Oleh Huda Ramli
Aku berpeluang menghadiri sidang dialog bersama orang-orang besar ISMA. Dialog ini dihadiri oleh audien berlatarbelakangkan pelbagai agama dan juga kumpulan 'liberal'. Penganjur sememangnya berniat untuk mempertemukan wakil dua kelompok ini, bagi membolehkan mereka saling mendengar apa-apa yang mahu diperkatakan oleh kedua-dua belah pihak untuk sesama sendiri.
Ternyata, duduk mendengar naratif-naratif serta idea-idea mereka adalah bukanlah satu ujian yang calang-calang. Tidak sampai 10 minit sudah panas telinga. Apa yang disampaikan adalah seputar naratif yang sangat mahukan 'pengawalan' atas nama hormatkan Perlembagaan dan undang-undang.
Dan memang diakui kenyataan mereka itu sengaja dibuat dengan nada yang 'agak' keras kerana apa yang mereka maksudkan adalah untuk mencapai cita-cita negara yang mereka idamkan, iaitu Perlembagaan yang mana Islam sebagai agama Persekutuan dihormati dengan sepenuh-penuh hormat tanpa bantahan mengikut versi mereka.
Jelas naratif mereka adalah didasarkan atas matlamat menghalalkan cara. Sekalipun cara mereka keras dan bermasalah, ia tidak mengapa asalkan matlamat tercapai. Yang paling aneh adalah mereka tidak nampak apa yang mereka lakukan itu adalah bermasalah.
Kalau melihat kepada cara dan naratif-naratif ISMA yang ekstrem, sudah tentu dalam kepala ramai orang yang ada kesedaran dan ketercerahan, pasti akan merasakan bahawa orang-orang ISMA ini adalah orang-orang yang jahat dan mereka tahu kebenaran tetapi memesongkan kebenaran semata-mata untuk mencapai agenda mereka. Itulah apa yang aku fikir selama ini. Aku cukup tidak faham bagaimana satu grup yang dahulu asalnya tidak ada naratif superioriti Melayu-Muslim berubah menjadi kumpulan right-wing cauvinis Melayu yang amat tegar.
Walhal, sesuatu yang maklum, kumpulan Islamis di Malaysia yang berafiliasi dengan Ikhwanul Muslimin, cukup pantang untuk mendahulukan Melayu atas Islam. Frasa seperti "Saya adalah seorang Muslim dahulu, Melayu yang kedua" atau lebih menggemari perkataan Muslim berbanding Melayu dalam penerangan identiti diri seorang Islamis sudah menjadi norma. Ini adalah kerana atas asas Islam lebih luas daripada kaum dan perkauman adalah semangat asabiyyah yang negatif dan dicela agama, lalu semangat kemelayuan dan parti yang memperjuangkan kaum seperti UMNO tidak pernah disukai Islamis Ikhwani di Malaysia.
Fiqh kenegaraan adalah sesuatu yang jarang (baca: tidak pernah) didengar dan dibicarakan dalam mana-mana daurah, nadwah, apatah lagi usrah dan halaqah dahulu. Jadi, isu dan perbincangan bagaimana menjadi muslim yang baik dalam kerangka negara bangsa dan sebagai warganegara tidak pernah berlaku, dan aku syak sehingga kini dalam tarbiyah jemaah-jemaah Islamis, ia tidak ada walaupun mungkin di konvensyen dan wacana awam, mereka sudah mula membicarakannya.
Tapi biasalah, Islamis di luarnya lain namun di dalamnya lain. Itu modus operandinya yang biasa untuk memastikan mereka kekal relevan pada masyarakat. Isu nasionalisme kebangsaan dan identiti bangsa serta kaum tidak dibicarakan kerana ia menjadi alergi pada kelompok ini. Timbulnya naratif ISMA yang mengasosiasikan Melayu dan Islam sebenarnya sudah melanggar pantang agung jemaah-jemaah Islamis ini.
Menariknya, pada hari tu ada dua poin besar yang memahamkan aku tentang proses berfikir orang-orang ISMA.
Pertama, label ekstrem yang diletakkan ke atas mereka, mereka menerimanya sebagai "dalam". Orang kata mereka ekstrem, tapi mereka mengatakan diri mereka "dalam" atau "deep". Sebagai orang yang sudah dilatih dengan ilmu kebahasaan, aku memahami ini antara salah satu punca kenapa mereka tidak nampak apa yang mereka lakukan itu adalah bermasalah. Perkataan "ekstrem" mempunyai konotasi negatif, manakala "deep" pula berkonotasi positif.
