top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

SUDAHLAH! AYAH SUDAH MENINGGAL! oleh L

MALAM itu angin tak mahu bertiup dan dedaunan tidak menari-menari mengikut rentak dahan-dahannya. Semakin kalian mahukan angin malam memisahkan keresahan dari lopak dada, fikiran kalian semakin sesak dan lopak keresahan semakan dalam. Titisan hujan menjadi tangisan malam-malam yang sayu seperti semalam. Dan kelmarin. Wajah kalian benar-benar kelam dan resah. Sepertinya pertengkaran adik-beradik ini takkan kalian habiskan. Sehinggakan tiada seorang pun yang sedar, yang di hadapan kalian ada sekujur tubuh yang mahu dikafankan.


“Kan aku dah kata, kalau aku yang jaga. Ayah takkan mati dalam keadaan macam ni!” Along bertempik. Dahinya berlapis-lapis dan peluh mula berbutir.


Kalian tarik nafas dalam-dalam. Sementara Along bertempik, Angah sedang dihidangkan dengan berita-berita dari Whatsapp – tentang kematian kerana kelaparan dan mati lemas. Di dalam rumah yang kalian duduki, tak ada apa-apa. Cuma kerusi malas yang benar-benar malas dengan bantal yang sudah hilang kekabunya. Di atas lantai, ada tikar mengkuang yang kalian hadiahkan kepada ayah. Kalian tahu benar, ayah memang suka baring-baring di ruang tamu sambil dengar radio. Oh ya, ada radio di tepi dinding. Klasik.


“Ah! Kalian ini cuma mahu bertengkar sahaja. Selama ini, yang menjaga makan pakai ayah semua aku. Kalian tidak selalu muncul. Kalau muncul pun hanya mahu bagi cadangan bodoh yang ayah sendiri tidak suka! Sudahlah!” tiba-tiba adik bongsu bangun marah-marah. Suasana malam itu semakin lama semakin panas. Dan kalian tidak sabar-sabar mahu keluar dari amuk keluarga ini.


“Sekarang ini, siapa yang mahu menguruskan jenazah ayah?”



Kalian tarik nafas dalam-dalam. Sementara Along berfikir-fikir, Angah sedang sibuk mengatur makan malam bersama rakan perniagaan yang baru. Ini hal penting kerana yang mati biarlah mati. Kan kematian itu pasti. Lagi pula, dalam rumah yang kalian duduki ini, tak ada apa-apa. Siapa yang mahu merebutkan kerusi malas dengan bantal yang sudah hilang kekabu? Dan tikar mengkuang? Itu kan dari anak untuk kepuasan hati ayah. Untuk apa diambil semula? Oh ya, dan radio. Ah. Tiada gunanya.


Kau tak cakap apa-apa, kerana kau sudah jalankan tanggungjawab sebagai anak. Sudah masanya kau letakkan jawatan menjaga ayah. Biar yang lain pula galas tanggungjawab ini. Kau fikir, hidup kalian serba-serbi mewah, mengapa mesti kau seorang yang uruskan ayah. Kau biarkan sahaja Along yang mengemudi semuanya. Kalau ikutkan, kau yang sepatutnya mengemudi hal sebegini. Selama ini ayah hanya percaya kepada kau. Mereka juga sememangnya bergantung sepenuhnya kepada kau. Sekarang, kenapa Along yang mahu ambil kuasa?


“Tak apalah. Biarlah Along dengan Alang yang urus semua. Angah, Achik dengan Usu selesaikan hal di rumah sahaja”



Kalian tarik nafas dalam-dalam. Mahu membantah entah apa yang mahu dibantahkan. Mahu bingit entah apa yang mahu dibingitkan. Lalu, kalian diam sahaja. Kan dia Along. Lelaki pula tu. Belum pun dua minit keputusan dibuat, telefon kalian tiba-tiba berdering. Angah angkat telefon. Achik dan Usu ikut menekan punat.


“Hello?” ketika kalian sama-sama menyahut panggilan. Ada suara petir sedang memekik.


