Pada hari ini, genap sebulan kita menghadapi hari-hari kurungan setelah Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 mula dikuatkuasakan pada 18 Mac. Sesetengah orang yang kerja makan gaji mungkin agak gembira mendengar perintah ini kerana ini bermakna mereka akan mendapat cuti percuma untuk duduk di rumah setelah bertahun-tahun menghadapi kerenah kerja yang renyah.
Namun begitu, ada juga yang menanggung resah bagi mereka yang bekerja makan gaji harian. Tidak bekerja, bermakna mereka tidak akan mendapat gaji. Kalau satu hari atau dua hari tidak apa. Malah kalau seminggu sahaja menghadapi PKP, saya rasa mereka masih boleh bertoleransi lagi walaupun sudah sesak.
Tapi, sekarang ini kita menghadapi hari kurungan sudah sebulan, yang mana kita sedang menghadapi hari-hari kurungan yang tidak pasti bila tarikh akhirnya!
Semua orang telah mulai resah. Bukan para pekerja sahaja yang resah, malah para majikan yang memegang syarikat-syarikat besar mula turut resah. Apabila semua orang kena duduk dalam rumah, tiada perbelanjaan akan berlaku. Jadi, taikun-taikun besar ini yang dahulunya angkuh menindas kerja dan menganiaya pelanggannya mula kesempitan dan merayu domba daripada masyarakat Malaysia.
Sebenarnya, apa yang terjadi sekarang, kelihatan hampir sama seperti apa yang dinamakan sebagai hartal. Hartal maksudnya ialah protes sosial yang melibatkan mogok beramai-ramai dengan penutupan pusat-pusat perniagaan dan semua kelas pekerja tidak hadir bekerja.
Dalam sejarah Malaysia, sejarah hartal ini pernah wujud pada tahun 1947 tetapi hairan sekali sejarah besar ini hampir tidak pernah direkodkan dalam buku-buku teks sekolah sebelum ini ataupun diperbincangkan dalam wacana-wacana sejarah awam. Cuma, dimaklumkan bahawa fakta sejarah itu telah mula dimasukkan ke dalam buku teks sejarah Tingkatan 4 bermula tahun lepas.
Fakta sejarahnya, pada 20 Oktober 1947, iaitu 10 tahun sebelum merdeka, gerakan rakyat yang diketuai oleh gabungan PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat)-AMCJA (All Malayan Council for Joint Action) telah menganjurkan hartal sebagai bantahan kepada draf Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan oleh British dan penolakan British terhadap draf Perlembagaan Rakyat yang dicadangkan oleh mereka. Jadi, antara ketua-ketua yang menggerakkan hartal itu ialah Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, A. Samad Ismail, dan beberapa yang lain lagi.
Protes daripada mogok yang bersifat pasif sebegini tidak sekadar menyatakan bantahan politikal, tetapi memberi isyarat bahawa gerak kerja pentadbiran dan ekonomi negara akan menjadi perlahan apabila kelas pekerja menyatakan bantahan. Sebab itu kesannya sangat besar kepada pihak kerajaan British sehingga bertindak mengharamkan beberapa pertubuhan yang terlibat dalam gerakan hartal ini daripada terus aktif.
Baik. Saya tidak bermaksud hendak mengatakan bahawa apa yang sedang terjadi sekarang ialah sebuah hartal secara literalnya. Sudah tentu berbeza. Sebab, hartal itu digerakkan dengan protes politik melalui solidariti masyarakat secara bersama-sama bagi menekan penguasa bagi mencapai hasrat tertentu.
Tapi, situasinya yang sedang berlaku sekarang: Setiap orang diminta untuk berada di rumah masing-masing dan banyak urusan perniagaan terpaksa ditutup.
Wabak Covid-19 telah "mengepalai" suatu gerakan yang memaksa semua orang untuk duduk dalam rumah tanpa berbuat apa-apa serta dilarang untuk keluar daripada rumah melainkan keperluan tertentu. Antara yang ditutup juga termasuklah para syarikat gergasi yang mula kelihatan muncul di mana-mana menadah simpati rakyat disebabkan keadaan sekarang yang tidak memihak kepada aliran perniagaan kepada mereka.
Dengan apa yang sedang berlaku sekarang, masyarakat sebenarnya boleh mengambil semangat hartal tersebut untuk mengajar para kapitalis ini akan suatu mesej:
Jangan angkuh dengan kekayaan material yang kalian miliki selama ini, kerana akhirnya nasib kalian tergantung dibunuh oleh keangkuhan kalian sendiri yang materialistik dan tidak berperikemanusiaan.
