top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

PEREMPUAN WATAK SERAM

Oleh Amirah Haziqah.



Thus humanity is male and man defines woman not in herself but as relative to him; she is not regarded as an autonomous being. -The Second Sex, Simone de Beauvoir (1949)


SELESAI menonton Annabelle Comes Home (2019) beberapa minggu lepas, satu persoalan timbul dalam fikiran. Mengapa watak hantu atau lebih senang dengan watak seram sering dipegang oleh perempuan? Fenomena ini bukan sahaja dalam filem-filem di Malaysia sahaja, malahan Siccin (2014) yang tiba-tiba mendapat sambutan rakyat di negara ini juga memainkan peranan perempuan dalam menggerakkan watak-watak yang boleh dikatakan gerun.


Fikiran saya terus ligat adakah kerana fizikal perempuan, berambut panjang jadi apabila dijadikan hantu akan lebih tepat dan sesuai memenuhi kehendak keseraman masyarakat? Atau adakah kerana wanita yang sering dikaitkan dengan haid selaku darah kotor yang keluar dari badan perempuan, maka objektif meletakkan gender perempuan ini bisa membangkitkan elemen-elemen angker? Suatu ketika watak pontianak makin mencanak-canak naik ke panggung. Diikuti pula dengan susuk, saka dan kemudian lebih moden, zombi. Rata-rata menampilkan wajah perempuan berkulit putih tepung, permukaan muka berkerak-kerak ditambah lagi rambut kusut tidak bersikat sampai ke kaki pinggang. Maka kita mula mendapat imaginasi yang lebih jelas kononnya, figura seperti itulah hantu klasik rakyat Malaysia. Sekali lagi, mengapa memilih perempuan? Kenapa bukan seorang lelaki tua bongkok yang boleh jadi tunjang utama filem?


Susuk dan saka, adakah semuanya hanya pada perempuan penggunanya, maka pihak ustaz atau bomoh yang umum tahu datang daripada gender lelaki perlu menyelamatkan mereka dari segala rasukan jin dan syaitan? Tulisan sebuah artikel Susuk, Wanita dan Abjection dalam Filem Seram Kontemporari Melayu memberikan analisis yang sangat baik dalam perkaitan perempuan dengan watak seram. Menggunakan teknik abjection oleh Julia Kristeva (1982) berserta contoh dua filem Malaysia yang mengetengahkan penggunaan susuk sebagai jalan cerita, iaitu filem Susuk (2008) arahan Amir Muhammad dan Naeim Ghalili serta filem arahan Ismail Bob Hashim Sumpahan Kum Kum (2012). Pandangan saya, diskriminasi yang berlaku dalam pemberian watak kepada perempuan dengan watak seram adalah datang daripada sistem patriarki di mana perkara bergerak di dunia perlu stabil dan distabilkan.


Perihal ini berkait dengan peranan dan fizikal perempuan itu sendiri. Ambil contoh dalam filem Susuk dan Sumpahan Kum Kum, kedua-duanya menekankan monstrous feminine. Wajah perempuan yang tidak cantik, jelita selayaknya distabilkan dan dibaiki. Disebabkan pemahaman ini, kedua-dua watak Soraya dan Mila terpaksa menaati dengan tanggapan masyarakat bahawa untuk glamor atau hidup mudah mendapat pasangan perlu sentiasa cantik hingga tahap mengambil jalan menggunakan ilmu hitam. Memetik apa yang ditulis di dalam artikel yang dinyatakan di atas;


Menurut De Beauvoir lagi, monster ditakrifkan sebagai berhubung dengan sistem normaliti dimana ianya merupakan jelmaan ketakutan lelaki terhadap kuasa wanita. Selain itu, Creed (1993) pula berpendapat bahawa ideologi dalam semua filem seram adalah untuk mengalahkan wanita yang abject atau monster dan menubuhkan semula sempadan normal sekaligus memperkukuhkan sistem patriarki sebagai ideologi yang dominan.


Umum kita mengetahui bahawa susuk malahan saka sekalipun, ia dipakai oleh semua lapisan masyarakat, baik lelaki mahupun perempuan. Ataupun Kak Limah boleh saja tidak berseorangan menjadi mangsa awal wabak zombi di Kampung Pisang. Sepertinya apabila kebanyakan filem-filem seram yang hanya menganugerahkan watak tersebut selayaknya buat perempuan, menimbulkan persoalan, adakah kreativiti dalam permainan watak seram untuk dilakukan lelaki terbantut dan tersendat tidak dapat keluarkan daripada pembuat filem di negara ini? Adakah pesona lelaki terlampau perkasa hingga tidak dapat diletakkan sebagai penggerak watak seram? Atau lelaki seharusnya terus-terusan menjadi hero penyelamat kampung dalam melawan segala macam elemen-elemen seram? Persoalan ini amat penting untuk dibereskan, kerana jika tidak, kreativiti industri filem seram Malaysia bisa sahaja jatuh mandom dan sukar untuk berkembang.

98 views0 comments

Comments


bottom of page