top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

SEKOLAH BUKAN-BUKAN

Oleh W.N Khuzairey




LOCENG berdering lantang menandakan pertukaran waktu sedang berlaku. Guru kecil keluar dari kelasnya lalu bergegas ke kantin. Tekaknya kering maklumlah mengajar kelas selama dua jam tanpa henti.


Setibanya di kantin sekolah, pekerja kantin menyambutnya dengan penuh senyuman. Kebetulan guru besar sedang duduk dihadapannya, maka terpaksalah guru kecil duduk semeja untuk menunjukkan sikap mesra dengan orang-orang atasan.


“Kamu baru habis kelas ke?” sapa guru berbasa-basi.


“Ya, baru habis cikgu. Hari ini panas sekali. Itu yang kena minum dulu sebab kejap lagi saya ada kelas lagi.”guru kecil membalas sederhana.


“Ya baguslah tu. Eh, kamu ada dengar berita tak yang sekolah kita baru menerima anugerah sekolah cemerlang. Dari dua belas sekolah yang ada dekat daerah kita ni, sekolah kitalah yang pertama dinobatkan sebagai sekolah cemerlang. Tak sia-sia usaha keras kita selama ni.”


“Wah tahniah cikgu, tapi kalau boleh saya bertanya, sekolah kita ni dapat anugerah kecemerlangan apa?” guru kecil bertanya kehairanan.


“Ish kamu punya soalan ni, kita dapat kecemerlangan perfect score-lah, kan tahun lepas kelas 5 Sains tu lebih kurang 11 orang dapat straight A dalam SPM.”


“Tapi cikgu, yang dapat tu cuma 11 orang tapi kenapa satu sekolah ni dapat sekolah cemerlang?”mata guru kecil mengecil kerana merasa aneh.


“Sebagai tanda penghargaan, guru-guru dan pelajar-pelajar bertungkus-lumus ulangkaji pelajaran.” Jelas guru besar.


“Kalau macam itu, kita kena bagi penghargaan dekat kelas 5 Cempaka jugalah.”


“Eh buat apa nak bagi kelas Cempaka? Itu kelas belakangkan? Budak-budaknya pun tak ada displin, tak hormat cikgu, main-main je lebih, mana boleh kita kata cemerlang.”hujah guru besar yakin.


“Tapi tadi cikgu cakap kita dapat anugerah cemerlang sebab usaha, pelajar-pelajar, kelas Cempaka juga usaha. Tak adillah kalau usaha mereka kita tak pandang. Tak begitu?”


Pertanyaan guru kecil menjadikan perbualan terhenti seketika. Guru besar menyuapkan nasi ke mulutnya. Sambil mengunyah dia seakan memikirkan sesuatu.


“Kamu agak-gak tahun ini, berapa agaknya yang boleh dapat perfect score? Malu kalau status kedudukan sekolah kita menurun. Kita kena dapat lebih dari apa yang ada sebelum ni?”


“Besar betul tugas guru besar, hari-hari kena fikir risau saya. Kadang-kadangkan cikgu kita tak boleh ukur pelajar dengan satu skala. Budak-budak ini semua macam cap jari, mereka semua unik, dan ada kelebihan masing-masing. Mana boleh kita tentukan siapa yang cemerlang dan siapa yang tak, kan?”


“Tapi kalau budak-budak ni tak cemerlang, macam mana dia nak kerja? Pendidikan itu saja yang boleh ubah nasib mereka, tengok apa jadi pada pelajar-pelajar kelas Cempaka, semuanya tak ketahuan merayau sana sini, lepas tu ganggu ketenteraman orang lain.” tegas Guru besar.


“Sampai sekarang, saya masih tak berapa faham dengan maksud cemerlang yang cikgu maksudkan. Cemerlang sekolah ini bagaimana ya? Sebab saya fikir jika kita mahu anak-anak didik kita cemerlang, pertama suasana dalam sekolah itu dulu perlu cemerlang.” guru kecil terus mempersoal sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil menyambung;


“Sekolah harus atau wajib terbangun dengan fasiliti yang baik. Perpustakaan yang tersedia harus dikemaskini bahan bacaannya sesuai dengan konteks zaman. Kemudian bilik-bilik darjah seharusnya dirapikan. Papan-papan kenyataan yang pecah sedia digantikan, kipas yang rosak dibetulkan, malah dengan kemajuan zaman sekarang ini saya rasa kita perlukan paparan LCD dalam bilik darjah supaya pengajaran lebih efektif dan menyeronokkan. Kita mahu sahut pendidikan abad ke-21 atau apa-apa sajalah namanya, tapi kemudahan internet tidak tersedia, layar paparan masih tiada, bagaimana pendidikan itu harus kita laksana? Cuba kita tengok kondisi kantin kita ini, sampah masih bersepah-sepah dibuang.”


“Tapi itu salah pelajar, mereka tak ada tanggungjawab sebab tu mereka buang merata.” sambut pengetua.


“Ya tapi ada salahnya kita juga, dari mula sekolah ditubuhkan sampai hari ini yang kita beratkan di sekolah itu hanya gred, markah dan kedudukan apatah lagi persaingan. Kita tidak menekankan semangat kebersamaan apatah lagi nilai-nilai universal apatah lagi soal kemanusiaan. Pelajar-pelajar yang menjaga kebersihan persekitaran sekolah tidak diraih seperti mana perlajar yang mendapat straight A.”


“Ini baru kita kisahkan soal kebersihan, belum kita sentuh soal perpaduan, di luar sana hal perkauman semakin hari semakin menengang. Kaum Cina tak percaya Melayu, Kaum Melayu menstreotaipkan kelompok India, belum pula dengan ketuanannya. Kita yang disekolah ini, apa yang kita ajarkan kepada murid-murid supaya tidak ada sifat rasis atau ketuanan? Maaf cakap, saya bimbang cikgu-cikgu disini pun ada sifat tu, sudahnya bila perpaduan boleh dicapai?”


“Saya setuju bila cikgu tadi kata pendidikan boleh ubah status hidup, alat pembebas kemiskinan, tapi ironinya kita tak pernah ajar pelajar-pelajar kita apa itu kemiskinan? Siapa pelakunya? Kenapa kemiskinan berlaku dan kesannya? Tak pernah kita sentuh dan tak pernah kita ajarkan. Lihat anak-anak 5 Cempaka tu, rata-rata mereka dalam keluarga miskin, mereka tercari-cari arah akhirnya mereka memberontak dengan diri sendiri kerana selama ini kita paksakan kesedaran naif dalam minda mereka. Kita katakan mereka miskin sebab diri mereka sendiri. Kita katakan mereka gagal di sekolah kerana gagal mengingat fakta buku teks. Wal hal kemahiran manusia bukan sekadar mengingat, yang mengingat itu hanyalah robot.”


“Saya masih ingat pesanan ibu saya waktu saya kecil, katanya jangan buat perangai bukan-bukan, saya risaukan pesanan itu berlaku di sekolah kita dengan menjadi sekolah bukan-bukan. Sepatutnya yang diajarkan itu lain, tapi lain pula yang terjadi.”


Guru besar diam terngaga, tangannya kaku sambil memegang sudu. Lalat menghurung makanannya tanpa disedari. Loceng kedua telah berbunyi, guru kecil meminta pamit dari guru besar untuk ke kelas. Guru besar masih kaku, dan kakunya berterusan sehinggalah tamat persekolahan, atau mungkin sehingga bumi ini tamat riwayatnya.

10 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page