Malam yang sunyi Ini mengingatkan aku tentang satu cerpen yang telah dibaca bertajuk Mas Mantri Menjenguk Tuhan oleh Ahmad Tohari maka aku membuka laptop dan memulakan penulisan. Cerpen ini mengisahkan tentang Mas Mantri yang tidak pergi ke solat raya pada hari Jumaat yang mulia lalu dicari oleh teman-temannya hingga ke rumah Mas Mantri.
Mereka menjumpai Mas Mantri yang berada di rumah Nek Trimo yang sakit terbatuk-batuk dan mengerang kesakitan. Mas Mantri menanyakan satu persoalan yang meninggalkan konflik besar dalam diri penulis cerpen ini bahawa adakah dia salah meninggalkan solat raya kerana menjenguk Nek Trimo yang kelihatan sakit dan tidak sanggup meninggalkan beliau seorang diri.
Ini telah membuatkan penulis merasakan sesuatu telah menusuk imannya dan malu kerana teringat satu pertanyaan Tuhan bahawa barang siapa menjenguk si sakit, si haus dan si lapar, maka berarti dia telah menjenguk Tuhan.
Pengajaran yang penulis belajar dari Mas Mantri pada hari tersebut adalah bahawa banyaknya orang lupa bahawa hakikat ibadah itu adalah bukanlah semata-mata solat sahaja namun ibadah yang lagi tinggi nilainya apabila menunaikan silaturrahim dengan manusia dengan menjenguk orang yang sedang sakit atau kesusahan dan membantu orang tersebut dan sekaligus bermakna telah menziarahi Tuhannya.
[Solat adakah cukup dengan pengakuan sahaja?]
Di Malaysia ini Islam yang terkedepan adalah Islam Feudal. Islam Feudal bermaksud Islam yang ditentukan oleh pemerintah tentang isi apa yang akan disampaikan ke masyarakat kebanyakan. Selalunya ceramah-ceramah di masjid-masjid dan khutbah Jumaat yang dibincangkan adalah lebih kepada Islam ritualnya samaada halal kah atau haramkah sesuatu itu, atau bagaimana solat yang sebetulnya, puasa sunat ini patut dibuat atau tidak juga hukum-hukum hudud atau murtad.
Jarang sekali yang dibincangkan itu tentang kepincangan sistem yang melanda di Malaysia ini contohnya sistem zakat yang begitu teruk sehingga betapa ramainya masyarakat miskin yang tidak dibantu namun si amil pula selalunya yang kaya, ataupun kenapa masjid-masjid di Malaysia ini begitu mewah dan cantik ukirannya namun masyarakat masih rendah gajinya ataukah bagaimana mahu menyelesaikan isu peneroka bandar yang tanah mereka dirampas tanpa pampasan yang berpatutan.
Sedangkan jika kita kembali kepada teks asal Al-Quran itu sendiri agama dituntut kepekaannya untuk menolak segala hal yang tidak sesuai dengan kemaslahatan dan akal budi. Kerana agama sebenarnya hadir untuk memberikan jalan keluar dari perasaan lapar dan takut. (ayat ini dipetik dari buku Teologi Neo Al-Maun oleh Zakiyuddin Baidhawy).
Penulis ingin membawa satu pemikiran kritis oleh seorang pemikir asal Mesir, Hassan Hanafi yang mengkritik golongan teolog dimana paradigma pemikiran dan penghayatan mereka ini terlalu bersifat teosentris. Maksudnya adalah penghayatan keagaamaan golongan ini menganggap segala yang dikerjakan manusia adalah untuk Tuhan semata dan menyingkirkan nilai-nilai kemanusiaan.
Mengabdi diri kepada Tuhan dalam bentuk ritual ibadah dipandang kepentingan Tuhan itu semata. Padahal, Tuhan tidak memerlukan ibadah yang dilakukan manusia namun manusialah yang memerlukan ibadah untuk kebaikan mereka sendiri.
Penulis dapat simpulkan di sini bahawa iman manusia itu tidak cukup dengan pengakuan sahaja tetapi butuh aksi. Iman kita itu tidak ada apa-apa jikalau kita tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah umat. Tidak guna solat jika tidak ada implikasi sosial dan begitulah sebaliknya.
Hassan Hanafi mengusulkan agar kita lebih mementingkan pola keberagamaan yang bersifat antroposentris iaitu sebuah pola keberagamaan yang menitikberatkan masalah-masalah umat secara universal dan bukan hanya ibadah ritual semata-mata. Manusia memerlukan kedua-duanya solat dan juga agama untuk kehidupan yang lebih seimbang menuju Tuhannya.
[Keberpihakan]
Berdasarkan buku Teologi Neo Al-Maun karya Zakiyuddin Baidhawy, Zakiyuddin mengutarakan surah Al-Maun sebagai penyelemat bagi orang miskin dimana surah ini menganjurkan untuk orang Muslim berpihak kepada kaum Dhufa dan Mustadh’afin.
Surah ini mengutuk masyarakat Mekkah pra-Islam iaitu tokoh-tokoh yang kaya kerana mereka mendustakan agama kerana mengherdik dan menakutkan orang-orang yang miskin. Surah ini juga mengutuk golongan yang rajin melakukan solat lima waktu sehari semalam namun tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dan ia dikatakan sebagai solat yang mencelakakan.
Jadi untuk melawan sistem yang menindas ini memerlukan kesedaran agama dan solat yang memihak kepada keadilan sosial dan itulah solat yang menyelematkan kemanusiaan.
Comments