top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

SEBUAH CERITA TENTANG PEMBUNUHAN

Oleh: L


Merenung ke langit sambil mengimpikan yang di atas sedang melukis pelangi cinta untuknya buat dia kelihatan seperti seorang seniman yang mencari ilham untuk lakon layar barunya. Seniman itu sedang mengintai minda untuk meluah lukisan hati dari lubuk yang paling dalam. Seperti seorang Ramlee menantikan Ros pulang, dia sedang menyusun cebisan bahagia dalam kotak jiwanya.


Langit mulai mendung dan awan bergerak perlahan. Ini alamat hendak hujan, lalu dia berfikir - fikir mahu pulang atau mahu terus disirami dengan titis hujan. Untuk pulang adalah tidak jauh. Namun, untuk tidak dibasahi hujan, ia merugikan. Dia kemudian duduk di tepi sungai. Ada jambatan gantung yang penuh dengan dedaun menjalar. Besinya sudah berkarat tapi katanya masih mampu menampung seberat lori. Atau jentolak. Ada unduk ngadau pernah jadi taruhan - menolak sumpah, membuang sial.


"Kau tahu kan aku mahu terus belajar? Bertahun - tahun kita miskin. Aku nda mahu hidup begini"


Itu kata Si Wisim. Anak Bugis yang sedari dulu melakar pelangi dengannya. Kadangkala mengejar hujan. Dahulu.


"Kita kalau nda berpelajaran sampai mati nda ada yang peduli"


Katanya lagi. Dia ketawa sambil makan nasi lemak. Wisim bukan anak orang ternama tetapi mimpinya ke langit tinggi. Dia masih teringat kata - kata Wisim sebelum berangkat ke Tanah Malaya. Katanya - tunggu di sini. Aku yakin kejayaan membunuh kemiskinan. Lalu dia mengganguk dan biarkan Wisim pergi. Selalunya, dia menggeleng membangkang. Iyalah - kau, Wisim sudah diracun kejayaan dan pendidikan. Disogok laungan cogan pendidikan dan kejayaan adalah kekayaan. Lalu kau menjadi hamba menyembah Tuan untuk diberi pinjaman kasihan.


Dia biarkan bibir mengulum senyum.


"Wisim, Wisim. Aku sudah bilang, bukan pendidikan yang membunuh kemiskinan. Kemiskinan tak akan dibunuh dengan pendidikan"


"Lalu apa?"


Bibirnya mati dan lidah terkunci. Kalau bukan pendidikan membunuh kemiskinan, lalu apa? Kalau kejayaan bukan kekayaan, lalu apa? Kalau sahaja dia bisa bertutur Soekarno, sudah pasti Wisim masih di sini - mewarna pelangi.


Hujan masih renyai dan dia kesejukan. Dia fokuskan mata ke jambatan - jambatan gantung tempat dia dan Wisim selalu berkejaran. Ada seorang lelaki merenung ke sungai.


Renungannya tajam dan mendalam. Lelaki itu mungkin sedang memikirkan dunia yang semakin tak terjangkau. Atau sang kekasih yang menjauh. Atau mengukur nikmat Tuhan.


Atau, boleh saja pandangannya kosong sekosong jiwa yang berkecamuk. Boleh saja jiwanya berantakan.


Sama seperti hujan yang makin rancak membasahi bumi. Lelaki itu semakin rancak bermain emosi. Air sungai deras memanggil dan memaksanya untuk hanyut mengikut arus. Lelaki itu berikrar mengubah nasib sendiri lalu terbang dengan sayap yang patah. Lelaki itu menafikan syurga.


Dia - di tepi sungai sedang mengira rintik hujan yang semakin lebat.


"Kau seperti Wisim. Dibunuh pendidikan dengan pinjaman yang tak terlunaskan. Sudah kukatakan, bukan kemiskinan yang dibunuh pendidikan. Tapi kau - Kau dibunuh pendidikan"

42 views0 comments

Comments


bottom of page