top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

SOSIOLOGI KORUPSI SIRI 1: MAKNA KORUPSI Oleh: Basri M

Korupsi merupakan suatu fenomena atau gejala yang telah lama melanda sejarah kemanusiaan. Pengkajian korupsi boleh diambil menggunakan pelbagai lensa atau disiplin metodologi. Namun seringkali disiplin metodologi atau lensa sosiologi sering diabaikan serta diwacanakan di negara. Kita lebih berminat untuk memperkata korupsi dalam ranah perundangan, politik, agama dan ekonomi semata. Pengkajian fenomena korupsi tidak boleh tercabut daripada akar sosiologi yang bertali kepada sejarah, kebudayaan, bahasa, sistem sosial, kepercayaan atau nilai, dan norma sosial yang sistemik. Ia suatu perkara yang kompleks dan kaya dengan segala kemungkinan-kemungkinan.


Berbicara dalam konteks negara, menurut laporan Transparency International Malaysia menduduki tangga ke-51 (Corruption Perception Index 2019) dan no.3 keseluruhan terbaik Asia Tenggara selepas Singapura dan Brunei. Ini masih didalam ruang sederhana namun perlu diingat bahawa korupsi adalah sesuatu yang sering ‘disapu dan disorok dibawah karpet’ maka bacaan data barangkali tidak dapat ,merangkul serta menggambarkan kondisi amalan realiti korupsi yang menghantui masyarakat.


Terkini dalam kekalutan mengurusi wabak pandemik Covid-19, negara dikejutkan dengan berita dua orang bekas menteri koruptor (Musa Aman & Isa Samad) yang terlepas daripada puluhan tuduhan rasuah di mahkamah. Ini satu kengerian yang maha dahsyat.


Korupsi merupakan suatu barah membunuh yang sudah menjadi amalan kuno sejak dahulu. Malah tidak keterlaluan juga jika penulis meminjam terma yang digunapakai oleh Ali Syariati, seorang sosiolog Iran iaitu sudah menjadi ‘agama’. Namun agama ini adalah agama yang palsu. Agama yang berpusat pada material semata. Agama mengarut yang memabukkan penganutnya supaya melakukan korupsi, kezaliman, penindasan, mencabut hak mereka yang berhak atasnya, bermewahan atas kesusahan rakyat dan bongkak. Hal material ini menjadi sembahan buat para koruptor. Jiwa yang kosong daripada kesedaran dan tanggungjawab sosial. Jiwa yang kering nilai spiritual dan kemanusiaan. Jiwa yang pentingkan diri dan fikir tembolok perut sendiri.


Apabila berbicara mengenai sosiologi korupsi maka penulis tidak dapat lari daripada merujuk kepada ahli sosiologi terkemuka iaitu Almarhum Syed Hussein al-Atas. Menurut beliau ada beberapa perbincangan serta pendefinisian makna korupsi. Didalam artikel ini penulis berniat untuk menyentuh beberapa perihal penting yang merangkumi beberapa fenomena dan ciri korupsi.


Menurut Syed Hussein al-Atas didalam buku beliau, ‘Sosiologi Korupsi’ terdapat beberapa fenomena umum berkaitan dengan korupsi antaranya ialah:

1) Korup apabila seorang pegawai perkhidmatan awam menerima sesuatu pemberian oleh mana-mana pihak dengan bermaksud mempengaruhi keputusan serta memenuhi kepentingan si pemberi.


2)Memberi pemberian material/non-material atau apa-apa sahaja yang menggodakan.


3)Permerasan, permintaan pelbagai pemberian atau hadiah atau saguhati didalam melaksanakan tugas perkhidmatan awam juga diklasifikasikan sebagai korupsi.


4)Mana-mana jabatan atau agensi perkhidmatan awam yang mengunapakai dana awam bagi pengurusan peribadi.


5)Pengangkatan ahli keluarga, rakan-rakan parti politik atau perniagaan ke mana-mana perkhidmatan awam tanpa memandang kredibiliti/merit juga dikira sebagai korupsi. Perkara ini dinamakan sebagai nepotisme.


Adapun selain yang disebut diatas masih sangat banyak lagi fenomena umum berkaitan dengan korupsi diamalkan terutamanya dinegara kita. Apa sahaja kelakuan, pemikiran, tindakan, keputusan, sistem sosial dan nilai yang mempunyai unsur-unsur penyuapan (bribery), pemerasan (extortion) dan nepotisme maka inilah capaian korupsi.


Setelah dibicarakan beberapa fenomena umum korupsi maka huraian disambung pula kepada ciri-ciri korupsi yang sangat signifikan untuk dikongsi bersama iaitu:


1)Korupsi sentiasa melibatkan lebih daripada seorang pelaku. Ia mesti mempunyai komunikasi dua hala paling kurang (pemberi-penerima) atau lebih.


2)Korupsi pada umumnya memang bersifat serba rahsia. Motif, pelaku-penerima, transaksi dan butiran akan digelapkan sebaik mungkin. Tiada jejak rekod atau data lagi baik.


3)Korupsi melibatkan elemen kewajiban dan keuntungan timbal balik.


4)Mereka yang terlibat didalam gejala korupsi akan sehabis baik menyelubungi perbuatannya dengan berlindung di sebalik pembenaran undang-undang.


5)Hampir setiap tindakan korupsi mengandungi penipuan, penyelewengan, ketidaktelusan, biasanya pada badan publik.


6)Setiap bentuk korupsi adalah bentuk pengkhianatan kepercayaan.


7)Setiap bentuk korupsi melibatkan fungsi ganda yang kontradiktif atau ironi daripada tugasan yang mereka sewajibnya menjalankan.


8)Setiap tindakan korupsi melanggar norma-norma tugas dan pertanggungjawaban dalam masyarakat.


Penulisan yang dibaca oleh saudara-saudari sekalian ini tidaklah berhasrat mengimpikan wujudnya sebuah dunia yang sifar-korupsi kerana itu suatu perkara mustahil. Apa yang boleh dilakukan kita secara bersama adalah tidak berputus asa dan menemui titik minimal. Melakukan ‘check and balance’. Menegur kesalahan terhadap umum. Pertembungan antara kejahatan-kebaikan, keadilan-kezaliman, dan kemanusiaan-kebinatangan akan sentiasa wujud dimuka bumi ini.


Namun begitu, penulis berharap agar melalui penulisan ini para pembaca boleh memahami apa yang dimaknakan dengan korupsi, apakah bentuk fenomena umum korupsi, kebejatan korupsi, dan ciri-ciri korupsi. Wacana dan perbincangan kesedaran pembanterasan korupsi ini harus digiat secara progresif dan aktif berlegar dalam ruang awam. Melawan korupsi bukan kerja musim-musiman seperti menanam padi, ada musim surut dan lebat.


Melawan korupsi adalah kerja-kerja keabadian. Melawan korupsi adalah bentuk kesalehan sosial (habluminannas) yang menjadi tuntutan Tuhan buat kita. Melawan korupsi adalah suatu jihad berhadapan dengan syaitan bertopeng manusia.

18 views0 comments
bottom of page