top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

SAAT MEMELUK MORAL KEMANUSIAAN oleh Nur Hisyam.

MEMELUK kemanusiaan bererti untuk melepaskan hal-hal luaran, hal-hal bersifat kebendaan dan mengenepikan perbezaan daripada sudut kekayaan, kekuasaan mahupun keagamaan mahupun perkauman. Berjalan bersama-sama kemanusiaan dalam ranah kehidupan memerlukan sinergi antara simpati dan empati yang berpaksikan kompas moral yang merentas segala batas kebendaan dan keduniaan. Kemanusiaan bukan sekadar milik individu atau sesuatu kelompok dan bukan pula milik orang miskin dan ranah yang terlarang untuk orang kaya. Kemanusiaan harus dimiliki dan diberi kepada semua manusia, tidak kira proletariat mahupun borjuis, agamawan atau sekularis mahupun ateis.


Kemanusiaan adalah satu hasil penawaran daripada timbang tara moral terhadap sesuatu aksi atau situasi. Hal inilah, boleh dikaitkan bahawa kemanusiaan hanya lahir daripada pegangan moral yang utuh tanpa kompromi dan prejudis.


Mengapa isu ini timbul? Hal ini melihatkan wujud segelintir yang kecelaruan akan makna dan pembawakan moralnya bermain-main dengan nama kemanusiaan itu sendiri. Kemanusiaan yang bersifat untuk semua dimanipulasi menjadi milik segelintir pihak sahaja.


Sebagai contoh apabila kelompok ini membanding bezakan kemaafan yang diberikan kepada Vivy kerana titisan air mata dalam videonya adalah tidak adil apabila tidak ada kemaafan diberikan kepada seorang wanita yang didenda RM10, 000 kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak polis.


Isunya adalah 2 kes ini secara hakikatnya berbeza. Untuk memandang soal 2 kes ini tidak adil kiranya pertimbangan diambil semata-mata melibatkan status kaya atau miskin tetapi harus dinilai kepada kesan secara keseluruhan. Kita mempunyai undang-undang untuk menghukum mereka yang bersalah, maka dengan undang-undang kita menghukum demi menegakkan keadilam dalam nejaga ketenteraman awam tak kira dalam bentuk pengajaran atau hukuman. Manakala dalam isu Vivy, soalnya adalah beliau tidak terlibat dalam masalah jenayah di ruang lingkup publik yang memerlukan campur tangan pihak berkuasa. Seandainya kemaafan diberi publik sendiri, siapa kita untuk menafikan walaupun airmata itu sekadar drama dan sandiwara. Andainya, kita mahu menuntut keadilan, carilah jalan dan solusi yang tepat untuk menghukum beliau dan jika ingin membela wanita yang didenda itu, carilah jalan solusi untuk membantu beliau juga. Memarakkan api ketika ketenteraman dan kepatuhan itu satu keperluan adalah satu tindakan yang tidak wajar. Apa perlu kemanusiaan itu dipergunakan untuk sentimen tidak seberapa ini?


Melihat situasi ini, maka mahu tidak mahu kita perlu menyemak di mana silapnya arah kompas moral kita selama ini. Jika tidak, apa saja makna kemanusiaan yang kita kibarkan kalau yang disuruh tenggelam, yang menyuruh pun tenggelam. Maka timbul satu tanda tanya, apa yang menjadi racun dalam moral ini sendiri sehingga ia menjadi barah kepada kemanusiaan. Jawabnya:


1) KEBERPIHAKAN KEPADA STATUS QUO

Sejarah sering kali membuktikan wujud sahaja keberpihakan kepada status quo. Sebagai contoh, bagaimana kita memandang sejarah perjalanan raja-raja di dalam Sulalatus Salatin. Walaupun jika dilihat betapa banyak kerosakan moral di dalam hikayat tersebut, namun ia tidak dipandang kerana pelakunya adalah golongan raja, golongan pembesar mahupun hero dalam sejarah Melayu. Bila berlaku musibah, kecelakaan atau malapetaka menimpa mereka maka diberikan pula rasa simpati dan empati kepada mereka sedangkan jika ditelusuri, itulah sebaik-baik pembalasan untuk setiap kezaliman yang mereka lakukan.


Hal yang kedua pula, apabila nilai kemanusiaan itu hanya diberikan kepada orang yang lemah, miskin dan tertindas. Kelompok ini sahaja layak menerima pengadilam moral yang adil dan kemanusiaan yang mendamaikan. Yang kaya, yang berkuasa dan yang mempunyai status tinggi hanya perlu diadili dengan rasa benci dan amarah yang membakar. Buktinya, itulah yang berlaku di Indonesia ketika berlaku tragedi pembantaian bukan sekali dua, tetapi berkali-kali yang berubah-rubah mangsanya, baik sahaja dulu keluarga raja kemudian orang-orang berada sehinggalah orang yang mempunyai kekuasaan selepas pembantaian yang sebelum-sebelumnya.