Saya tidak mahu memetik mana-mana pihak secara spesifik, tapi kita sendiri boleh sedar bahawa situasi semasa sememangnya menjerut mereka, dan pihak-pihak itu sendiri adalah pihak yang kita telah boikot selama ini berseorangan kerana merasa tertindas dengan sistem perkhidmatan mereka yang tidak menaruh belas kasihan kepada kita.
Tapi, itu adalah dahulu ketika kita hanya mampu boikot berseorangan dan langsung tidak menggugah mereka. Tetapi hari ini, dengan semangat hartal Covid-19 ini, semua orang sepertinya secara tidak langsung bersolidariti untuk mengajar mereka tentang apa yang telah mereka lakukan kepada kita selama ini.
Ya, keadaan sekarang ini sememangnya memburukkan semua pihak, sama ada orang kaya ataupun miskin. Kita semua sedang merasainya. Tetapi, dengan semangat hartal Covid-19, inilah masanya yang harus kita ambil kerana saya amat yakin untuk datang peluang kedua begini sekali lagi bagi mengajar para elit kapitalis ini adalah amat sukar.
Kita tidak bertujuan untuk merencatkan pembangunan ekonomi negara. Malah dalam suasana sekarang ini, kita wajar saling bahu-membahu dalam membantu meningkatkan ekonomi yang sangat perlahan, terutamanya mereka yang datang daripada industri kecil dan sederhana. Jadi, Bantuan Prihatin Nasional yang pihak kerajaan telah salurkan itu wajar dimanfaatkan dengan membeli barangan-barangan peniaga kecil-kecilan ini bagi membantu mereka untuk menyara hidup mereka sepanjang tempoh PKP selain untuk kelangsungan hidup kita sendiri juga.
Tapi, dalam masa yang sama, mesej pengajaran daripada semangat hartal Covid-19 itu wajar disampaikan kepada para elit kapitalis di atas sana. Sudah terlalu sering kedengaran bahawa di sebalik masyhurnya sesebuah syarikat besar, di sebaliknya pula kedapatan kebajikan-kebajikan pekerja yang tidak dijaga, korupsi di peringkat atasan yang sangat kuat, pengawalan harga barangan dan perkhidmatan dengan sesuka hati disebabkan kedudukan mereka yang memonopoli pasaran, dan polisi-polisi yang bersifat berat sebelah dan hanya memihak kepada keuntungan mereka semata-mata.
Malah, lihat sahaja bagaimana mereka menguruskan kemelesetan ekonomi ini?
Iaitulah dengan menjadikan kebajikan para pekerja sebagai taruhan paling awal, bukannya taruhan paling akhir. Selepas para pekerja dipotong gaji dan ada yang dibuang tanpa sebarang pampasan, barulah akhir sekali kedengaran bos-bos besar ini hendak memotong gajinya ataupun tidak mengambil gajinya untuk bulan ini.
Mengapa bos-bos ini tidak risau? Sebab mereka percaya apabila krisis Covid-19 ini telah selesai dan ekonomi mulai kembali pulih, mereka boleh mengambil pekerja baru dengan mudah justeru tidak perlu risaukan tentang tenaga sumber manusia. Yelah, sudah tentu nanti ramai yang ingin mencari pekerjaan baru. Jadi, bagi mereka, tidak apa untuk menggadaikan nasib dan kebajikan para pekerja lama kerana proses untuk mendapatkan pekerja baru nanti tidaklah sukar.
Perkara-perkara ini kita telah sedar selama ini. Kita sendiri yang merasai kesannya dan sakit hati seorang diri. Tinggal sahaja kita tidak ada kuasa yang cukup untuk mengambil tindakan. Kaunter pengaduan pun memandang laporan-laporan kita dengan sebelah mata dan menutup isu dengan jawapan, "Pihak kami akan menjalankan siasatan terhadap isu ini dan akan menghubungi anda kemudian." Skema jawapan yang kita selalu dengar.
Jadi, dengan semangat hartal Covid-19 ini, inilah masanya untuk kita melakukan sesuatu, supaya mesej itu sampai kepada mereka dengan harapan suatu perubahan positif akan berlaku sesudah wabak Covid-19 ini berakhir pada suatu ketika nanti.
Jika tidak, ujian Covid-19 yang Tuhan telah timpakan kepada kita semua ini, tidak akan membawa pengajaran apa-apa, terutamanya kepada elit kapitalis yang telah sekian lama bermegah-megah dengan keuntungan yang diperah daripada titik peluh para pekerja.
Comentarios