top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

POLISI KEDAI KOPI

Oleh L.



Bunyi mesin pengimbas terhenti - rosak lagi. Satu keluhan kau dengar jelas dari lelaki gemuk berkepala botak dari bilik cetak. Kau diamkan. Helaian kertas di yang kaususun di bahagian tepi meja kauambil lalu kau kepilkan bersama helaian yang baru. Seperti biasa - Azman sedang bertengkar dengan Khairul tentang polisi syarikat yang baru (memotong semua bonus pekerja dan kerja lebih masa). Kata Khairul polisi ini teruk dan Azman tidak bersetuju. Seperti biasa juga, Nazib ketawa kerana ia bodoh (kata Nazib sendiri sewaktu makan tengah hari) dan Liza dari waktu makan tengah hari lagi menghilangkan diri. Seperti seorang Bongsu, kau mengambil sikap berkecuali. Kata Nazib, kau memang anak Tuhan yang bagus. Selalu pasrah. Kau senyum setiap kali dia kata begitu.


Kau duduk kaki bersilang sambil minum kopi. Kopi - selalu buat kau terbang. Kau melintasi awan lalu kauambil cebisannya. Awan besar dan engkau kerdil. Cebisan awan kau gubah jadi sebuah arca. Kau namakan dia, singgahsana di atas awan. Awan empuk dan sejuk. Kau rebahkan badan di atas awan. Rasanya nyaman. Macam seorang lelaki diterima lamaran, kau senyum sendirian.


"Okay semua! Saya ada pengumuman"


Singgahsana di atas awan hilang. Dan kau tersedak kopi. Seorang lelaki tua berkaca mata, kurus dan berambut putih sedang berdiri di hadapan. Dia masih cergas. Kata Siddiq (pekerja baru), lelaki tua ini, idolanya. Bagi kau, kau lebih sukakan Rosyam Nor. Rosyam Nor lebih hebat dan bertenaga. Karut! Itu bukan perbandingan yang tepat, kata Siddiq. Tapi tak apa. Kau tetap memilih Rosyam Nor sebagai idola.


"Syarikat kita sudah terumbang ambing. Kewangan kita semakin teruk"


Lelaki tua (baca : boss) bersuara. Nadanya sugul dan agak perlahan. Ada sedikit getaran. Sepertinya ada cempedak goreng di saluran makanan. Mungkin makan tengah hari tadi.


"Apa yang teruk? Bukan kita ada buat kutipan ke? Mana pergi?"

Suaranya kasar. Kau tahu, itu Khairul.


"Kutipan itu tiada kaitan dengan kewangan. Kita sama sama pulihkan syarikat kita"


Kali ini nadanya sedikit memujuk. Cempedak goreng sepertinya sudah selamat masuk ke dalam perut.


"Kamu semua kena berkorban demi syarikat. Apa salahnya, kalau ikat perut untuk sama - sama majukan syarikat kita?"


Kau tidak faham. Seperti seorang anak kecil yang diajar tentang dunia Sains. Atau Matematik. Kau benar - benar tidak faham. Khairul membentak dan Azman mengangguk. Siddiq memandang lelaki tua dengan penuh rasa kagum. Wajahnya seperti seorang fanatik kpop yang melihat idol di laman web Allkpop. Bercahaya dan berseri. Liza entah ke mana.


Dan engkau - meneguk kopi yang sudah sejuk sambil membuat kira – kira : sama ada kau mahu menjerut perut. Atau leher.

16 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page