top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

Pupusnya buku di Tanah Merdeka

Oleh: W.N Khuzairey



KATA orang jauh perjalanan luas pemandangan. Maka dengan tenang saya menyahut seruan itu. Tiket pesawat ditempah pada tengah malam dingin dan lokasi yang dipilih adalah Jogjakarta. Perjalanan merentasi bumi indah indah masih segar dan pasti tak terlupakan. Ia umpama berada dalam sebuah realm yang berlainan dari bumi sendiri.


Kerana apa?


Kerana daerah itu subur dengan budaya intelektual. Malah difahamkan bahawa daerah ini merupakan daerah yang paling banyak menerbitkan bahan-bahan penulisan. Buku-bukunya sangat berkualiti dengan terbitnya pelbagai genre dari sejarah, agama, psikologi, sosiologi, seni namakan saja apa tema sekalipun pasti ada. Lebih kagum dan teruja pastinya apabila melihat buku-buku di sini bukan hanya bersifat teoritis tapi lebih banyak mengangkat isu masyarakat tertindas, lemah juga marjinal.


Setiap ceruk kawasan adanya kafe buku yang dipenuhi buku kebiasaan kafe ini untuk anak-anak muda duduk, berdiskusi, membaca mahupun menulis. Jika anda tersesat jalan, perkara pertama yang anda akan temukan sudah tentu toko buku malah toko buku terbesar mereka setinggi tiga tingkat.


Saya sempat bertemu beberapa dosen di UIN Kalijaga, disaat menghulurkan buku penulisan sendiri mereka dengan tenang menjawab,


“Maaf ya mas, buku saya ketinggalan di Jakarta. Ngak bisa diberi”.


Rata-rata dosen yang baru mendaftarkan diri untuk jawatan itu telah menulis sekurang-kurangnya satu buku. Mereka tidak beralasan atau berbasa basi kerana mereka tahu mereka bakal memimpin semangat intelektual pelajar mahu tidak mahu mereka perlu menulis. Apalah gunanya berbincang ilmu setinggi gunung jika tidak menulis? tidak apa yang boleh dibuktikan nanti. Jika tidak ilmunya roboh seperti robohnya kota Melaka yang tandus penulisan.


Budaya wacana mereka juga subur, setiap minggu ada sahaja forum, wacana ataupun bengkel untuk mahasiswa mereka memperkembang dan memperkemas budaya ilmu. Wacana yang dihidang bukan sebarang tajuk dan bukan juga soal isu-isu cemeh yang kiri, yang radikal, yang progressif semua disajikan agar idea-idea itu didebatkan dan difahami.


Berpijak di bumi sendiri


Sekembalinya pulang ke tanah kelahiran sendiri, dengan penuh keterujaan, kunjungan dilakukan di kedai-kedai buku tempatan. Berhawa dingin dan tersusun rapi kesemuanya. Ada pengawal yang menjaga pintu masuk. Berbaju rapi dan segak. Tanpa berlengah kaki terus dilangkah ke ruangan buku-buku tempatan, yang mengejutkan saya genre buku yang popular dan yang menerima sambutan itu adalah genre-genre teori konspirasi. Boleh dikatakan satu rak yang tersusun dari atas kebawah semua menceritakan perihal konspirasi. Dari seorang manusia yang bergelar ustaz sehinggalah yang bergelar sarjana mereka asyik menulis soal-soal freemanson, iluminati, segi tiga bermuda, Rothschild yang kesudahannya tidak kemana.


Tema-tema seperti ini amatlah payah ditemukan ketika di Jogjakarta. Mereka tidak ambil pusing soal konspirasi kerana mereka sedar wacana ini tidak boleh dibawa kemana malah hanya akan meninggalkan kesan psikologi 'takut tak tentu pasal' atau 'merendah diri tak tentu pasal' juga 'kita tak perlukan perubahan dan pembangunan kerana dunia akan berakhir tidak lama lagi', diakhirnya cuma mewujudkan kelompok yang hanya duduk di kedai-kedai kopi sambil mengungkap 'ini semua konspirasi' apabila melihat keadaan masyarakatnya yang ditindas, miskin dan melarat tanpa ada alternatif mahupun usaha bagi membantu mereka keluar dari masalah kehidupan.


Satu hal yang lebih teruk, jika kita ke kawasan yang jauh dari pusat bandar semisal Kuala Lumpur, amatlah payah kita temukan kedai yang menjual buku. Jika tersesat jalan, yang kita temukan mungkin gerai goreng pisang atau keropok lekor. Dari padang rumput berubah menjadi padang tandus. Di Johor Bahru sendiri boleh dihitung dengan jari kedai-kedai buku yang didirikan dan bertahan. Ada papan tanda yang menulis 'kedai buku' tapi isinya menjual alat tulis, jamu dan sebagainya. Ini jelas membuktikan bahawa budaya membaca bukan budaya kita. Kita sudah tewas dengan Jogjakarta, malah lemas dibawa hanyut hendonisme.


Elit di negara kita tidak pernah serius membangunkan budaya intelektual, mereka lebih gemar dengan budaya koleksi kereta, rumah, perabot, pakaian, beg tangan sehingga terlupa menggerakkan budaya yang mencelikan budaya masyarakat iaitu buku. Bagaimana pula dengan akademia kita? Adakah bercambah sebagaimana Indonesia? Sudah adakah nama sebesar Mansour Fakih, Goenawan Muhammad, Mohammad Sobary, Seno Gumira Adjidarma yang bergelumang dengan isu masyarakat dalam zaman milenial ini? Jika tiada dimana silapnya? Atau soalan paling besar dimana mereka? Dimana penulisan mereka? Satu hal yang saya dapat lihat, kita sendiri tidak mengenali tokoh-tokoh serantau kita. Malaysia tidak kenal tokoh Indonesia, Singapura, Filipina begitu juga dengan mereka. Apa tembok yang menghalang dari kita mengenal satu sama lain? Berbincang mengenai idea mereka? Cukup menghairankan.


Kita juga tiada ruangan khas untuk anak muda berdiskusi, menulis dan membaca. Anak muda perlu bergelut mencari tempat. Perpustakaan juga tidak memainkan peranan, hanya wujud sekadar ada. Ada anak muda yang aktif tapi tiada ruangan khas. Akhirnya mereka terpaksa melupakan hajat mereka. Tidak menulis, tidak berdiskusi sesama kerana tiada tempat berkumpul yang sesuai. Akhirnya wacana kritikal anak muda sepi dan lebih parah dan barah, matilah juga sebuah buku seperti matinya daun semalu dipijak-pijak manusia.


Kesimpulan


Begitulah budaya yang saya tidak temukan sepanjang saya belajar di Malaysia. Kita mungkin terkesima dengan dasar pandang ke timur melihat kemajuan teknologi di Jepun ataupun korea. Tapi tak salah untuk kita mengintai sedikit budaya negara jiran kita supaya kita tidak ketinggalan. Paling penting sudah tiba masanya elit berfungsi, membangunkan budaya ini kerana elit yang bercitarasa tinggi akan lahirkan masyarakat yang bercita rasa tinggi dan ini sudah dibuktikan di bumi Indonesia. Kita harus berjuang supaya buku tidak pupus di tanah merdeka kita.

66 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page