top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

SELAMAT HARI LEBARAN 1441H BUAT MASYARAKAT ERA PANDEMIK COVID-19 Oleh: A. Muziru Idham

(i) Tulisan ini datang sekadar sebagai cerita seorang lelaki yang sedang hidup pada suatu era normal baharu hari raya aidilfitri -- dan terperangkap di Kuala Lumpur sedangkan pada malam ini sepatutnya sudah berada di Terengganu menolong ibu di dapur.


Ya, esok landskap sosial kita akan berubah sekali lagi seiring dengan perubahan waktu, tatkala musim mula beranjak kepada satu hari perayaan, tetapi perayaan tidak disambut seperti biasa. Untuk hari raya kali ini, kita tiada lagi solat hari raya di masjid, tiada lagi aktiviti ziarah-menziarahi dan salam-bersalaman, tiada lagi perhimpunan saudara-mara di kampung, malah pula kebiasaan anak-anak muda membakar mercun berdentam-dentum juga hampir tiada kedengaran pada perayaan tahun ini.


Malah, barangkali tradisi kuih raya juga tidak lagi serancak dulu kerana tidak ada keperluannya lagi untuk menghiasi meja makan dengan segala macam kuih raya jika tidak ada yang datang bertandang ke rumah untuk menghabiskannya. Televisyen juga tidak dirancakkan oleh kemeriahan iklan-iklan raya yang selalu datang dalam bentuk drama pendek dengan segala macam nuansa perasaan: sedih, gembira, kelakar, sayu.


Kita berhadapan dengan suatu hari raya yang telah melanggar tradisi kebudayaan Melayu turun-temurun, dengan suatu norma baharu di mana setiap orang hanya perlu duduk di rumah masing-masing, solat raya berjemaah di rumah sendiri, bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga yang ada di rumah itu sahaja dan selepas itu kembali buat urusan masing-masing di rumah. Mungkin dengan sedikit kelonggaran yang diberikan PKP ini, maka ada yang akan keluar rumah sekadar bersiar-siar di jalanan melihat suasana raya pada normal baharu ini.


(ii) Sebenarnya, setiap kali datangnya musim perayaan, saya pasti terkenangkan puisi pendek Sitor Situmorang yang saya kira turut menjadi sebutan para penulis lain juga. Puisi pendek itu sangat misteri maknanya justeru mengundang kepada perbincangan para sarjana dan sasterawan itu sendiri dalam mengupas maknanya. Puisinya begini:

MALAM LEBARAN

Bulan di atas kuburan

1955


Sangat misteri maknanya kan? Puisi pada tahun 1955 pun sampai sekarang masih lagi diperbincangkan. Apakah mahu diambil maknanya secara harfiah bahawa penulis sekadar mencatatkan apa yang diperhatikannya pada malam lebaran, ataupun ada makna tersirat yang mahu diungkapkan daripada seringkas tajuk dan dua baris puisinya itu? Ada banyak cerita di sebalik puisi yang diungkapkan, dan ada banyak tafsiran yang dibentangkan. Untuk puisi yang absurd sebegini, sudah tentu tidak ada makna yang mutlak boleh ditetapkan kerana ia terbuka kepada apa jua tafsiran.


Tapi yang lebih menangkap minat saya adalah pada istilah "lebaran" itu sendiri dalam tajuk puisi tersebut yang turut mengundang banyak pertanyaan dan teori. Ada yang mengatakan ia datang daripada perkataan Jawa yang bermaksud "sudah selesai".


Katanya, istilah itu berasal dari tradisi Hindu dan diperkenalkan oleh Sunan Bonang, salah seorang Wali Songo, pada kurun ke-15 sebagai suatu istilah kebudayaan yang lebih hampir kepada masyarakat yang sedang baru melalui proses peralihan daripada kepercayaan Hindu kepada Islam dalam merayakan suatu perayaan keagamaan yang baru buat mereka.


Ada juga yang mengatakan bahawa istilah lebaran itu datang daripada perkataan Betawi yang bererti luas sebagai menandakan keluasan hati dan kegembiraan menyambut Aidilfitri setelah sebulan berpuasa. Juga bermakna melebarkan kemaafan dan silaturrahim sebagai penyambung daripada semangat Ramadan yang sangat banyak mendidik kemanusiaan itu.