“Ayah mati pun taknak bagi tahu aku?!”, suara Andak hampir keluar dari telefon bimbit Angah.


“Agak dah tanam baru nak bincang dengan aku ke? Aku ni siapa?” Uteh menjerit. Tahi telinga Achik cair.


“Eloklah. Aku ni memang bukan adik beradik korang” Uda letak telefon. Dan Usu terpinga-pinga.


Kalian tarik nafas dalam-dalam. Waktu sebegini, mana mungkin kalian selesaikan dengan pertengkaran. Ayah belum pun disiapkan serba-serbi. Tubuhnya barangkali sedang diseksa menahan deruan angin malam yang tiba-tiba datang.


Di laman Facebook Anjang memuat naik status baru. Katanya – dalam keributan, aku ini masih anak ayah yang dilupakan. Al Fatihah ayah. Anjang kirim dari jauh sahaja. Kalian saling berpandangan sebelum jantung masing-masing direntap jeritan Angah.


“Mana ayah?!!”


Hilang arah dan nafas tak dapat lagi ditarik dalam-dalam. Tilam kosong. Dan ayah-sudah hilang!


*****


Kalian jadi panik. Angin tiba-tiba berkejaran masuk ke lubang-lubang rumah. Rumah ini papan dan sedikit-sedikit dimakan anai-anai. Kalau angin kuat seperti kuatnya degupan jantung kalian, rumah ini akan roboh. Ayah (baca : jenazah ayah) tiba hilang-hilang. Siapa malam-malam begini mahu mencuri mayat ayah. Atau lebih parah lagi, ada kucing hitam melangkah jenazah.


“Itulah kalian. Bertengkar tak sudah-sudah. Malam-malam begini, bagaimana mencari jenazah ayah?” Usu merenung dedaun pintu yang terbuka. Kalian ikut merenung. Dedaun pintu bergoyang-goyang ditiup angin. Ke mana ayah malam-malam begini?


Kata Usu, semasa hidup ayah suka ke warung Haji Seman. Kalian sepakat mencarinya ke warung Haji Seman. Mungkin orang tua yang selalu berjubah dengan kopiah di kepala itu tahu.


Perjalanan ke Warung Haji Seman senyap. Seperti sebuah kuburan orang-orang jepun yang mati dibunuh. Atau Melayu. Atau Cina. Atau India. Atau mana-mana bangsa yang boleh difikirkan. Intinya sama sahaja, mati-menyembah tanah juga. Along tidak berdecit sedikit pun. Dan Angah tunduk melihat telefon. Seperti biasa, masih Usu melangkah laju. Kalian tahu, Usu tahu serba-serbi.


“Ini semua salah Along. Berkira-kira mahu menguruskan jenazah ayah. Along tahu juga kan ayah tu bagaimana orangnya? Mudah berkecil hati?” Achik yang dari tadi senyap tiba-tiba menuding jari. Along terbeliak sementara Usu ketawa kecil.


“Sudahlah. Sudah aku katakan, hal begini aku sahaja yang tahu. Tapi tak apalah. Kalian kan suka kelihatan bijak dan berkuasa. Ayah dah mati. Apa lagi mahu kita gaduhkan?”

“Korang semua mungkin tak suka aku. Tapi, aku ni Along. Tahulah aku apa yang terbaik untuk keluarga” katanya sedikit menunduk. Kalian tahu, Along kali ini tidak mahu berbalah. Selalunya, ada sahaja yang mahu diperdebatkan.


Warung Haji Seman malam ini ramai orang. Ada yang sedang minum kopi. Ada yang duduk meniup asap ke langit. Masing-masing dengan cerita masing. Kalian tak ambil peduli mahu duduk. Ada hal mustahak yang mesti diselesaikan. Ayah hilang di hari kematian. Membimbangkan! Kalian melangkah masuk ke dalam warung. Orang-orang pandang kalian tak berkelip. Yang menghisap rokok sudah berhenti menghembus kepulan asap ketagihan. Yang minum kopi berhenti meneguk. Kalian diam-diam sahaja. Malas mahu menuduh cakap-cakap orang kampung. Apa juga yang mereka tahu?


