top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

SELEPAS MASZLEE MELEPASKAN JAWATANNYA Oleh: A. Muziru Idham

SELEPAS MASZLEE MELEPASKAN JAWATANNYA:

SENI HUBUNGAN PATRON-KLIEN DALAM REALPOLITIK YANG PERLU DIPELIHARA

Pada 2 Januari 2020, sejarah tercipta lagi buat Malaysia apabila Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik membuat kenyataan media mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa pada 3 Januari 2020. Ramai orang tertanya-tanya kenapa beliau tiba-tiba mengumumkan perletakan jawatannya ketika suasana politik tengah dihangatkan oleh pelbagai isu, terutamanya siapakah Perdana Menteri Malaysia Ke-8 ketika tempoh dua tahun PRU-18 semakin hampir menjelang Mei 2020.

Saya sebenarnya tertarik apabila membaca teks rasmi kenyataan media Dr. Maszlee Malik yang dibaca ketika pengumuman perletakan jawatannya itu. Antaranya, kenapa Dr. Maszlee Malik menyebut "Dengan nasihat daripada "ayahanda" Perdana Menteri..." ketika teks asal tidak langsung menyebut gelaran "ayahanda" melainkan sekadar menyebut YAB Perdana Menteri?

Untuk seorang Dr. Maszlee Malik yang suka sangat bersarkastik di mana-mana termasuklah di Dewan Parlimen sekalipun, barangkali ada sesuatu sarkastik yang hendak diberitahunya di situ? Kita semua tahu bahawa gelaran ayahanda itu sangat signifikan untuk kelompok atau jemaah tertentu yang terlibat dalam arena politik dan perniagaan.

Ah, mungkin saya yang terlebih fikir dan Dr. Maszlee sekadar menyebutnya dengan maksud penghormataan dan taat setia sahaja. Ketika di Simpang Renggam pun sepulang dia ke sana selepas perletakan jawatannya pun dia masih tetap menegaskan taat setianya kepada "ayahanda" dan partinya itu.

Tidak apa. Abaikan saja persoalan itu. Tapi yang paling penting hendak difokuskan daripada teks tersebut ialah dua perenggan ini, iaitu:

1) "Umum mengetahui, banyak pihak yang mendapat kontrak melalui kabel-kabel tertentu sebelum ini, dan KPM bekerja keras untuk membanteras amalan ini.

2) "Misalnya, pendidikan digital hanya dapat dilaksanakan jika semua sekolah mempunyai sistem internet yang pantas dan stabil. Sebelum ini, terdapatnya monopoli dan para guru langsung tidak menggunakan platform tersebut kerana ia terlalu perlahan dan mereka tidak mempunyai pilihan."

Dua perenggan itu sangat menarik perhatian saya. Bayangkan, ketika dalam ucapannya itu yang sekian banyak menyebutkan perkara-perkara positif yang kementeriannya telah lakukan sepanjang 20 bulan beliau berkhidmat (selain daripada pengumuman perletakan jawatannya), tiba-tiba terdapat dua perenggan negatif yang diselitkan dalam ucapannya itu. Sangatlah sesuatu untuk kita fikirkan.

Pertama, kedua-dua perenggan tersebut menceritakan tentang korupsi yang berlaku. Kedua, kedua-dua perenggan tersebut menceritakan tentang keterlibatan syarikat perniagaan tertentu yang memonopoli kontrak dan tender perbekalan projek dalam kementerian itu.


Hah! Di sinilah topik yang saya hendak fokus dan bicarakan sebenarnya. Barangkali setelah kalian membaca habis tulisan ini, kalian akan dapat merenungi sesuatu daripadanya perletakan jawatan Dr. Maszlee Malik tersebut. Saya tidak mahu menyebut atau meluahkan apa-apa fakta terpendam, atau mahu bersentimen dengan perletakan jawatannya itu. Saya cuma hendak kalian faham sesuatu. Apa yang saya akan terangkan ini adalah perbincangan yang pelajar-pelajar sains politik sudah perbahaskan dalam dewan kuliahnya.

Dalam sains politik, ada sebuah istilah untuk menggambarkan situasi hubungan antara ahli politik dengan rakyatnya secara individu ataupun berkumpulan, yang dikenali sebagai "clientelism". "Clientelism" secara mudahnya bermaksud hubungan antara patron-klien yang melibatkan manfaat kedua-dua belah pihak untuk mencapai keuntungan sesebuah agenda politik.

Hubungan "clientelism" dalam politik adalah sangat realpolitik. Ia mewujudkan suatu hubungan yang dipanggil sebagai patron-klien. Patron ialah pihak yang memiliki kekuasaan untuk memberi kelebihan politikal kepada klien (seperti meluluskan tender projek, menaungi klien daripada sebarang tindakan perundangan atau cukai, pengutamaan klien dalam sebarang projek berkaitan, dll).

Manakala klien pula adalah pihak yang memberi sokongan politikal kepada patron dalam pelbagai bentuk yang boleh mengukukuhkan kekuasaannya di peringkat kerajaan (seperti menyediakan modal yang besar untuk berpolitik, menyediakan margin komisen yang tinggi kepada patron untuk masuk poket sendiri, mengumpulkan sokongan peringkat akar umbi kepada patron, berkhidmat terhadap patron secara sulit untuk urusan politik, dll).