Walau apapun etimologi perkataan lebaran itu, yang pasti, ternyata kita memiliki suatu istilah sendiri yang sangat bermakna sebagai menggantikan perkataan Aidilfitri. Sudah tentu falsafah di sebalik "lebaran" itu penuh dengan nuansa ke-Melayu-an yang dapat kita fahamkan dengan makna yang lebih hampir dengan kebudayaan dan kenusantaraan itu sendiri.


Lebaran itu melebarkan kemaafan; melebarkan silaturrahim; melebarkan kemanusiaan; melebarkan keamanan; melebarkan kebaikan; melebarkan kasih sayang; melebarkan senyuman. Segala yang baik itu kita lebarkan dengan kembali kepada makna fitrah itu sendiri yang bererti kejadian asal insan yang suci dan baik justeru bertentangan dengan sifat-sifat yang tidak baik.

Pada era pandemik ini, kita boleh saja menyambut lebaran dengan melebarkan kata-kata cinta di Whatsapp, Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain. Kita hubungi saudara dan rakan yang jauh di peti mesej Facebook atau di ruangan komen status dengan mengutuskan salam dan maaf.

Ya, era pandemik menjadikan kita lebih dekat dengan teknologi dan hidup pada suatu era baharu di alam maya menjadikan hubungan antara manusia itu lebih dekat dan lebih melebar di serata dunia. Ternyata, hubungan silaturrahim itu lebih mudah dijelmakan sebenarnya pada era pandemik ini.


(iii) Tidak seperti kebiasaan saya pada tahun-tahun sudah yang memperuntukkan Ramadan dengan membaca bacaan-bacaan berkaitan al-Qur'an. Kalau tahun lalu saya memperuntukkan waktu untuk membaca Tafsir Al-Azhar karangan Hamka (walaupun tidak sempat hendak mengkhatamkan kesemuanya kerana terlalu tebal dan berjilid-jilid ia), namun Ramadan tahun ini saya lebih banyak membaca hikayat-hikayat. Malah minggu lalu juga saya telah menyampaikan sebuah perkongsian bertajuk Sisi-Sisi Gelap Bangsa Dalam Teks Hikayat Yang Disorok anjuran Gerak Malaysia.


Sengaja saya membuat pilihan bacaan sebegini sebagai pengisian diri saya pada bulan Ramadan tahun ini kerana saya fikir perlu juga untuk memahami geneologi dan kebudayaan masyarakat Melayu untuk memahami apakah nilai kebudayaan dan cara fikir mereka dalam beragama.


Sudah tentu jawapan jelas itu tidak akan ditemui di mana-mana, tapi gambaran cara hidup dan cara fikir mereka itu memberi kita ruang dan petanda untuk melakukan tafsiran yang memberi kita jawapan bagaimana seharusnya kita memahami gerak laku masyarakat. Ramadan sering memberikan suatu dimensi waktu yang luas menyebabkan kesempitan waktu yang dihadapi pada hari-hari biasa terasa lebih tenang dan lapang pada bulan ini.


Sebab itu saya sendiri secara peribadinya agak sedih apabila Ramadan telah mula tiba ke penghujungnya ini. Sekalipun secara fizikalnya badan sudah mulai rasa agak penat oleh perubahan jadual tidur dan makan, tetapi nikmat kelegaan waktu itu adalah sesuatu yang sukar untuk dicari ganti.


Saya masih punya waktu untuk bekerja pada siang hari, memasak pada setiap hari, berbuka puasa, bertarawikh, menelefon ibu pada setiap malam, bermain permainan dalam talian dengan kawan-kawan di tempat lain selepas terawih, mengikuti beberapa siri kelas pengajian dengan guru-guru sastera dan pengajian Melayu, menyertai sesi webinar anjuran IRF pada setiap hari Sabtu, menonton siri drama House Of Cards dan beberapa buah filem India (saya berhajat hendak mengulasnya pada suatu kelapangan nanti), mengkhatamkan beberapa buah buku, dan menyiapkan beberapa buah tulisan.


Bulan ini saja beberapa buah hikayat telah dihabiskan dengan beberapa buah buku sampingan lain yang membedah isi hikayat sebagai bacaan silang rujuk. Itu adalah nikmat waktu yang tidak didapat pada hari-hari biasa, sekalipun kesibukan hariannya masih sama. Saya cuma dapat merasai nikmat-nikmat sebegini pada bulan Ramadan sahaja. Sebab itu pemergian Ramadan itu terasa berbekas di hati.


