top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

SEPETANG BERSAMA BURHANUDDIN

Oleh: Azura Nasron


Sudah hampir tujuh jam hostel yang kami duduki ini tidak mempunyai elektrik. Percayalah, jika kami masih belum membayarnya untuk tinggal disini selama lima hari lagi, pasti aku sudah mencari tempat lain untuk duduki. Dek kerana terlalu panas maka kami berempat duduk di tingkat atas sekali, bahagian rooftop. Rooftopdi sini juga sadis kerana pertama sekali bangunan yang kami tinggal ini bukan bangunan yang tinggi. Maka, yang dilihat cuma bangunan di depan, kiri dan kanan, selebihnya tiada. Tiada pergunungan atau awan yang terbentang luas seperti di kebanyakan rooftopyang lain.


Bangunan depan kami masih dalam pembinaan. Jadi di saat kami menjerit kepanasan, panas lagi mereka para pekerja yang dari pagi sampai ke petang membaling simen ke batu-bata yang disusun rapi sebagai pelapis sebelum rumah itu dicat warna lain. Bangunan di sebelah kanan pula seperti tidak pernah ada orang. Tiada sepatu atau pokok-pokok kecil yang diletakkan diluar. Cuma, pada satu malam aku pernah lihat seseorang mandi di luar rumah dengan hanya memakai celana pendek. Bangunan di sebelah kiri pula, cantik sekali keadaannya. Yang paling aku suka adalah bentuk kayu diluar rumah yang dicorak ala-ala rumah kampung Melayu yang tersergam indah. Pokok-pokok kecil di dalam pasu yang tersusun rapi. Kebetulan pada waktu itu, aku lihat ada belon-belon kecil tergantung. Oh, ada sambutan hari jadi rupanya di dalam.


"Kau orang tahukan pulang kita di Malaysia nanti adalah hari Merdeka?" kata Izzah yang dari tadi berdiri disebelah aku. Izzah adalah watak pertama yang aku kenal lima tahun lepas. Pada waktu itu dia masih memakai tudung labuh. Manakala Amirah dan Wani yang sibuk membaca hanya mengangguk dengan pertanyaan yang pendek tadi.


"Mestilah tahu. Tapi kau orang tahu apa yang lagi menarik?" Suasana menjadi sepi. Semua menunggu aku untuk menyambung kata-kata ini.


"Salah seorang pejuang kemerdekaan kita dulu juga mendapat semangat nasionalismenya di India. Pada waktu itulah semangat anti-penjajah Inggerisnya bertambah-tambah dek kerana penindasan dan kemiskinan yang dilihat disini. Dia sangat mengerti kerana di India dan di Malaysia mempunyai persamaan yang sama. Dua-dua dijajah oleh pihak British."


"Kau tahu siapa dia ni?"


"Siapa?" tanya Wani yang dari tadi ternganga mulutnya mendengar cerita aku. Wani adalah rakan yang baru aku kenal dalam lebih kurang setahun atau setahun lebih. Wataknya cuma dua. Sama ada ceria dan menceriakan orang lain dengan suaranya yang merdu, atau menjerit bergaduh dengan suarannya yang nyaring.


"Pejuang itulah Burhanuddin Al-Helmi."


Maka, pada waktu itu juga kami semua terus menyanyikan lagu Burhanuddin. Di atas rooftop di salah satu hostel di Bandar Banaras, kami menyanyikan lagu yang ditulis oleh Black (bukan Black Mentor ya)


"Ku ciptakan lagu untukmu, kunyanyikan syair buatmu,…. kau yang bertubuh kecil, tetapi berjiwa besar,… di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa Merdeka, kata-kata azimat darimu tak pernah kami lupa… walaupun kini jasadmu telah tiada, namun semangatmu membakar jiwa, rakyat Malaysia yang tak pernah melupakan, pengorbanan mu!" Aduh. Asyik sekali.


"Kau orang tahu kenapa nama dia Al-Helmi?"


