereka ialah minda tawanan Arabisasi.
Sikap yang sebegitu dipanggil sebagai xenosentrisme, iaitu perangai orang yang menilai rendah kebudayaan sendiri dan menilai tinggi kebudayaan asing. Mereka tidak meyakini dengan tradisi kebudayaan sendiri kerana dalam minda mereka itu telah ditawan dengan sesuatu yang mereka rasakan lebih unggul, dan dalam hal ini, mereka mengungguli kebudayaan Arab kerana kononnya Islam datang daripada wilayah sana. Mereka bukannya tidak sedar bahawa Islam datang tanpa memisahkan kebudayaan asal sesuatu bangsa melainkan memperelok dengan adab yang lebih tinggi, tapi mereka terlalu beromantisme dengan kejayaan penyebaran Islam melalui kekuasaan pada zaman lampau sehingga mereka mengandaikan bahawa Islam itu harus disebarkan melalui jalan kekuasaan semata-mata. Makin terpencillah lagi sisi-sisi kebudayaan bangsa yang tidak langsung berada dalam fikiran mereka untuk disantuni kerana yang lebih ghairah adalah Islam versi Arabisasi untuk didogmakan kepada masyarakat kerana merasakan bahawa versi kebudayaan Arab itu yang lebih Islamik.
Maka, wajar untuk kita persoalkan semula keikhlasan sebahagian pihak yang kononnya melaungkan agenda Melayu-Islam, tapi hampir tiada pun kedengaran daripada rujukan mereka kitab-kitab Melayu nusantara melainkan tetap sentrik kepada rujukan-rujukan yang asing daripada kebudayaan Melayu. Tidak ada masalahnya merujuk kepada kitab sesiapa pun dan dari benua mana sekalipun. Tetapi apabila yang dirujuk hanyalah kitab-kitab "Islam", mana pula kitab-kitab turath "Melayu" yang harus dipaksikan bersama? Mana Taj Us-Salatin sekurang-kurangnya dalam perbicaraan mereka? Taj Us-Salatin bukanlah sebuah buku yang sukar dicari pun pada suatu ketika, kerana ia adalah buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tapi dek kerana tradisi kebudayaan sendiri yang diabaikan, maka yang mengangkatnya lebih ramai daripada kalangan ahli bahasa dan pengkaji kebudayaan dan kesusasteraan sehingga wacana-wacana Taj Us-Salatin yang lebih luas itu tidak terangkat dengan lebih mendalam, sedangkan wacananya itu lebih bertuju kepada adab-adab kepemerintahan dari sisi pandang keagamaan.
Sebab itulah perlunya digali tradisi kenusantaraan yang sebenarnya luas tetapi tidak terpelihara dengan baik. Dalam hal ini, tradisi kenusantaraan mesti digali dengan lebih mendalam agar kita mampu untuk lebih mengenali akar kebudayaan masyarakat sendiri. Kebudayaan yang saya rujuk ini tentunya pada maknanya yang lebih luas meliputi soal tata kenegaraan, amalan sosial, pendekatan beragama, hubungan kemasyarakatan, dan sebagainya. Kita perlu lebih ramai yang arif pada hal-hal sebegitu kerana naratif yang kita terima pada hari ini - khususnya naratif keagamaan - sudah cukup kuat meminggirkan nilai-nilai kebudayaan Melayu daripada ranah-ranah tafsiran keagamaan.
Azhar Ibrahim dalam bukunya Menyanggah Belenggu telah menitipkan pesan yang penting apabila kita mempunyai perangai xerosentrisme dan malu-malu mahu membicarakan tradisi kita sendiri, "Kalau kita tidak mahu menulis dan membicara sejarah kita, makanya akan hadirlah barisan yang akan memaksakan versi sejarah mereka sebagai sejarah kita sehingga mereka mendominasi kesarjanaan tentang sejarah kita, membuat kita terus berlutut kepada mereka untuk mengetahui sejarah kita daripada mereka".
Pesan Azhar Ibrahim ini kalau kita warasi pada zaman sekarang, pemaksaan sejarah kebudayaan daripada barisan luar itu tidak perlu lagi kita tunggu, kerana yang sedang melakukannya itu adalah daripada kalangan kita sendiri. Dalam kalangan inilah yang tidak reti menghargai tradisi sendiri, meletakkan hierarki kebudayaan luar lebih tinggi daripada kebudayaan sendiri, meninggalkan terus turath-turath sendiri daripada wacana awam, dan menyeru kepada awam kepada sesuatu yang asing daripada kebudayaan sendiri dengan menyandarkan sikap xerosentrisme itu atas nama "agama" untuk mendoktrin masyarakat agar mengikut cara mereka.
Itu sebab mereka tidak membaca Taj Us-Salatin, maka mereka tidak tahu bagaimana hendak membebaskan minda daripada tawanan Arabisasi, untuk kembali kepada kebudayaan Melayu-Islam dalam erti kata yang sebenarnya.
Comentarios