(iv) Jika ditanyakan kepada saya, sudah tentu raya yang saya paling rindui adalah raya pada usia kanak-kanak. Kanak-kanak adalah zaman yang paling dirindui. Tidak ada masalah lain yang paling lebih dirungsikan berbanding kiraan kutipan duit hari raya yang diterima daripada saudara-mara dan jiran tetangga kalau-kalau kutipan raya tahun ini lebih sedikit daripada tahun-tahun yang lepas.


Jika mendapat not-not RM1, rasa biasa-biasa. Kalau buka sampul raya dan melihat not RM5, mampu tersenyum ria. Tapi kalau buka sampul dan melihat not RM10 ataupun RM50, duit dikucup-kucup seperti mencium bau syurga dan disimpan kemas-kemas ke dalam beg duit. Ada juga ketikanya ibu akan meminta duit itu untuk tolong menyimpannya. Risau kalau-kalau ia hilang jika terus berada di tangan saya. Pada ketika itu, jika himpunan duit raya sudah mencecah jumlah lebih RM100, betapa riangnya hati itu tidak dapat hendak digambarkan dengan kata-kata.


Duit raya yang diterima dianggap sebagai upah kejayaan sebulan berpuasa penuh dan saya akan menerimanya dengan salam dan cium tangan mengucapkan terima kasih. Saya masih belum memahami apa ertinya sedekah pada pemberian duit raya sebagai tradisi budaya Melayu yang sangat istimewa pada musim hari raya.


Walaupun hakikatnya adalah lebih baik tradisi itu dibuat pada sebelum raya kerana ganjaran pahala sedekah pada bulan puasa adalah lebih berganda-ganda, tapi sebenarnya tradisi itu adalah keunikan budaya masyarakat Melayu yang menghargai dan menggembirakan kanak-kanak dengan sedikit wang yang mereka boleh gunakan buat belanja membeli barang permainan ataupun makanan yang mereka sudah lama diidamkan. Ia adalah tradisi menggembirakan kanak-kanak pada hari raya dan melihat kegembiraan kanak-kanak itu sendiri sebenarnya adalah suatu terapi.


Tapi ya, pada era normal baharu ini, bermakna tradisi ini juga pun semakin tidak ada. Paling tinggi pun, cuma duit raya daripada ibu bapa sahaja yang dapat diterima. Saya bersyukur kerana tidak melalui era pandemik itu ketika waktu kecil. Jika tidak, sudah tentu saya yang belum memahami erti norma baharu akan merengek dan membentak kerana hari raya pertama adalah penjara di rumah sendiri dan cuma mampu menonton ulang siaran rancangan-rancangan televisyen yang diulang-ulang pada setiap tahun itu.


Tapi....mungkin juga pada era pandemik ini, duit raya yang diletak di dalam sampul digantikan dengan kiriman melalaui transaksi dalam talian? Ada sesiapa yang mahu berikan saya duit raya?


(v) Moga amalan kita semua sepanjang Ramadhan mendapat rahmat dan berkat daripada Tuhan dan kita mencapai tujuan yang Tuhan maksudnya dalam firmannya itu, "...agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa."


Saya teringat pada pesan Fazlur Rahman dalam Major Themes of The Qur'an yang mengatakan bahawa, takwa itu adalah melindungi diri daripada sebarang akibat buruk yang disebabkan oleh perbuatannya sendiri. Takwa itu adalah dekat dengan akal budi manusia yang berfikir pada segala tindakannya dan berakhlak pada keperibadiannya.


Akal dan budi adalah manifestasi daripada fikir dan akhlak yang menghubungkan makna takwa kepada suatu bentuk hubungan fizikal-spiritual yang seimbang. Maka, fikir dan akhlak itu menjadi ciri penting keperibadian bagi orang-orang yang berpuasa dalam melahirkan manusia budiman yang berakal budi.


(vi) Selamat hari lebaran 1441H buat semua masyarakat era pandemik COVID-19. Saya mewakili warga Jurnal Sang Pemula memohon maaf atas segala-galanya sekiranya ada salah silap daripada kami sama ada sengaja ataupun tidak sengaja; sama ada kami sedar ataupun tidak sedar. Tidaklah kami bertegas pada prinsip dan kemanusiaan, melainkan semuanya bertujuan kebaikan dan kebenaran untuk pencerahan dan kesetaraan.

6 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page