top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

PROSES PENGADILAN YANG MEMANGKIN KORUPSI Oleh Syazwani. M

Malaysia telah dikejutkan dengan satu berita tergempar bahawa Musa Aman, bekas Ketua Menteri Sabah telah terlepas dari dibicarakan oleh mahkamah dan semua pertuduhan-pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram atas beliau digugurkan dan dilepaskan selama-lamanya seperti daun-daun keguguran jatuh ke tanah.

Namun begitu, berita seperti ini tidaklah begitu mengejutkan sebenarnya di Malaysia kerana sudah banyak kes rasuah yang terlepas untuk dibicarakan, atau ketidak dapat dibuktikan atas bukti-bukti yang tidak mencukupi atau mungkin juga kerana sistem pengadilan itu sendiri yang korup?

Menurut Dr. Mansur Syemma dalam bukunya yang bertajuk Negara dan Korupsi, beliau ada membincangkan asal-usul korupsi di mana beliau menerangkan tentang pengertian korupsi. Menurut beliau, korupsi adalah fenomena penyimpangan dalam kehidupan sosial, budaya, kemasyarakatan dan kenegaraan.

Beliau juga ada memetik pemikir-pemikir besar yang membicarakan soal korupsi. Contohnya Alatas mengatakan bahawa esensi korupsi adalah sebagai pencurian melalui penipuan dalam situasi mengkhianati kepercayaan. Beliau juga memetik pengertian dari Bank Dunia dimana definisi korupsi itu lebih terbatas iaitu pemanfaatan kekuasaan untuk mendapat keuntungan.

Selain itu beliau juga menyebut bahawa Didin Hafidhuddin ada menerangkan korupsi dari sudut pandangan Islam iaitu ia adalah termasuk perbuatan fasad atau perbuatan merosak tatanan kehidupan. Pelakunya dikategorikan sebagai melakukan jenayah besar. Dr. Mansur menerangkan lagi bahawa dalam konteks ajaran Islam yang lebih luas, korupsi adalah apa-apa yang bertentang dengan konsep keadilan (al-adalah), akauntabiliti (al-amanah) dan tanggungjawab.

Menurut definisi dari pandangan Islam tadi, korupsi disamakan dengan perbuatan yang fasad. Fasad adalah perkataan yang berasal dari Bahasa Arab yang bermaksud kerosakan ataupun segala perbuatan yang menyebabkan kehancuran kepada kemaslahatan dan manfaat hidup lalu membuat hidup manusia itu susah dan takut. Menurut Didin Hafidhuddin, perbuatan korupsi ini sama teruknya dengan terorisme, begitu dahsyat sekali persamaan yang dibuat.

Jika difikirkan sedalamnya, memang keduanya ada persamaan kerana kedua-duanya membuatkan orang takut, boleh sampai tahap membunuh dan melukai dan merampas harta orang lain. Contoh dalam kes Altantuya, akibat ingin menutupi kes korupsi yang dibuat oleh orang besar itu, Altantuya dibunuh dengan kejam sehingga tiada satu debu mayatnya tinggal untuk diratapi oleh keluarganya.

Namun jika kita melihat pengertian rasuah di dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maksud korupsi itu tidak didefinisikan namun ianya dijelmakan dalam perkataan lain iaitu suapan. “suapan” ertinya—

(a) wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain; (b) apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat; (c) apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liability lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya; (d) apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan; (e) apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga; (f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, termasuk perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan (g) apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f); Selain itu, undang-undang yang menyentuh tentang isu korupsi yang selalu diperdebatkan adalah berkaitan dengan pilihan raya. Isu yang paling kontroversial adalah berkenaan dengan politik wang dimana kelemahan sistem undang-undang kita yang tiada mengehadkan sumbangan politik wang yang diterima oleh calon atau parti politik.

Sudahlah tiada had, malah nama penderma pun tidak perlu didedahkan dan had yang wujud bagi perbelanjaan ketika pilihan raya hanyalah ketika waktu pilihan raya rasmi sahaja sedangkan aktiviti tidak rasmi ketika pilihan raya itu lebih banyak perbelanjaannya.

Sudahnya, korupsi itu bermula ketika si politikus atau pemegang kekuasaan kerajaan menjadi calon ketika pilihan raya sehinggalah beliau menjadi ahli parlimen atau ahli eksekutif yang akan membuat polisi yang akhirnya hanya akan menguatkan sistem undang-undang yang menyebelahi orang-orang yang korup. Ciptalah sistem yang paling hebat di dalam dunia ini namun ia akan tercemar kerana orang-orang yang korup ini yang menguasai pemerintahan.

Jika kita perhalusi lebih dalam, pemain-pemain utama korupsi selalunya adalah dari golongan pemerintah atau penguasa juga orang yang mempunyai otoriti yang mana boleh menggunakan kuasanya untuk memperolehi sesuatu yang lumayan untuk dirinya atau orang lain.

