top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

REVOLUSI ORANG-ORANG BEBAL Oleh : W.N Khuzairey

Perkataan revolusi merupakan antara kosa kata yang seksi dan mengiurkan terutama bagi anak muda. Mana tidaknya ia merupakan satu pemberontakan, perlawanan dan resistensi bagi menegakan hak dan melawan kezaliman.


Lihat sahaja filem dan buku yang pangkal perkataanya terkandung kata “revolusi” pastinya akan ditonton juga dibaca. Malah ia menjadi satu produk yang laris di pasaran.


Namakan saja siri-siri revolusi besar semisal revolusi Peranchis, Rusia, Cuba, Iran malah China pasti buat orang tak senang duduk bila mendengarkannya.


Nama-nama besar yang disebut semisal Che Guevera, Fidel Castro, Mao Zedong, Ali Shariati, Lenin, Stalin, John Locke, Liang Qincao semua tokoh ini antara yang dicari bagi dibedah idea-idea mereka.


Kekaguman pada kekata revolusi bukan hanya sekadar pada sifat berani mereka semata kerana sudah tentu sifat berani hadir dengan akal yang terang.


Kekaguman itu lahir kerana ada manusia-manusia yang peka terhadap persekitaran mereka, mahu memperbetulkan keadaan, melawan segala kerosakan, kezaliman dan ketidakadilan. Sebab itu tokoh-tokoh itu dijadikan contoh.


Tapi barang diingat revolusi juga boleh berlaku dalam keadaan sebaliknya. Sudah tentu revolusi itu membawa maksud menjatuhkan yang lama dan menaikan yang baru.


Maka, boleh jadi revolusi itu berlaku dalam proses songsang dimana yang dinaikan itu idea bebal, yang dijatuhkan pula kearifan dan budiman.


Jadi sekarang ini adakah kita berada dalam fasa revolusi orang bebal?


Kerana apa?


Kerana ada kecenderungan sebahagian dari kita malah elit juga yang menyongkong perpecahan, rasisme, fasisme, feudalisme, ekstrimisme agama, korupsi, nepotisme, pecah amanah, mengkhianati demokrasi, menoreh alam, tidak menghargai nyawa manusia, undang-undang yang dijual beli, salah guna kuasa, pandangan kolot, politikus samseng, patriaki, ketidakadilan ekonomi, ketamakan, yang sepatutnya tiada langsung dalam kamus kehidupan manusia.


Malah watak-watak yang membawa idea-idea kerosakan dan pandir pula disanjung tinggi setinggi langit ketujuh. Watak ini jelas memperlihatkan ciri-ciri (a) tidak mampu kenali masalah, (b) tak mampu selesaikan masalah yang diberitahu, (c) tidak mampu pelajari apa yang diperlukan, (d) tak mampu pelajari seni belajar, (d) biasanya dia tidak mengakui kepandirannya.


Kesan manusia pandir ini membawa kepada idea bebal (seperti yang disebutkan tadi) tanpa disedari bahawa di mana orang-orang bebal berkuasa, maka nilai-nilai merekalah yang menjadi nilai-nilai masyarakat, kesedaran mereka menjadi kesedaran masyarakat. Ia seperti revolusi yang mahu menegakan idea dehumanisasi.


Sebelum itu kita harus mengerti benar apa yang dimaksudkan dengan bebal itu. Ia bukan satu ideologi yang dikhaskan untuk sesuatu masalah, kerana sifat bebal ini boleh muncul seiring dengan ideologi, ekonomi, perundangan, politik, norma masyarakat dan tatanan kepimpinan juga sistem kepercayaan agama


Buku tulisan almarhum Syed Hussien Alatas “Intelektual masyarakat membangun” pantas dibaca juga diramas setiap muka suratnya berulang kali kerana beliau antara inteligensia Melayu yang menghuraikan permasalahan ini dengan begitu teliti.


Beliau antara pemikir yang bimbang dan gusar sekiranya revolusi orang-orang bebal benar-benar berlaku lalu mengambil tempat dalam idea pembentukan negara juga masyarakat.


Bebal dalam erti bahasa Melayu bermaksud bodoh malas dan keras kepala, bebalisme pula membawa maksud dalam konteks yang lebih besar iaitu lesu dalam berfikir, tidak berfikir, tak pakai logik, kasar, estetik hancur, tak ilmiah, tak suka mengawas diri, tanpa arah, pasif dan ideanya sepotong-sepotong.


Seorang bebalisme merasakan diri memiliki kekuatan lalu mempengaruhi masyarakat sehingga membangkitkan sentimen rasa takut, keganasan, pemujaan dan segala yang buruk.


Setidaknya ada tiga ciri utama idea manusia bebal itu supaya dapat kita mengenalpasti gejalanya.