Hal ini seolah-olah moral itu berwajah-wajah. Ada milik orang miskin tertindas atau milik orang kaya yang terluka. Moral itu bukan seperti syiling dengan dua sisi berbeza sebaliknya ia ibarat bintang di malam gelap yang mendamaikan jiwa yang memandang, ia menjadi kompas kemanusiaan tak kira di mana kita berada sama ada di hutan yang penuh ranjau duri mahupun dilautan yang seringkali hadir dengan ombak yang melambung tinggi. Ia masih tidak berubah, masih tetap sama dan tidak akan berganjak untuk dijadikan renungan, teladan dan petunjuk kepada semua umat manusia tidak kira status quo. Seandainya ia berubah-rubah ketahuilah itulah tanda korupsi sudah membadai nilai moral kita.


2) MORAL DALAM NERACA SIMBOL BUKAN PENGISIAN

Masalah yang sering terjadi terutama di tanah air kita adalah apabila timbang tara moral dan penawaran rasa kemanusiaan itu berbelah bagi atas faktor identiti dan latar belakang individu. Setiap perilaku diadili dengan simbol yang dibawa pelaku bukan pula dampak salah laku mahupun pula bersifat memadamkan titik duka dalam kehidupan para manusia dalam kemajmukan di Malaysia.


Isu pertama, apabila setiap salah laku diadili melalui simbol perkaumaan dan agama yang terpampang melalui nama. Kerap kali terjadi berita kematian akibat kelalaian pemandu yang meragut nyawa. Soalnya, yang timbul adalah perihal kaum. Ini semua salah kaum itu sedangkan masalah yang harus diselesaikan adalah mengapa ia boleh terjadi begitu. Apabila semua ini terjadi, ia hadir dengan naratif perkauman yang dibuat-buat tanpa sebarang analisis apa yang berlaku sebenarnya.


Isu kedua, apabila cahaya kedamaian dan ketenangan kemanusiaan itu dipandu moral berasaskan kaum dan agama. Pemberian kebajikan berlaku atas nama kaum dan agama. Seolah-olah berlaku pemisahan dalam negara yang katanya mengejar perpaduan dan identiti bangsa Malaysia. Apa mampu semua ini dicapai seandainya kebajikan pun ditawarkan mengikut identiti kaum dan agama bukan pula melihat kapasiti mereka memerlukan bantuan semasa.


Sedar atau tidak, konsep kemanusiaan itu dipandu moral berasaskan simbol bukan pula pengisiaannya yang dibawa oleh agama mahupun ajaran sesuatu kaum. Apa ada mana-mana ajaran kaum mahupun agama tertentu menafikan keadilan harus diberikan dalam ruang publik masyarakat di Malaysia. Apa ada yang menolak hanya kita sahaja perlu dibantu dengan ihsan kemanusiaan dan orang lain perlu sabar menanti kemanusiaan datang daripada kaum dan agama mereka sendiri?


Islam sendiri tidak mengajar hal sedemikian. Islam tidak membezakan sesiapa pun. Kemanusiaan dan nilai moral sangat terserlah dalam Islam sendiri. Buktinya, firman Allah dalam Al-Quran;

“Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu.” (QS, al-Hasyr [59] :7)


Islam meletakkan kekayaan tidak sekadar berpusat pada orang kaya bahkan tidak pernah meletakkan keadilan dan kemanusiaan perlu berlegar antara orang sahaja. Tidak wujud keberpihakan dalam kelas kaum mahupun agama, apa yang ada adalah kesejahteraan bersama yang hadir dalam penawaran Islam Rahmatan lil Alamin.


Maka, moral yang dipandu atas nama dan simbol disebalik kaum dan agama tidak lebih kurang hanya kemanusiaan dangkal yang diperjuangkan hasil kebejatan manusia yang sama sekali gagal memeluk kemanusiaan. Hasilnya, apa yang diwawarkan mereka hanyalah ilusi atas kekecewaan sendiri.


Maka yang timbul adalah tanda tanya, mengapa kemanusiaan dan pengadilan moral ini boleh berlaku sedemikian rupa, mengapa ia terbahagi dengan keberpihakan status quo dan atas faktor simbolik? Jawabnya kerana ego yang berdiri, tidak mahu jatuh. Ego kelompok superior yang merasakan dirinya juga inferior. Yang merasakan berhak menerima kebahagiaan dan ketenangan dan hanya mereka yang layak menentukan siapa berhak merima dan merasakan. Mereka inilah insan terluka yang perlukan perhatian. Perlawanan mereka hanyalah hasil kesakitan mereka yang lama baik kerana beban emosi atau beban sejarah.


Namun ketahuilah, kemanusiaan itu milik semua. Bukan berharap nanti lahir seorang Umar al-Khattab versi moden yang akan berbicara, “Aku orang pertama yang merasa lapar kalau rakyat kelaparan dan orang terakhir merasa kenyang kalau mereka kenyang.” Tetapi cukuplah memanusiakan makna kemanusiaan itu bukan mewujudkan keberpihakan. Nescaya itu, dapat saja kita menanam lebih banyak senyuman di wajah-wajah semua insan.

----

Nota: Artikel ini telah memenangi Tempat Kedua dalam Pertandingan Menulis Artikel Jurnal Sang Pemula.

7 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page