top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

PERIHAL PERANGAI MASYARAKAT MELAYU MENGHADAPI WABAK PADA ZAMAN MUNSHI ABDULLAH Oleh: A. Muziru Idham

Ramai orang mengambil remeh tentang konsep takdir, atau barangkali tidak memahaminya secara tepat, sehingga wabak epidemik Covid-19 yang sampai melumpuhkan banyak negara dunia, masih ada lagi yang hendak bermain dengan sentimen agama.


Ada yang bermain-main dengan dengan nama Tuhan untuk menjual air liur dan pengaruh sehingga melemaskan naluri kemanusiaan mereka lalu memejam mata dengan nasib orang lain yang menderita dengan perangai jahil mereka itu dalam soal takdir.


Tetapi tidak wajar jugalah hendak disalahkan ke atas mereka, kerana rupanya mereka "terpaksa" mewarisi genetik kejahilan itu daripada nenek moyang mereka sendiri. Sikap jabariyyah dalam menghadapi wabak penyakit itu bukan sesuatu yang baharu. Munshi Abdullah telah memerikannya pada abad ke-19 dalam Hikayat Abdullah, bahawa,


"...pada tahun itu di Melaka budak-budak terlalu banyak mati daripada serba bangsa sebab penyakit ketumbuhan, hampir-hampir beribu-ribu yang mati."


Tetapi, apabila Inggeris mengajar mereka bagaimana hendak menguruskan penyakit itu, sebilangan mereka ada yang tidak mahu mengikuti saranan tersebut menyebabkan wabak semakin menjadi-jadi dan ramai yang mati.

Mereka bertegas dengan kedegilan mereka dengan memberi alasan,


"Tiada pernah diperbuat nenek moyang; baik-baik tiada penyakit, dibuat penyakit."


Wah, perangai sama tidak tumpah seperti suatu golongan yang Tuhan firmankan dalam al-Qur'an, apabila ditanya tentang laku mereka yang mensyirikkan Tuhan, mereka menjawab bahawa mereka sekadar mewarisi ajaran nenek moyang mereka terdahulu. Nah, inilah contoh perangainya.

Dalam kalangan masyarakat Melaka itu, ada pula yang memberi alasan,


"Jikalau sudah sampai janjinya anak ini mati, jikalau ditanam pun mati juga, jikalau tiada ditanam pun mati juga."


Kalian pernah dengan ayat-ayat yang berbaur sebegini ketika awal gelombang kedua Covid-19 sebelum ini? Ya, perangai sebeginilah rupanya yang terwaris sampai sekarang. Entah kenapa masih ada yang mahu berfikiran seperti ini di tengah-tengah zaman moden serba saintifik ini, ketika wabak ini telah meragut nyawa ramai orang.

Mujur Munshi Abdullah menjawab dengan sangat matang petanda orang yang faham ajaran agama,


"Maka adalah masing-masing manusia dengan fikirnya, tetapi pada fikiran itu bukannya demikian, karena Allah ada memberi ikhtiar kepada kita, maka sekali-kali tiada patut kita meninggalkan ikhtiar. Karena tiap-tiap sesuatu dijadikan bersebab suatu dengan suatu dijadikan-Nya penyakit, maka disebabkan-Nya dengan ubat membaiki akan dia. Maka apabila seseorang berpenyakit, jikalau tiada ia mencari ubat ia meninggalkan ikhtiar. Maka matinya itu teraniaya, seolah-olah ia membunuh dirinya, sebab katanya, "Allah memberi penyakit, Ia juga memberi ubat."


Yang berfikiran sebegini barangkali tidak ramai orang. Tetapi masalahnya sebilangan yang berfikir itu terdiri daripada mereka yang berpengaruh dalam masyarakat kerana mereka datang daripada lingkungan elit agama. Jadi, kesan pengucapan mereka itu boleh mempengaruhi ramai orang, lalu menimbulkan bahana yang lebih besar apabila ramai orang tidak mahu memberi kerjasama dalam menghadapi isu bencana kesihatan ini secara bersama-sama.


Perangai jahil tentang konsep takdir ini melantun-lantun sampai ke sekarang diwariskan. Kenapalah ada di antara kita kena mewarisi kejahilan nenek moyang kita dahulu?

12 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page