Kalau baca artikel jurnal yang ditulis oleh Jonathan Hopkin bertajuk, Conceptualizing Political Clientelism: Political Exchange and Democratic Theory, situasi "clientelism" ini adalah lebih luas dan lebih kritikal apabila menjelaskan realiti politik abad ke-21 ini. Jika "classic clientelism" lebih bertumpu kepada hubungan antara individu - iaitu antara seorang patron dan seorang klien - namun "new clientalism" telah mula menyerap masuk ke dalam ruang yang lebih besar, iaitu antara parti politik dan syarikat perusahaan besar. Syarikat besar ini akan mendanai parti-parti politik naungan masing-masing bagi membantu mendapatkan kekuasaan di peringkat kerajaan persekutuan.

Dengan duit, semua boleh jadi (seperti membayar pengundi hantu, membekalkan dana kepada parti untuk kerja-kerja berkempen, songlap pegawai kerajaan supaya membentuk "deep state" melalui kuasa undi dan pengaruh, sabotaj parti lawan, menawarkan kekayaan berlipat ganda kepada patron, dll); dan dengan kuasa, semua boleh jalan (seperti menggerakkan projek-projek kroni, mengelakkan daripada tersangkut di peringkat audit, menghubungkan projek dagangan ke syarikat-syarikat antarabangsa, melindungi kerja-kerja di pasaran gelap daripada tertangkap oleh pihak berkuasa, dll).

Dalam "new clientalism", klien bukan sahaja berpengaruh di peringkat menang undi pilihan raya, malah pengaruhnya semakin melebar di tahap melobi polisi kerajaan. Klien mula menyusup masuk secara tidak langsung ke dalam proses penggubalan polisi justeru akan mula melobi supaya polisi-polisi kerajaan semasa akan memberi keuntungan kepada klien.

Ya, sudah tentulah klien akan menuntut janji daripada patron setelah kemenangan dicapai, demi memastikan kelangsungan perniagaan mereka. Mereka bukan sahaja mahu tender-tender projek, tetapi juga mahu kebal daripada undang-undang kalau mereka sangkut di peringkat audit.

Dalam mana-mana politik dunia sekalipun, "clientelism" memang tidak akan dapat dipisahkan. Hampir mustahil. Sebabnya, ahli politik sangatlah bergantung kepada dana-dana politik daripada para ahli perniagaan yang berkuasa dan bermodal tinggi ini untuk membantu kerja-kerja politiknya. Manakala ahli perniagaan pula sangatlah bergantung kepada kekuasaan ahli politik ini untuk melancarkan segala urusan perniagaannya tanpa gangguan pihak berkuasa. Lebih lagi pula kalau sesebuah perniagaan tersebut berselindung di sebalik perniagaan sah demi menutup gerak kerja perniagaan tidak sah di pasaran gelap.

Patron dan klien ini akan saling bekerjasama antara satu sama lain. Hubungan tidak boleh putus. Kalau patron tidak menjaga klien, klien akan memberi masalah kepada patron. Kalau klien tidak menjaga patron, patron boleh menggugat perniagaan klien. Masing-masing saling menjaga rahsia, dan akan sentiasa menjaga kepentingan bersama. Sesiapa yang cuba hendak ganggu rantaian hubungan ini, pasti akan menerima akibatnya.

Apa yang saya ceritakan ini barangkali sukar difahami oleh kalian. Kalian perlukan gambaran visual. Baik. Saya cadangkan pula kalian tonton siri drama televisyen ataupun filem-filem yang berkaitan. Kalau kalian yang suka tonton Netflix ni, saya sangat sarankan siri drama House Of Cards yang memaparkan realiti hubungan patron-klien ini dengan sangat tepat dan tajam. Atau boleh juga tonton siri drama Vagabond (sejujurnya saya tidak tonton lagi drama ini; tapi ia disarankan oleh ramai kawan saya yang menurut mereka turut memaparkan realiti hubungan "clientelism" ini).

Dan menarik juga tonton filem The Irishman. The Irishman adalah kisah tentang dunia mafia, tapi ada juga menunjukkan bagaimana para mafia ini yang terdiri daripada para ahli perniagaan yang sah dan berselindung juga di belakang patron ahli politik. Banyak sebenarnya cerita-cerita yang boleh dicadangkan untuk kalian memahami dengan jelas realiti hubungan "clientelism" ini. Boleh cadangkan lagi untuk kita sama-sama tonton.

Ya, saya barangkali terlalu realis dalam hal ini dan seolah-olah tidak memikirkan dan menyediakan jalan keluar kepada solusi korupsi "clientelism" ini. Tapi, mahu tidak mahu, ia adalah realiti yang sukar dielakkan kerana isu ini adalah isu di peringkat sistemik. Maksudnya, isu ini sudah berakar bukan sahaja di peringkat sistem, malahan budaya itu sudah menjadi darah daging sesiapa sahaja yang terlibat dalam sektor politik dan kerajaan.

Kalau kalian pernah dengan isu "deep state" selepas era kerajaan baru ni, ya, inilah yang sedang berlaku. Patron dan klien itu boleh terdiri daripada sesiapa sahaja dan daripada pelbagai sektor. Tapi untuk arena politik: Di belakang patron yang berkuasa, terdapatnya klien yang kukuh kedudukannya.

Sajalah saya cerita tentang hubungan patron-klien ini dalam dunia realpolitik. Sebab inilah "real" politik yang sedang berlaku di sekeliling kalian walau siapa dan parti apa sekalipun yang kalian dokong. Tidak perlu nafikanlah. Hanya kerana bukti itu tidak ada di depan mata kalian, tidak bermaksud ia tidak ada.

Jadi, selepas kalian membaca tulisan ini, dan selepas membaca teks rasmi Dr. Maszlee Malik ketika perletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan Malaysia, apa yang kalian telah nampak realiti di sebaliknya yang sedang berlaku? Saya tidak berspekulasi apa-apa. Kalian fikir sendiri.

3 views0 comments

Comments


bottom of page