Pasca Hari Wanita Sedunia menyaksikan ramai orang memberi komen-komen negatif terhadap perempuan-perempuan dan juga lelaki-lelaki yang berarak menyambut hari itu. Yang menariknya kenyataan negatif-negatif itu mencerminkan pemikiran sebenar sebahagian masyarakat tentang kedudukan perempuan di mata mereka. Kalau tahun lepas mereka mencemuh perarakan Women’s March itu adalah perarakan LGBT, tahun ini alasan mereka adalah perempuan menjadi kurang ajar kepada lelaki, suami dan ayah.
Kenapa itu? Hanya kerana perempuan dan lelaki yang berarak mahukan patriarki dihapuskan dan terhapus daripada muka bumi. Naahh itu dia, yang menjadi isu kepada masyarakat Malaysia yang konservatif ini adalah perempuan yang berarak dan menyuarakan pendapat mereka secara berjemaah apatah lagi untuk mencabar status quo patriarki. Aneh bukan patriarki mahu dibelai lagi, sedang itulah selama ini yang menindas perempuan seperti keganasan rumah tangga, budaya dan jenayah rogol, pembulian perempuan, dan ia juga turut menindas lelaki secara sistemik.
Tidak kira apa pun sebabnya, ia hanya sekadar sebuah alasan sahaja untuk mereka melenting kepada perempuan-perempuan yang bersuara. Di hari ini, bukan sahaja bebelan dan marah-marah yang diluahkan kepada perempuan bersuara, tetapi ada yang sampai tahap keganasan dan perlecehan terbuka dilakukan untuk menutup suara-suara perempuan yang berhimpun.
Di Pakistan, poster dikoyak-koyakkan dan demonstran dibaling kasut dan batu; di Afghanistan, sambutan Hari Wanita dilarang kerana ia tiada dalam Islam; di Turki, polis menembak gas pemedih mata kepada para demonstran; maka dengan sebab ini saya katakan Hari Wanita Sedunia adalah Hari Lelaki Triggered Sedunia.
Lalu kerana mereka triggered, maka dikeluarkan segala dalil Quran dan Hadith yang diinterpretasikan dengan sewenang-wenangnya untuk mengatakan perempuan tarafnya di bawah lelaki, perempuan wajib taat lelaki, perempuan syurganya di bawah tapak kaki suami; yang anehnya banyak lagi cara lain nak dapat syurga, tetapi bawah tapak kaki suami juga yang mahu dicari? Dan lagi satu perkara, Maryam, ibu Nabi Isa AS tidak berkahwin, tapak kaki suami mana yang dia nak cari syurga? Inilah antara doktrin utama konservatisme agama iaitu subordinasi perempuan atau dengan kata lain, penguasaan ke atas perempuan.
Perempuan yang paling solehah pada konservatif agama itu adalah perempuan yang kekal di kasur, sumur dan dapur serta taat mendengar kata. Anak-anak perempuan diasuh daripada kecil untuk menjadi isteri solehah. Cukup masa mereka telah pandai menguruskan semuanya dan akil baligh, dikahwinkan dan berkhidmat di ruang suami dan anak-anak. Nah, itulah kitaran perempuan solehah lagi syurgawi pada konservatif agama.
Maka, untuk melondehkan pembohongan golongan konservatif ini, mari kita telusuri apa yang Tuhan dan Nabi bicarakan tentang kedudukan perempuan dan tatacara perempuan melawan yang dibenarkan dalam Islam. Surah Al Taubah ayat 71 menyebut: “Orang-orang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah pembantu dan penolong (saling membantu) sebahagian yang lain.
” Diriwayatkan daripada ‘Aishah RA, Nabi SAW bersabda: “Perempuan itu adalah saudara kandung lelaki” (Riwayat Abu Daud, Al Tirmidzi, dan Imam Ahmad). Dua ayat ini jelas-jelas menunjukkan perempuan bukan sekali-kali kelas kedua di bawah lelaki, apatah lagi hamba abdi lelaki. Tuhan dan Nabi mengatakan keduanya di tempat yang sama dan setara sebagai rakan kongsi (partner) dan saudara yang punya hak kemanusiaan yang sama.
Surah Al Hujurat ayat 13 mengingatkan kita tujuan penciptaan lelaki dan perempuan di muka bumi. Firman Tuhan: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling takwa. Sesunggguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” Ya, lelaki dan perempuan, diciptakan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa adalah untuk saling mengenali antara satu sama lain, lalu menghasilkan kerukunan kemanusiaan.
