top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

SALAHKAH MASJID TANPA QURAN

Oleh Huda Ramli.




JAM sudah menunjukkan pukul 5.20 pagi. Aku cuba untuk tidur semula kerana badan masih keletihan akibat kekurangan tidur pada malam sebelumnya. Sementara subuh belum menjelang, aku mahu tidur kembali agar badan bertambah rehat. Dalam cubaan panjang melenakan diri dan memaksa mata memejam rapat, suara bacaan Quran dari masjid berhampiran tiba-tiba kedengan mematikan lena aku. Bacaannya sungguh jelas kedengaran sedangkan jarak rumah dan masjid agak jauh. Lalu aku terfikir akan rumah-rumah yang berhampiran dengan masjid, sudah pasti ia lebih kuat dan tidur mereka lebih terganggu daripada aku. Aku mahu tidur, tetapi tidak dapat tidak, otak aku masih ligat memproses segala perkara yang berkaitan dengan bunyi itu sehingga pagi menjelang.


Jujurnya aku tidak setuju, bahkan bengang dengan alunan Quran yang kuat itu, kerana aku mahu tidur, dan agama melarang mengganggu orang dan menyakiti orang walaupun dengan Quran. Sabda Nabi SAW berkenaan dengan larangan menguatkan suara bacaan Quran dalam masjid, diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al Khudri:


‘Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir' dan bersabda: 'Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat’ (Riwayat Abu Daud).


Bukan sedikit ulama yang melarang membaca Quran dengan kuat dalam masjid, dan ia diperpanjang kepada hukum pembesar suara yang melaungkan alunan bacaan Quran. Larangan dan menjatuhkan hukum makruh membaca kuat semuanya berasas dengan poin ‘mengganggu’. Di sinilah yang menjadi titik persoalannya sekarang. Rata-rata yang menolak larangan ini menganggap bacaan Quran ini tidak mengganggu. Mungkin kerana ia kalam Tuhan, atas sebab itu ramai orang tidak atau tidak berani merasakan kalam Tuhan itu mengganggu. Seolah-olah apabila mengatakan kalam Tuhan itu mengganggu, kita mencela Tuhan. Terasa berdosa untuk menolak mendengar bacaan Quran dan ketakutan bakal dicela membenci Quran dek kerana hati itu sebenarnya keras dan hitam penuh dosa sehingga tidak mahu mendengar bacaan Quran. Mana mungkin larangan membaca Quran dengan kuat boleh difahami oleh masyarakat yang berfikiran sebegini.


Seperkara lagi yang aku kira ulama-ulama yang memberi fatwa terlepas pandang adalah bahawa masjid itu sinonimnya adalah syiar Islam dan keIslaman. Tanda keIslaman yang paling jelas pada mata masyarakat adalah bacaan Quran. Nah, kalau bacaan Quran tidak boleh dialunkan oleh pembesar suara masjid, sudah tentu mereka bingung. Seolah-olah keIslaman masjid itu hilang dan tiada maknalah masjid itu masjid kerana kemasjidan masjid telah tidak ada apabila bacaan Quran tidak berkumandang lagi daripada corong pembesar suara masjid. Perbuatan ‘mencabut’ keIslaman masjid sudah pasti akan menimbulkan satu macam kekagetan sosial atau ‘anxiety’ kepada masyarakat muslim. Lagi haru apabila identiti agama juga dianggap sebahagian daripada identiti kaum seperti Melayu. Mencabut keIslaman bermakna agenda menghapus agama dan kemelayuan, dan mengangkat agenda kaum lain.


Itulah betapa kompleks hal sekecil bacaan Quran yang dipasang pada pembesar suara masjid. Aku sesekali tidak bersetuju untuk berkompromi tentang perbuatan mengganggu dengan bacaan Quran kerana aku tahu Quran juga ‘memaksa’ penganutnya untuk memberi perhatian apabila mendengar Quran dibacakan. ِFirman Allah:


“Jika dibacakan Al Quran, maka dengarlah (dengan perhatian) kepadanya dan hendaklah kamu diam, semoga kalian beroleh rahmat.” (Al A’raaf: 204).


Mana mungkin orang boleh memberi perhatian dengan baik dan lapang dada melainkan dalam keadaan mereka mahu dan bersedia mendengar dan tidak sibuk dengan perkara-perkara lain. Itulah disiplin tegas yang Tuhan tetapkan apabila berhadapan dengan bacaan ayat-ayatnya. Justeru memaksa-maksa orang mendengar jelas sekali akan menggagalkan tujuan yang dikehendaki oleh prasyarat-prasyarat di atas yang digariskan Quran sendiri apabila berhadapan dengan ayat-ayatnya.


Belum lagi mengambil kira akibat paksa-memaksa ini akan menyebabkan kebencian terhadap Quran dalam diri orang yang memang terasa terganggu dan diganggu dengan bacaan Quran yang kuat itu. Lantas, ia memburukkan agama yang sebenarnya cukup menjaga maslahat kemanusiaan dan tidak sesekali membenarkan sesiapa disakiti walau dengan kalam Tuhan sendiri. Tapi sekali lagi, kerana faktor psyche yang telah dinyatakan di atas, mana mungkin masyarakat akan berfikir sejauh itu. Bagi mereka, kalau Quran itu dibenci, salah orang yang membenci, bukan orang yang membaca Quran kerana membaca Quran itu tidak mungkin berdosa walau apapun keadaannya.


Lalu, fatwa yang melarang bacaan Quran dengan kuat ini dapat dilihat seringkali dicemuh atau tidak dipedulikan. Hal sebegini bukanlah satu kepelikan, kerana seringkali fatwa-fatwa berdasarkan dalil yang kuat dan sahih dan membawa manfaat lebih besar gagal disebarluaskan dan diterima oleh masyarakat yang kuat keIslamannya hanya kerana ‘psyche’ masyarakat. Aku dalam hal ini tidak menyalahkan masyarakat tetapi aku kira dalam menyampaikan fatwa-fatwa progresif dan memberi kebaikan kepada masyarakat terbanyak, memerlukan kebijakan pemfatwa untuk mengkomunikasikan fatwa itu. Tidak cukup hanya sekadar mengatakan halal haram dan bersenjatakan dalil semata-mata. Pemfatwa perlu sentiasa memerhati psyche dan perilaku masyarakat supaya dapat membantunya untuk mengatur poin-poin fatwanya tanpa tertinggal faktor terkait dan menyusun strategi bahasanya supaya boleh membuatkan masyarakatnya menerima dengan lapang dada.

Namun, itulah masalah yang timbul sekali lagi. Mufti-mufti dan agamawan kita tidak merasakan ia satu masalah. Mungkin mereka juga fikir, kalau masyarakat yang tidak menerima, masyarakatlah yang salah dan bermasalah, bukan salah mereka. Aku akhirnya pasrah sahajalah masjid ‘membaca’ Quran dengan kuat, kerana nyatanya kejahilan memerlukan masa untuk disembuhkan.

85 views0 comments

Comments


bottom of page