Jadi, jika dilihat di berita-berita yang terpampang, si pembuat korupsi ini adalah bekas perdana menteri, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, pengarah-pengarah syarikat dan juga anggota polis turut menjadi pemain utama dalam arena rasuah ini. Mereka ini banyak dari golongan pemerintah dan sektor swasta.

Ini adalah kerana, korupsi ini dijadikan sebagai instrumen untuk mendapatkan sesuatu imbalan yang lebih secara penipuan dari publik yang menyerahkan sebahagian kebebasan, wang dan kepercayaan mereka kepada orang-orang penguasa ini. Ini dapat dikaitkan dengan ungkapan oleh Lord Acton yang umum tahu iaitu “power tends to corrupt, absolute power corrupts absolutely” yang bermaksud korupsi itu akan terjadi apabila ada penyalahgunaan kuasa. Apabila kuasa itu mutlak atau tiada hadnya, maka akan lebih besar dan banyaklah korupsi yang akan terjadi. Semakin besar jawatan seseorang itu, semakin banyak kuasa yang dipegang maka semakin tinggilah korupsi yang dilakukan.

Berbalik kepada kes Musa Aman tadi, ini adalah contoh yang sangat jelas dimana proses pengadilan itu sendiri menyokong kepada perlakuan korup apabila bekas peguam negara sendiri memfailkan satu affidavit yang membuatkan keputusan mahkamah untuk melepaskan dan membebaskan sama sekali Musa Aman dari pertuduhan-pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dan memutuskan bahawa ia adalah sumbangan politik.

Ada banyak persoalan yang kita boleh lontarkan di sini, salah satunya adalah apakah garis panduan untuk sumbangan politik ini jikalau semua duit yang diperolehi diakui sebagai sumbangan politik? Maka si pelaku korupsi akan dengan mudah terlepas dengan hanya mengaku duit yang diterima adalah sumbangan politik dan terus berhenti sampai situ sahaja.

Dalam membincangkan hal korupsi, kita tidak dapat tidak untuk memberi perhatian kepada si pelaku korupsi itu samada si pemberi atau penerima. Ini adalah kerana sebab yang di atas tadi dimana pelaku-pelaku korupsi ini adalah kebanyakannya dari orang yang memegang tampuk kekuasaan.

Jika kita mengabaikan si pelaku korupsi dan tidak memberi tekanan kepada mereka, maka semakin berleluasalah praktis ini dan mereka inilah yang akan mengubah struktur atau sistem agar mereka terus berbuat korup dengan sewenangnya.

Dalam membayangkan tentang korupsi dengan lebih jelas, kita andaikan situasinya begini: Andaikan berlakunya satu prosiding kes di mahkamah melibatkan golongan pemerintah dan bekas penjawat-penjawat awam. Namun boleh dikatakan, saksi-saksi yang dipanggil kebanyakannya terlibat secara langsung dan ada yang tidak langsung dalam kes rasuah tersebut.

Namun atas sebab di atas, maka pihak yang membanteras rasuah telah menawarkan pampasan atau imuniti kepada saksi-saksi yang ingin dipanggil ke mahkamah agar mereka dapat memberikan kenyataan yang boleh memungkin orang yang didakwa itu dijatuhkan hukuman hanya kerana kerajaan sudah bertukar. Sedangkan, saksi-saksi yang terlibat ini juga ada terlibat dalam perlakuan rasuah tersebut.

Contohnya dalam satu artikel Malaysiakini yang bertajuk “Mahdzir kaitkan Rosmah sebab nak elak didakwa rasuah – Peguam”. Klik. Peguam bela kepada kes ini membangkitkan isu dimana saksi kepada kes ini telah melantik orang tengah untuk berunding dengan pasukan pendakwaan agar beliau sendiri tidak dikenakan apa-apa pertuduhan. Sudahnya, mereka ini terlepas begitu sahaja tanpa diambil apa-apa tindakan.

Mungkin juga sudah tiba masanya kita merenung kembali sejauh mana proses pengadilan di Malaysia ini berkesan dalam membanteras korupsi secara keseleuruhan dan bukan bias kepada pihak tertentu atau kepada pihak pemerintah agar Rule of Law itu dapat ditegakkan dan dipraktikkan dengan berkesan supaya kita dapat cadangkan penambahbaikan yang lebih berkesan dalam meningkatkan martabat keadilan di Malaysia.

Akhir sekali, untuk membanteras isu korupsi ini, bukan dengan menggunakan undang-undang sahaja kerana ia takkan menyelesaikan permasalahan akar kepada isu ini. Namun ia memerlukan kerjasama dan peranan semua pihak iaitu adalah dengan tidak meletakkan sumber kuasa itu sebagai mutlak kepada satu pihak sahaja.

Kita memerlukan "check and balance" dari masyarakat dan para akademik yang lantang membicarakan isu sosial dan juga para mahasiswa dan aktivis anak muda agar terus menulis, mempersoalkan kerajaan dan memberikan kritikan kepada golongan pemerintah.

20 views0 comments
bottom of page