Apabila label ekstrem itu diterima dengan seadanya, maka mudah untuk diperdebatkan kerana keekstreman secara asasnya dalam Islam tidak boleh diterima. Bahkan Nabi SAW memberi amaran tentang sifat ekstrem ini. Kata Nabi SAW, "إياكم والغلو في الدين" yang bermaksud "jauhilah perbuatan ghuluw atau melampaui batas dan keekstreman dalam beragama". Dalam situasi ini, tinggal sahaja ISMA harus menjustifikasi keekstreman mereka. Jadi titik perdebatan adalah pada keekstreman itu.
Sekiranya mereka menerima kata ekstrem untuk diri sendiri, ini bermakna mereka menerima mereka berada di sisi negatif. Tetapi apabila mereka memandang diri mereka "dalam" berbanding ekstrem, ini bermakna mereka menganggap mereka berada di sisi yang positif.
Oleh sebab itu, rasa positif itulah yang menyebabkan mereka tidak perlu menjustifikasi apa-apa apabila mereka dipertikaikan, kerana bagi mereka pertikaian itu datang daripada orang yang tidak cukup "dalam" ataupun daripada orang yang tidak memahami atau jahil, dan juga orang yang sememangnya salah dan sesat.
Dan titik ini yang buat aku memahami bahawa orang-orang ISMA ni sebenarnya tidak jahat tetapi orang-orang baik yang perasan dan yakin apa yang mereka buat itu baik. Tetapi inilah yang membuatkan ia menjadi masalah lebih sukar ditangani kerana melawan orang jahat lebih senang daripada melawan orang baik.
Tidak dinafikan pertukaran label ekstrem kepada dalam adalah satu bentuk "whitewashing", tetapi yang perlu dicari sekarang, adakah perbuatan "whitewashing" ini sengaja atau tidak disengajakan? Kalau ia dilakukan secara sengaja, pastilah ada kepala-kepala jahat yang merancang untuk melakukan agenda peracunan otak yang sangat licik ini. Kalau ia tidak sengaja, maka naratif melawan ISMA wajib berubah.
Terlalu jelas sekarang, sungguhpun ramai yang mengutuk ISMA, ISMA kekal teguh tidak goyah bahkan makin tak peduli apa orang kata mengenai mereka. Seolah-olah bercakap dengan mereka ni, macam bercakap dengan orang yang tidak faham sahaja.
Perkara kedua yang cukup mengetuk fikiran aku adalah penindasan. Anak salah seorang panelis ISMA yang hadir itu, aku tahu ceritanya. Dia tidak terpilih mewakili sekolahnya dalam pertandingan kerana dia anak orang ISMA. Dan sekolahnya pula adalah sekolah di bawah jemaah IKRAM. Sungguhpun dia mempunyai potensi dan bakat, dia tetap tidak terpilih dan bukan sekali dia dianaktirikan.
Cerita pemangsaan ahli-ahli ISMA ini bukan cerita terpencil. Dalam kes lain, guru-guru ahli ISMA yang mengajar di sekolah-sekolah IKRAM ada yang disuruh berhenti kerana pergeseran ISMA dan IKRAM. Dan itu cuma sebahagian sahaja cerita yang aku ketahui, namun pada aku ia cukup untuk aku mendapat gambaran ketegaran ISMA yang tidak peduli kiri kanan ini. Mungkin ini juga salah satu puncanya.
Orang yang ditindas apabila bangkit bergerak secara berkumpulan, memang lain macam keras kepalanya. Ia adalah berbeza dengan orang yang hanya sekadar ada ideologi dan kesedaran tanpa ada faktor penindasan dan pengalaman ditekan; semangatnya tidak sekental orang yang ditindas.
Jadi tidak peliklah kalau ISMA pada hari ini amat keras dan tidak segan silu menyatakan gagasan mereka berbanding dengan jemaah-jemaah Islamis Ikhwani yang lain yang selalunya bersembunyi di sebalik naratif moderat kerana pragmatisme itu adalah darah daging mereka. Hari semalam mereka Islamis, hari ini mereka kata mereka muslim demokrat. Itu semua pragmatik semata-mata bukan jiwa sebenar mereka pun.
Barangkali untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas ISMA semata-mata bukanlah titik punca penyelesaian dalam menghadapi naratif-naratif ISMA kerana ISMA pada hari ini tidak terbentuk daripada ruang vakum kerana dinamik jemaah-jemaah Islamis ini ada pengaruhnya. Dan yang menerima kesannya adalah kita semua rakyat Malaysia. Mungkin ini sudah masanya persoalan Islamisme dan masalah-masalah terkait dirungkai secara serius.
Di negara Arab dan Barat, mereka sudah mula membincangkannya kerana Islamisme memberi kesan besar kepada masyarakat lebih-lebih lagi hal-hal yang terkait dengan kenegaraan dan isu-isu umum. Yang kecil-kecil pula tidak perlu diperkatakan lagi.
Jadi, kita bila lagi?
Commenti