Sebagai seorang Muslim kita telah dikhabarkan secara am oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW mengenai situasi di akhirat dan bagaimanakah situasinya. Hal ini wajib dipercayai sebagai seorang muslim. Perkara ini bukan semata bercerita mengenai hal metafizik/ghaib tetapi ia juga mempunyai akar keterkaitan dengan perilaku keduniaan atau sosial manusia. Penulis akan menceritakan mengenai hadis ‘soalan yang akan ditanya Tuhan’ dengan menggunapakai lensa teologi pembebasan.
Didalam hadis riwayat Tirmizi, Nabi Muhammad SAW bersabda, “ Tidak akan berganjak kedua kaki anak Adam pada hari kiamat disisi tuhannya sehingga akan ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya dalam apa ia gunakan, tentang masa mudanya dalam apa ia habiskan, tentang hartanya darimana ia peroleh dan dalam apa ia belanjakan, dan tentang apa yang ia amalkan dari yang ia ketahui (ilmu)”.
Hadis di atas sangat mudah dan jelas. Ini adalah soalan yang sudah pasti ditanya oleh Allah SWT kepada setiap hambaNya tanpa mengira latar belakang kelas sosial, bangsa, kaum, ras, dan warna kulit. Jika kita akui sebagai seorang muslim yang ‘God-conscious’ maka wajib kita mengakui sepenuhnya akan detik-detik ini.
Kesemua soalan yang ditanya Tuhan ini sangat bernuansa apakah yang manusia itu lakukan ketika didunia. Hal ini sekaligus membuktikan bahawa klaim-klaim seperti ‘dunia ini tak penting, fikir akhirat sahaja’ tidak terpakai. Hal ini kerana apa yang kamu lakukan didunia itu bakal ditanyakan dan dipertanggungjawab oleh Tuhan di akhirat kelak. Di akhirat sudah tiada apa-apa lagi tugasan atau urusan harian.
Yang pertama adalah tentang umurnya dan apa ia gunakan. Manusia yang hidup meski panjang atau pendek umurnya pasti akan ditanya Tuhan soalan ini. Apakah manusia itu menggunakan umurnya hanya memikirkan dirinya sahaja tanpa ada kecaknaan sosial atau sebaliknya. Apakah manusia itu sedar akan jiran beliau yang kelaparan, anak-anak kecil di flat-flat yang rambut penuh kutu dan sering batuk-batuk kesakitan itu penting atau tidak buat dirinya.
Apakah umurnya yang dikurniai Tuhan selama 30,40,50 mahupun 60 tahun itu digunakan untuk sentiasa mengingati Tuhan dan merendah diri atau berbangga dengan segala pangkat dan jawatan yang beliau miliki. Apakah kepala beliau lebih banyak menunduk bersujud kepada Allah SWT Yang Maha Agung atau lebih banyak menunduk bersujud kepada para menteri, ketua jabatan, para kapitalis dan pengarah-pengarah yang hakikatnya tiada apa-apa.
Yang kedua, tentang masa muda dan apa ia habiskan. Masa muda adalah masa genting buat manusia. Kata Tan Malaka, “ kemewahan terakhir yang dimiliki oleh pemuda adalah idealisme”. Didalam waktu ini sebagai anak muda memangnya tidak punya apa-apa. Tiada kestabilan hidup, krisis eksenstensial kerap menerpa hidup, yang ada barangkali hanya semangat, tenaga dan idealisme.
Apakah masa muda yang bertenaga, bersemangat dan penuh idealisme itu digunakan pada jalan yang Tuhan redhai dan perintah atau disia-siakan pada jalan lain dan tidak diredhai Tuhan. Apakah masa muda ini digunakan dengan pengisian membantu penduduk kampung atau masyarakat setempat. Apakah masa muda ini banyak dihabiskan dengan hedonisme yang narsisitik.
Apakah masa muda ini hanya sibuk mengikut pop culture dan mainstream sehingga tidak berani mengambil risiko menongkah arus. Apakah berani si anak muda ini mencabar segala macam ketidakadilan sosial, penindasan, kezaliman sistem yang terbentang didepan mata. Apakah kita sudah lupa bagaimana ‘rebelnya’ Ashabul Kahfi (sekumpulan anak muda) yang membenci akan kesyirikan dan kerosakan pemerintah serta rakyat awam ketika itu. Mereka lebih rela untuk hidup susah dan ‘menjadi berbeza’ daripada kebiasaan awam yang sudah rosak.
Yang ketiga, tentang hartanya darimana ia peroleh dan dalam apa ia belanjakan. Persoalan harta dan perbelanjaanya adalah sangat penting namun ramai antara kita yang kecundang dengan godaannya. Terutama apabila berada didalam situasi keterdesakan. Harta yang tidak bersih dan haram antara sebab terhijabnya makbul doa.
Penulis faham hidup di zaman millenial dan ekonomi yang kurang menentu ini memang sebagai seorang manusia yang ingin meneruskan kelangsungan hidup duit/harta sangat penting. Namun sebagai seorang muslim yang ‘God-conscious’ kita perlu tegas dengan beberapa prinsip. Matlamat dan alasan-alasan sepele tidak menghalalkan cara. Apa kita senang dan tenang hidup mewah diatas penderitaan orang lain?
Sebagai contoh apakah jawapan yang hendak kita tuturkan pada Tuhan kelak apabila kita sebagai seorang Menteri yang hidup mewah hasil projek perobohan rumah orang-orang kampung yang miskin. Iya, dunia kita boleh beri seribu macam justfikasi pembangunan, kemajuan desa, dan sebagainya tapi jangan lupa bahawa di akhirat Tuhan adalah Yang Maha Mengetahui dan Maha Adil.
Yang terakhir, tentang apa yang ia amalkan dari yang ia ketahui (ilmu). Ilmu dan amal adalah dua perkara yang sentiasa beiringan. Amal tanpa ilmu tempang dan ilmu tanpa amal adalah peribadi yang kecil. Ada orang yang menghafal segala macam teori, kitab dan petah menuturkan pelbagai analisis cuma persoalannya keberpihakan manakah yang diambil.
Adakah dengan ilmunya itu beliau membela para koruptor, para agamawan jahat, para jabatan yang menindas atau dia mengamalkan segala ilmunya dengan penuh rasa kesadaran dan keberanian untuk mengungkap keburukan realiti dihadapan penguasa jahat.
Adakah ia menghormati kedudukan ilmu atau mengkhianati ilmu demi mengenyangkan perut sendiri-sendiri. Adakah dengan nikmat ilmu kurniaan Tuhan itu, privilege yang ada itu digunapakai untuk meneruskan risalah-risalah kenabian iaitu mentauhidkan Tuhan, memberi makan pada miskin, melawan penindasan dan ketidakadilan sosial atau berlagak seperti Tuhan di atas muka bumi ini.
Pesan-pesan kenabian ini adalah pasti. Pesan-pesan ini juga membawa mesej-mesej kepentingan pengurusan masa dan menekankan perihal integriti, ketulusan, kebertanggunjawaban dan kesadaran sosial. Moga kita sentiasa merasai kehadiran Tuhan bersama dalam segala perilaku keduniaan kita juga bukan semata akhirat.
Comments