1. Tidak mempunyai kecintaan pada hujah tertib serta tidak beri penghargaan kepadanya. Misalnya ketika menyinggung hal-hal kemiskinan. Kerap kali hujah alasan kemiskinan itu kerana takdir ataupun karena malas.


Mereka seperti tidak punyai petunjuk ilmiah untuk dikaitkan dengan masalah itu dan pandangan itu diujarkan tanpa melihat faktor sosiologi, sejarah, psikologi seluruh masyarakat juga pada kelemahan polisi dan agihan ekonomi, begitu juga dengan pekerjaan, kesihatan dan pendidikan.


Begitu juga dengan masalah kaum. Katanya ekonomi mundur disebabkan oleh pengawalan oleh sesuatu kaum jadi yang harus dilawan kaum itu sendiri.


Hairan mereka langsung tidak menyentuh soal ideologi ekonomi, apatah lagi menyusunya secara struktural dan sistematik. Alih-alih keputusannya hanyalah menyalahkan kaum. Inilah yang digelar sebagai racial reasoning oleh Cornell West.


Padahal kemiskinan merentasi semua kaum. Kelompok pandir dan idea bebalnya tidak mempunyai kemampuan untuk menilai masalah secara kontekstual, mendalam dan berterusan.


2. Tidak menghargai ilmu pengetahuan dan pandangan ilmiah. Mungkin sahaja mereka banyak membaca karya-karya ilmiah hasilan universiti. Namun ketika berhadapan masalah juga konflik ilmu pengatahuan, maka terlihat unsur bebal dalam diri.


Misalnya sebuah negeri mengalami masalah bekalan air yang teruk, namun pemimpinya dengan tenang mengatakan minum air itu yang dapat menjadikan dirinya seorang pemimpin. Kajian saintifik apa yang dimaksudkan?Sepatutnya yang diselesaikan itu punca masalah bukan alasan.


Satu hal lagi ada kelompok yang percaya bahawa wanita tidak bisa menjadi pemimpin kerana menurut kelompok itu wanita akan mengalami menstruasi setiap bulan seterusnya akan menjejaskan emosinya seterusnya menjejaskan kepimpinanya. Soalnya atas dasar apa idea itu dikeluarkan?


Jadi maksudnya mereka tidak mempercayai fikiran logis, empiris dan rasional, bebalisme mudah percaya hal-hal yang di luar batas.


3. Tidak adanya kehalusan pekerti. Pelaku bebalisme tidak merasa malu dengan kesalahan yang dilakukan serta tidak malu dengan kekurangan intelektualnya.


Bayangkan seorang pemimpin korup yang penuh dengan jenayah korupsi masih boleh bercanda tawa dengan orang ramai sambil menyebarkan dakyah “buat apa malu kalau rasuah”


Malah ada yang dituduh korup dengan wang jutaan ringgit sendiri boleh lepas dari pertuduhan tanpa ada resistensi.


Akhirnya jadikan masyarakat lemau lalu mernormalisasikan rasuah. Langsung tak punyai rasa malu apatah lagi segan dengan kesalahan yang dilakukan mentelah lagi berasa simpati kepada nasib si miskin akibat kesan rasuah mereka.


Begitu juga apabila sesebuah parlimen dikuasai oleh orang bebal, maka tingkat perbahasannya akan menurun tanpa seorang pun sedih dengan mutu perbincangan dan taraf estetiknya.


Bayangkan disaat banyak warga yang miskin melarat, hilang pekerjaan, sakit berpanjangan, di parlimen dengan tenang memelihara kuasa mereka dengan memaki satu sama lain. Juga berebut-rebut mahu melepaskan rakan-rakanya yang korup.


Jadi apa yang harus dilakukan untuk memcahkan dominasi atau kitaran bebal ini?


Sudah tentu ia memerlukan kelompok intelektual yang berfungsi. Intelektual disini bukanlah bermaksud seorang yang memegang gelaran profesor dengan ijazah dan Ph.d semata.


Sebaliknya orang yang kemampuan berfikirnya dimanfaatkan sepenuhnya dan memiliki pengetahuan yang cukup terhadap satu-satu perbahasan. Terutama sekali dalam membincangkan masalah masyarakat seperti kata Gramsci “intelektual organik.”


Edward Said pula merumuskan dalam bukunya Peran Intelektual. “intelektual sebagai individu yang dikurniakan bakat untuk merepresentasi dan mengatrikulasikan pesan, pandangan, sikap, atau filsafat kepada publik. Ketika menyampaikan idea, dia rasa bersemangat untuk menggugah rasa kritis orang lain. Dengan demikian orang akan berani menghadapi ortodoksi dogma serta tak mudah lagi dimanupulasi oleh pemerintah atau kuasa-kuasa yang lain”


Harapnya ia bisa muncul mungkin dalam kalangan elit, penguasa mahupun rakyat.

20 views
bottom of page