Oleh Syazwani M.
SEJARAH tiada satu definisi yang tunggal. Setiap manusia mempunyai tafsiran mereka yang tersendiri. Ada yang mendefinisikan ia sebagai sesuatu yang berlaku di masa lampau sebagai pengajaran untuk masa sekarang, boleh jadi ia juga adalah satu harapan dan sebagai garis panduan untuk masyarakat hari ini agar hidup mereka lebih terpandu dan tersusun. Dalam dalam mendefinisikan ini juga, kita tidak boleh lari dari satu fenomena persaingan; antara sejarah kelompok mana yang akan dipilih dan dikedepankan. Di mana hari ini rata-rata sejarah yang diangkat majoritinya adalah sejarah dari golongan elit.
Antara persoalan yang timbul di minda menghadiri syarahan di bengkel Dr. Azhar Ibrahim bertajuk Buku-Buku Sejarah Kita: Apanya dan Kemana? (Yang Popular dan Yang Populis) adalah mengapakah di dalam sejarah Malaya kita, sejarah Melaka yang dikedepankan? Adakah kerana ia merupakan salah satu sumber untuk pelancongan? Barangkali. Namun jika dikaji lebih dalam lagi di Melaka terdapat institusi raja, dan bagi kaum melayu, raja adalah seperti bayangan tuhan dan daulat adalah yang paling tinggi. Kerana adanya konsep feudal di situ, maka tidak hairanlah perlulah sejarah ini dikedepankan pada khalayak. Dan masyarakat juga merasakan orang yang berkuasa itu lebih penting dari golongan masyarakat kebanyakan. Antara persoalan yang menyentak diri adalah mengapa sejarah kelompok yang tinggal di bahagian utara semenanjung Malaysia tidak begitu popular dan tidak dikedepankan? Adakah kerana ketiadaan teks asli? Atau bagaimana agaknya nanti jika kita harus berbicara tentang sejarah material, tekstil atau binaan? Tepuk dada tanya ilmu.
Dalam mengungkap sejarah ini juga mengingatkan kita bahawa guru memainkan peranan penting dalam memastikan sejarah yang sampai pada anak bangsa tidak bersifat bias. Guru di peringkat sekolah harus berintegriti dalam mengajar subjek sejarah. Guru mestilah mempunyai ideologi mereka tersendiri dalam memahami sejarah dan bukannya hanya mengikut apa yang tercatat dalam buku teks sahaja tanpa menerangkan sebab dan kesan di sebalik setiap peristiwa yang berlaku tanpa analisis mendalam. Guru yang baik adalah apabila dia mampu mengkritik dan menganalisa isi sejarah di dalam buku tersebut dan menyampaikan ilmu sejarah tanpa bias memilih kepada satu golongan atau satu perspektif dan mendiamkan sejarah golongan lain.
Rata-rata yang hadir dalam bengkel minggu lalu mengakui bahawa Universiti hari ini kebanyakannya sudah hilang fungsi utamanya iaitu menyampaikan ilmu dengan jujur spesifik dalam ilmu sejarah. Selalunya sejarah populislah yang dikedepankan. Ianya diajarkan kepada mahasiswa yang memang sudah bingung kerana pembelajaran sejarah di sekolah yang tidak beres dan kritikal dan mereka inilah yang akan bergraduasi dan mengajar semula sejarah kepada anak-anak muda dan mahasiswa di masa hadapan. Maka persoalan berat yang harus diutarakan di sini adalah, dimanakah penghujungnya kepada semua masalah ini?
Seperti kata Edward Said, kolonialism adalah segala punca bagi masalah yang dihadapi oleh masyarakat di negara yang dijajah sekarang ini. Akibat daripada sistem pecah dan perintah yang dibuat oleh British telah membawa kesan kepada permasalahan perkauman di Malaysia. Masyarakat lebih memandang sesuatu sejarah itu melalui bacaan etnik, bukannya bacaan kelas sosial. Contohnya, Britishlah yang menyebabkan Melayu menjadi miskin dan mundur kerana meletakkan Melayu di kawasan kampung dan lebih membantu kaum Cina dan India apabila meletakkan mereka di kawasan perlombongan dan perladangan. Seharusnya kita juga harus melihat dan mengenalpasti masalah-masalah yang timbul ini melalui lensa moral, bukan hanya dalam lendsa etnik. Ini kerana semua kaum juga masih ditindas sehingga sekarang, baik Melayu, Cina, India. Ini termasuklah orang asli dan kaum-kaum lain yang ada di Sabah dan Sarawak. Sedangkan masalah besar dari memandang hanya pada lensa etnik adalah adalah kita terlupa ada jurang besar antara yang miskin dan kaya.
Masalah sejarah yang belum beres ini juga telah menyebabkan manusia bergaduh sesama sendiri. Kaum Melayu mengakui bahawa mereka adalah orang yang paling layak untuk duduk di Malaysia dan ada yang mengangkat diri (merasa megah dari orang lain) sebagai bangsa Melayu. Permasalahannya adalah mereka sendiri masih tidak jelas tentang definisi bangsa itu sendiri dan nilai-nilai yang perlu diangkat untuk menjadi suatu bangsa yang berjaya. Misalnya jika kita melihat binaan bangunan-bangunan yang ada sekarang, apakah masih ada nilai estetika atau telah hilang nilai estetika kemelayuannya yang suatu ketika dahulu dibangga-banggakan? Pasaran batik yang membawa identiti sendiri juga telah makin memudar. Lalu, kita ingin bertanya, dimanakah kemelayuan yang diagungkan ketika hari ini hampir-hampir saja identiti suatu bangsa itu pupus?
Akhir sekali, kita perlu melihat kembali sejarah-sejarah yang telah ditulis oleh para sejarawan kerana kerapkalinya sejarah yang populis dan elit dititikberatkan. Kesadaran sejarah adalah antara asas terpenting dalam kesadaran masyarakat menghadapi perubahan dan kebertahanan. Lalu menjadi penting dan tanggungjawab bagi kita, memperbanyak perbincangan, penulisan dan wacana sejarah agar sejarah-sejarah yang dipilih untuk disenyapkan dapat diselongkar dan dikedepankan kerana ia juga sebahagian dari sejarah negara ini.
Comments