Bukanlah perempuan diciptakan sekadar untuk melahirkan keturunan dan disimpan di kasur, sumur dan dapur semata, sebaliknya keduanya diciptakan sebagai khalifah untuk memakmurkan muka bumi dengan kebaikan dan kemaslahatan sekalian alam.
Konservatif agama gemar mendakyah perempuan solehah adalah perempuan taat kerana ayat Tuhan yang satu ini: “perempuan-perempuan solehah itu adalah perempuan yang taat...” (surah Al Nisa’: 34); tanpa mahu bercerita apa konteks ayat ini diturunkan. Lalu mereka melupakan atau buat-buat tidak nampak surah Al Mujadilah yang terang-terang maksudnya “Perempuan Yang Berdebat”. Ya, berdebat yang bermakna berbantah kata. Bukan dengan calang-calang orang, tetapi dengan Nabi SAW, lelaki teragung. Ironi bukan untuk perempuan taat tidak ada surah yang namanya Al Muti’ah, tetapi perempuan yang berbantah kata dengan Nabi diturunkan surah mengenang perbuatannya.
Perempuan yang bernama Khaulah binti Tha’labah, aduannya didengar Tuhan lalu kerananya amalan zhihar menjadi haram dan kifarahnya dipreskripsikan oleh Al Quran. Tuhan berfirman: “Allah telah mendengar kata-kata perempuan yang telah berdebat denganmu (Muhammad) tentang suaminya, lalu dia mengadu kepada Allah, dan Allah mendengar perbualan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Al- Mujadilah: 1)
Manusia pada zaman yang terbaik untuk dicontohi adalah zaman Nabi SAW kerana kedekatan para sahabat dan sahabiyah kepada Nabi dan mereka menjadi saksi hidup penurunan wahyu. Lalu sudah tentulah sahabiyah dan isteri-isteri Nabi adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh para perempuan-perempuan yang mengimpikan kebaikan dunia dan akhirat. Adakah ‘taat dan mendengar kata’ merupakan kriteria kesolehan mereka sebagaimana yang sering didakyahkan oleh golongan konservatif agama? Diriwayatkan oleh Al Qasim daripada ‘Aishah RA, beliau berkata: “Amat buruk perilaku kamu sekalian (lelaki-lelaki) menyamakan kami dengan anjing dan keldai. Sesungguhnya aku mengalami sendiri dan melihat Nabi SAW solat ketika aku baring terlentang membatasinya dengan kiblat. Apabila dia hendak sujud, dia akan memberi isyarat kepadaku, lalu aku tarik kakiku keduanya (supaya dia boleh sujud).” (Riwayat Bukhari, Abu Daud, Al Nasa’i dan Imam Ahmad).
Ini adalah bantahan ‘Aishah kepada lelaki-lelaki yang berani-berani mencela dan merendahkan perempuan. Lalu, validkah tindakan berdiam diri perempuan-perempuan ‘taat’ terhadap perlecehan lelaki ke atas perempuan dikira sebagai kebaktian di sisi Tuhan?
Diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA, Umar bin Al Khattab berkata: “Kami pada masa Jahiliyyah tidak peduli tentang perempuan sama sekali, sehinggalah Allah menurunkan ayat untuk mereka dan memberikan mereka hak-hak mereka. Ketika aku mempunyai satu pendapat tertentu, lalu isteriku tiba-tiba berkata, “Cubalah kau buat begini dan begitu”. Aku membalasnya, “Apa hakmu ikut campur dalam hal-hal urusanku, terserah pada aku untuk memutuskannya.” Dia menjawab, “Aneh sekali kamu ini wahai anak Al Khattab, tidak mahu menerima pendapat isteri, sedangkan anakmu biasa memberi pendapat kepada Rasulullah SAW dan mendebatinya sehingga pernah membuat Rasul sebal seharian”.
Umar langsung terus bergegas mengambil selendangnya dan masuk ke kamar Hafsah, lalu dia berkata, “Wahai anakku, kamu biasa berdebat dengan Rasulullah sampai dia sebal seharian?” Jawab Hafsah, “Demi Allah, kami selalu berdebat dengannya.”(Riwayat Bukhari dan Muslim). Jadi, yang mengatakan suami itu tidak boleh dibantah dan isteri wajib mentaatinya tanpa kompromi melainkan dalam hal maksiat itu apa alasannya? Sedang Nabi sendiri tidak bermasalah isteri-isterinya kuat mempertikai baginda, lagikan lelaki-lelaki yang jauh tarafnya bawah daripada Nabi bahkan ramai sahaja perangai bak ahli neraka ini semua yakin diri mereka dimandati Tuhan untuk ditaati oleh isteri-isteri sepenuhnya; apakah tidak malu untuk mengatakan ketaatan total isteri adalah arahan Tuhan?