“Ji, ayah ada..” belum sempat Along habis bertanya, Haji Seman sudah menghela nafas.


Dia betulkan tali pinggang hijau sambil mengusap janggutnya yang keputihan. Wajahnya berkerut-kerut sementara dahinya bergaris tiga.


“Ayah kau baru sahaja pergi. Dia minta tolong aku bagi tahu Lebai Man.”


“Lebai Man?” kalian keliru. Usu ketawa kecil.


“Ya lah. Lebai Man. Lebai Man tu yang selalu di masjid. Selalunya, dia lah yang uruskan pengkebumian. Tahu lah si Man tu uruskan mandi jenazah tu nanti. Kau pergi lah tanya dia kalau ayah kau ada ke sana”


Kalian mengangguk sebelum masing-masing melangkah keluar dari Warung Haji Seman. Mata-mata yang tadi masih lagi menancap tubuh kalian satu persatu. Kalau diikutkan hati mahu sahaja kalian tebas kepala seorang demi seorang. Biar darah bercempera dan wajah kalian jadi wajah terakhir yang mereka lihat. Apa yang mereka tahu tentang keluarga kalian? Mata mereka penuh dengan hukuman yang entah apa.


Kalian tak mahu fikirkan kata orang. Ini urusan keluarga. Sekarang ini, eloklah kalian ke masjid bertemu Lebai Man. Malam sudah larut. Apa lagi yang mahu kalian nantikan? Dan seperti biasa, Usu memandu jalan. Dialah yang paling tahu tentang kampung ini.


Lebai Man tu orangnya garang. Tapi suka bergurau. Misainya panjang macam Inspektor Sahab. Kadang-kadang, budak-budak kampung ini memanggilnya tuan besar. Garang macam Rowdy Rathore! Kata Usu sepanjang jalan. Along mengangguk-angguk. Maklumat ini tak ada kepentingan!


Kalian tiba di masjid. Tempat ini gelap dan tak ada seekor tikus pun berdecit. Barangkali ada di dalam tandas. Atau di tempat ambil wudhu’ perempuan. Lipas pun nampaknya segan. Barangkali Inspektor Sahab, Lebai Man sudah menghapus semuanya. Ya. Dengan minyak, sedikit marjerin dan susu.


“Assalamualaikum! Lebai Man! Ooo Lebai Man”, Usu menjerit. Kalian tunggu diam-diam. Sebab kalau bising-bising, Along akan marah.


“Hah! Usu. Ada apa ni? Cari bapak kau ke?”


Usu sengih-sengih. Sambil menggaru kepala-refleks orang-orang yang malu dengan tindakan mereka.


“Ada datang mandi tadi. Macam ke rumah Tok Mat Nisan. Baru je tadi.” katanya sambil memintal misai. Betul-betul macam Rathore!


Angah tarik tangan Along cepat-cepat. Katanya, kalau lambat, ke mana lagi pergi orang tua tu. Along angguk-angguk sambil bagi isyarat mata pada semua. Kalian ikut ke rumah Tok Mat. Harap-harap ada berita gembira di sana. Ayah masih di sana sedang minum kopi. Atau ayah menunggu mereka di sana. Atau apa-apalah tentang ayah. Yang menggembirakan. Kalian berfikir-fikir, untuk apa ayah ke rumah Tok Mat. Sedari hidup, Tok Mat jarang-jarang bercakap dengan ayah. Mereka saling bercakaran. Kata ayah, lelaki itu dulu pernah merampas kekasih ayah. Kata ayah, kalau bukan kerana dia, bukan ibu pilihan ayah. Tapi tak apa, ibu tetap yang terbaik. Ibu selalu senang dengan pujukan ayah. Romantis mungkin.


