Pada dasarnya, perempuan, sama ada Muslim atau bukan Muslim di Malaysia ini masih jauh ketinggalan berbanding lelaki. Ada banyak contoh yang boleh diketengahkan berhubung ketempangan gender ini. Tapi memandangkan baru-baru ini aku telah hadiri sebuah Kempen Kesaksamaan Kewarganegaraan Malaysia yang merupakan bahagian daripada kempen global anjuran counterpart tempatan, Foreign Spouses Support Group, aku terpanggil untuk menyorot perhatian umum ke atas kempen ini. Tahu tak bahawasanya, perempuan / ibu berwarganegara Malaysia tidak mendapat hak serupa sebagaimana seorang lelaki / bapa berwarganegara Malaysia dalam mewariskan kewarganegaraannya ke atas anaknya yang dilahirkan di luar negara? Jika seorang lelaki / bapa boleh mewariskan secara automatik, hanya perlu melakukan sedikit proses administratif sahaja, si perempuan / ibu pula harus melalui proses panjang yang memerlukannya membuat permohonan ke Jabatan Pendaftaran Negara di Kementerian Dalam Negeri. Pelik kan? Ketidakadilan ini telah lama bertapak dan sememangnya tidak masuk akal di abad ke -21 ini. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang masih kekal menegakkan undang-undang lapuk produk kolonial dan mendiskriminasi perempuan sewenang-wenangnya. Mari kita lihat kesan realiti daripada undang-undang zalim ini. Pertama, sudah pasti perempuan berdiri tidak sama tinggi dengan lelaki di sisi undang-undang. Padahal Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf bahawa sebarang diskriminasi berasaskan gender adalah tidak dibenarkan, dan pindaan ini telah dilakukan pada tahun 2001, 18 tahun kemudian, masih sahaja wujud diskriminasi. Seorang perempuan/ ibu didiskriminasi hanya kerana alat kelaminnya kerana ada tanggapan usang bahawa kewarganegaraan kanak-kanak mestilah mengikut bapa mereka. Kedua, institusi kekeluargaan terancam. Ini merupakan satu bentuk penzahiran nyata terancamnya perpaduan keluarga. Bagaimana? Tahu tak proses permohonan kewarganegaraan ini boleh mengambil masa bertahun-tahun tanpa jaminan pasti yang akhirnya si pemohon akan mendapatkan kewarganegaraan. Secara purata, permohonan bagi lelaki / bapa akan mengambil masa hanya beberapa hari, paling lewat mungkin hanya sebulan, manakala permohonan si perempuan / ibu adalah lebih panjang. Ibaratnya si bapa hanya perlu untuk mengesahkan bahawa dia merupakan warganegara Malaysia tanpa perlu melalui proses panjang, manakala si Ibu harus melakukan lebih dari apa yang perlu dilakukan oleh si bapa.
Akibatnya, masa depan pemohon adalah tidak menentu, nasib mereka terumbang-ambing, menyukarkan mereka daripada membuat perancangan dan membuat keputusan penting untuk keluarga mereka. Contoh paling mudah, merancang untuk mendaftarkan anak di sekolah bleh menjadi satu keputusan yang sulit oleh kerana status anak tersebut , 3 tahun atau 5 tahun ke depan masih belum boleh secara tepat dipastikan. Ada pula ibu-ibu yang melalui proses ini takut untuk meninggalkan Malaysia sama sekali oleh kerana risau mereka akan terlepas sesi temuramah oleh pihak Imigresen. Lantaran daripada itu, ibu-ibu yang bernikah dengan warganegara asing terpaksa meninggalkan suami-suami mereka yang berada di luar negara. Ini juga merupakan satu bentuk kezaliman ke atas bukan sahaja ibu tersebut malahan anak-anak yang terpaksa berpisah daripada menjalani kehidupan normal bersama bapa mereka. Lebih menyukarkan, ibu-ibu terpaksa mengeluarkan kos lebih untuk memastikan anak mereka boleh tinggal di negara ini dengan sah, bagi situasi anak-anak yang belum mendapat kewarganegaraan. Ini kerana, anak-anak mereka masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong dan menggunakan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang bagi tempoh 6 bulan sehingga mereka berusia 7 tahun. Bayangkan kos yang terpaksa ibu-ibu ini keluarkan semata-mata untuk memperbaharui visa anak mereka. Persoalannya, sampai bila perempuan Malaysia harus menanggung penderitaan ini tanpa kesungguhan politik daripada mereka yang duduk di Parlimen untuk mengubah Perlembagaan yang mendisksriminasi? Bilangan mereka mungkin tidak ramai tetapi, penindasan sekecil mana pun adalah penindasan!
Comments