Taat total kepada wali juga adalah doktrin konservatif agama tentang perempuan. Nah, kita lihat contoh akhir apakah benar bapa sebagai wali paling autoritatif ke atas anak perempuan benar-benar ada autoriti tanpa batas. Diriwayatkan daripada Abu Buraidah, daripada bapanya, dia berkata: Telah datang seorang perempuan muda kepada Nabi SAW, lalu dia berkata, “Bapaku telah mengahwinkan aku dengan anak saudaranya untuk menaikkan taraf kedudukannya melalui diriku.” Kemudian Nabi meletakkan keputusan akhir di tangan perempuan itu. Tetapi perempuan itu berkata, “Ya Rasulullah, aku redha dengan apa yang bapaku lakukan, tetapi aku mahu perempuan-perempuan tahu bahawa bapa tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan dalam hal ini (perkahwinan mereka).” (Riwayat Ibn Majah dan Al Nasa’i).
Jelas sekali, konsep memaksa-maksa dan paksa rela dalam urusan perkahwinan anak perempuan adalah hal yang terlarang secara jelas dalam agama. Tetapi mengapa perempuan ini sanggup menyusahkan diri mengadukan perihal bapanya kepada Nabi?
Sudah tentu kerana dia faham dinamik kuasa antara anak perempuan dengan bapanya. Sungguhpun berkali-kali Nabi menyatakan dalam hadith-hadith yang lain tidak boleh mengahwinkan anak perempuan tanpa izin dan redhanya, masih terjadi lagi pemaksaan wali dalam urusan pernikahan mereka. Ini kerana bapa-bapa merasakan diri mereka berkuasa penuh ke atas anak perempuan di bawah jagaan merekalah yang menyebabkan perangai memaksa-maksa dan mengarah-arah itu tidak surut-surut; dan anak-anak perempuan pula tidak berani untuk menyanggah kata bapa mereka, dan dituruti sahaja seadanya. Lalu kerana itu, pengaduannya dilakukan hanya semata-mata bertujuan untuk menegaskan kepada perempuan-perempuan di luar sana bahawa mereka punya autonomi penuh dalam hal perkahwinan mereka, dan wali dan bapa hanya sekadar pemudahcara urusan perkahwinan, bukan pembuat keputusan.
Dengan kata lain, dia menyeru perempuan-perempuan ini untuk berani berkata tidak kepada orang yang mempunyai autoriti paling tinggi dalam rumah, iaitu bapa.
Tetapi yang menjadi ratiban masyarakat kita siang dan malam dalam hal mengahwinkan anak perempuan adalah bapa boleh memaksa anak perempuannya berkahwin sekiranya dia memandang perkahwinan tersebut mendatangkan kebaikan buat anaknya. Hadith di atas jelas menunjukkan hanya anak perempuan yang berhak menentukan sama ada dia mahu berkahwin atau tidak, bukan berdasarkan kebaikan masa depan yang ditimbang tara oleh wali. Mungkin sebahagian daripada kita canggung mendengar tentang ini lalu akan tertanya-tanya masih adakah perempuan yang dipaksa berkahwin oleh ibu bapa di zaman moden ini.
Cubalah mendengar cerita perempuan-perempuan di luar sana, pasti akan mendengar macam-macam cerita kahwin paksa. Ini bukan masalah zaman kuno sahaja, tetapi ia masih berlaku sehingga ke hari ini. Yang kita tidak boleh pandang sipi di sini juga adalah bagaimana perempuan ini menyanggahi bapanya di hadapan Nabi SAW; yang kalau mengikut standard kita semua, ini ialah perbuatan anak kurang ajar. Tetapi perbuatan perempuan ini sedikitpun tidak dinerakakan oleh Nabi SAW apatah lagi disuruh redha dan menyerah sahaja kepada keputusan bapanya. Amat berbeza sekali dengan perilaku golongan konservatif pada hari ini.
Kesimpulannya, berhentilah daripada mengawal perilaku perempuan sebaliknya kawallah perilaku diri sendiri apabila berhadapan dengan perempuan, kerana ia adalah tanda kesempurnaan iman. Sabda Nabi SAW: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan yang terbaik dari kalangan kalian adalah yang paling baik kepada perempuan-perempuan mereka.” (Riwayat Al Tirmidzi). Apabila perempuan bersuara tentang hak dan kemaslahatan hidup mereka, ikutilah contoh Nabi SAW, mendengar, memahami dan tidak menyuruh mereka diam serta redha dengan keadaan mereka. Selamat Hari Wanita Sedunia dan selamat kepada perempuan-perempuan melawan!
Comments