"Ia bermula daripada Abi Halim yang diberikan kepada bapanya kerana bapanya merupakan seorang yang tidak mementingkan kebendaan, tidak mementingkan kesenangan dunia, seorang yang sentiasa senyum dan tidak mudah marah. Mengambil sempena gelaran ini Burhanuddin menggunakan Al-Hulaimi yang kemudiaannya di popularkan menjadi Al-Helmi yang bermaksud orang yang tidak pemarah.


Burhanuddin amat dikenang sebagai seorang yang jujur dan tidak suka menganggap jahat terhadap orang lain. Apatah lagi kalau seseorang itu telah diperkenalkan sebagai orang yang seperjuangan dengan matlamat-matlamat dan pendirian politiknya. Beliau amat melambangkan apa yang beliau sendiri anggap sebagai ‘keperibadian Melayu’ sehinggalah kepada sikapnya terhadap orang-orang asing."

Kata Burhanuddin;


Dasar kejujuran, Kebangsaan Melayu dari dahulukala lagi terhadap orang-orang dagang, walau dari apa bangsa sekalipun adalah baik, ramah-tamah, hormat, peramah, suka menolong dan tidak menyangka jahat… Kebaikan dan kejujuran bangsa melayu itu berdasarkan kemanusian peri kemanusiaan dan tabiat semula jadinya, walaupun bangsa-bangsa dagang itu ada yang didapati berlaku serong atau menggunting dalam lipatan masyarakat bangsa melayu, begitupun mereka terus berpegang kepada adat istiadat resam budi pekerti melayu yang berlemah lembut itu, seperti dengan menyatakan:- ‘tiada mengapa’ ‘tak tahu adat’ atau jika orang berkasar lagi:- dengan menarik diri dan merajuk. Dan jika ia hendak berputus sekalipun sedapat-dapatnya dengan cara berlemah lembut juga seperti pepatahnya - ‘menarik rambut di dalam tepung, rambung panjang jangan putus tepung jangan berserak’


"Tapi sayang sekali kan? Lihat cara kita sekarang. Yang diingat tentang adat hanyalah:- ‘Biar mata anak, jangan mati adat’. Sehingga sanggup untuk kita maki antara satu sama lain, haramkan yang ini, boikot yang itu. Cincang yang ini, parang yang itu. Tetapi lupa sekali kita tentang istiadat resam budi pekerti melayu ini." kata Amirah yang dari tadi senyap sahaja. Amirah memang begini. Wataknya dalam mana-mana plot pun adalah watak diam dan pemerhati. Hanya sesekali suaranya terkeluar.


"Ya begitulah, kerana ada ruang dalam sejarah yang dipilih-pilih oleh mereka. Masakan mereka mampu menerima sejarah Burhanuddin dalam parti mereka tetapi mereka tidak menerima parti yang ditubuhkan Burhanuddin bersama Mokhtaruddin Lasso sebelum itu? Masakan, sejarah mampu menentukan parti mereka parti yang bagus, tetapi satu lagi ini dianggap komunis lalu diharamkan? Maka, jika sejarah pun mereka biasa memilih-milih, maka adat juga mereka memilih-milih. Bukan itu sahaja, agama dan kemanusiaan pun mereka memilih."


Semua diam. Suasana kembali sunyi. Senja mula menampakkan diri. Semakin senja semakin gelap keadaan di atas ini. Para turist yang lain pun sudah mula naik di atas untuk menghirup udara yang sedikit nyaman ini.


"Kau tahu hari jadi Burhanuddin adalah 29 Ogos, dua hari sebelum tarikh Hari Merdeka". Izzah masih belum habis dengan tarikhnya.


Ya, sebab itulah aku menulis artikel ini. Sebagai warkah memperingatinya, dan juga kita semua berempat yang berada disini, ditanah yang tidak mungkin kita kembali lagi.


Selamat Hari Jadi Yang Ke-108 Pak Doktor!

55 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page