“Tok. Ayah mana?” Usu cepat-cepat tanya setibanya di rumah Tok Mat.


“Ah sampai dah korang. Ada tadi. Dia datang bayar hutang. Ada lah sikit-sikit sembang-sembang hal-hal Sufiah dulu. Haha” katanya sambil ketawa orang kaya. Dia tak kaya.


“Lepastu?”


“Entahlah. Tak ada pula dia bagi tahu aku dia nak ke mana. Kenapa?”


Kalian semakin gusar. Hilang jejak. Entah ke mana lagi mahu kalian cari. Haji Seman sudah, Lebai Man sudah, Tok Mat Nisan juga sudah. Mana lagi agaknya ayah pergi. Berkeliaran malam-malam begini. Kalian fikir, kalian mahu ke rumah sahajalah. Barang kali, ayah sudah di rumah.


Kalian berjalan kaki ke rumah. Di kiri dan kanan jalan ada sekumpulan anak muda berkopiah berkain pelikat ikut jalan bersama. Di tangan mereka ada senaskhah Yaasiin dan sebotol air. Masing-masing jalan terburu-buru. Ada yang berbaju dengan seluar tidur. Ada pula yang menjadikan kain pelikat sebagai selimpang. Mereka senyum-senyum melihat kalian.


Perjalanan ke rumah terasa panjang. Masing-masing bungkam. Angin yang tadi menderu sudah tidak menyanyi-nyanyi di cuping telinga. Sunyi seperti medan peperangan yang sudah prajuritnya sudah mati semuanya. Semacam pantai yang dimakan tsunami. Pakum.


Kalian tiba di rumah. Lampu sudah terpasang. Dan rumah tidak lagi malam. Di dalam rumah ada orang-orang yang kalian lihat di Warung Haji Seman. Ada Haji Seman dan Lebai Man. Masing-masing sedang membaca Yaasiin dengan suara yang paling nyaring. Di belakang, ada budak-budak menyusun pinggan dan cawan. Mak Leha (isteri Haji Seman) sedang sibuk menyusun kuih-muih. Katanya, jangan makan banyak. Ini sahaja yang tuan rumah sediakan. Kalian pandang tak berkelip. Ada apa sebenarnya ini?


Along duduk di tepi tangga ikut membaca Yaasiin. Kalian ikut sahaja. Dalam situasi begini, tak ada apa yang boleh kalian fikirkan. Hendak bertengkar pun, entah apa yang boleh ditengkarkan. Andak, Uteh, Uda dan Anjang masing-masing tidak lagi menelefon. Baru tadi, Anjang menulis di laman sosial. Kemudian, mereka tidak lagi berhubung.


“Okaylah. Nampaknya, Mat Nisan kata semuanya dah sedia. Keranda dah sedia. Kubur dah gali. Jenazah pun Lebai Man dengan orang masjid dan uruskan. Kita tinggal kebumi sahajalah kan?”


“Sekejap. Hutang-hutang ayah?” Along tiba-tiba menyampuk.


“Oh! Tadi Lebai Man dah ambil duit simpanan dia. Tak apalah Lebai Man sudah uruskan, kita jaga kita” kata Imam Muhid.


Kalian mengangguk. Jenazah ayah siap dikafankan dan menanti dikebumikan. Alang-alang, malam ini selesaikan semua. Kalian lihat orang kampung bersungguh-sungguh menguruskan jenazah ayah. Biarlah.


******


Orang-orang kampung sudah berjalan pergi. Talkin tadi kedengaran sayup dan menyedihkan. Rohnya kini sudah terpisah dari badan. Tiada apa yang dinantikan melainkan soalan munkar dan nakir. Mungkin ke kiri. Mungkin ke kanan. Derap kaki mereka sudah tak kedengaran. Tinggal Ayah menanti ketentuan.


Belum pun malaikat membawa Ayah ke meja perbincangan. Ada suara dari rumah sebelah. Katanya :


“Kita jaga kita?”


Ayah mengangguk.


“Kita jaga kita”

1 view0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page