Oleh Izzah Dejavu.
PERNAHKAH golongan penyokong Monarki terfikir kenapa institusi diraja di Malaysia mampu bertahan sampai kini? Kenapa orang Melayu masih sayangkan Raja dan mereka seperti terkena sihir penduduk? Kenapakah golongan anti-raja ini begitu anti mengimpikan cita sempurna ini? Jawapan asasnya mudah. Tidak perlu berputar alam sampai kereta terbang, negera merdeka bawah PBB, Kesatuan Eropah, krisis ‘Brexit’ mahupun ‘Joxit’. Tidak perlu sedu sedan aparat dan romantisme ‘lesser evil’ perbuatan korupsi, kejahatan dan keruntuhan moral yang dilakukan para monarki, pembesar dan elit sejarah lalu.
Salah satu faktor utama kejatuhan peradaban Islam Melaka adalah kerana kelemahan kepimpinan Sultan Mahmud Shah, seorang raja yang mengikut nafsu dan berkepentingan diri. Sultan Mahmud Syah juga suka mengambil hak orang lain, tidak adil dalam mengendalikan kehakiman, bersikap zalim, pilih kasih, mementingkan kemewahan dan terlibat dalam penzinaan.
Biar benar ini? Bukan fitnah? Bukan bahan lawak? Atau cerita yang direka-reka?
Pastilah benar. Ini digambarkan dalam wasiat Sultan Alauddin Riayat Syah dimana ia meramal kejatuhan peradaban Islam Melaka di bawah Sultan Mahmud Syah akan menemui kemusnahan jika Sultan Mahmud Syah terus menghukum secara keras. Hal yang sama juga dilakukan sebelum kemangkatan Bendahara Paduka Raja dimana dia menyertakan wasiat kepada Sultan Mahmud Syah supaya tidak terlalu ikut nafsu dan suka dengar fitnah kerana ketika itu Sultan Mahmud Syah itu suka mengambil anak dara, tunangan bahkan isteri orang untuk dijadikan gundik dan tidak pernah insaf sekalipun.
Contohnya apabila Sultan Mahmud Syah telah berlaku curang dengan isteri Tun Baijid dan senang-senang saja untuk meredakan keadaan itu, Sultan Mahmud Syah menghadiahkan gundiknya Tun Iram Sendari kepada Tun Biajid. Itu belum lagi kes penculikan Tun Teja hanya kerana Sultan Mahmud Syah cuma pernah mendengar tentang kecantikannya. Akibat dari nafsu gila perempuan ini juga, Bendahara Tun Mutahir dan keluarganya dibunuh hanya kerana ingin memiliki tubuh Tun Fatimah, meskipun ada pedagang ketika itu mengatakan bahawa ‘barang siapa melihata rupa raja itu ia bertemu dengan Allah Taala.’. Adalah dipercayai juga bahawa raja itu dilantik terus oleh Allah tapi jika di nilai dengan perlakuannya, akal rasional pasti mengatakan tidak. Masakan Tuhan punya nafsu, gila seks lagi?
Lihatlah betapa redahnya taraf pemikiran para pembesar, elit dan monarki ini melakukan perempuan seperti barang, tidak punya nilai. Kerana kedudukan, kekayaan, kemewahan yang ada inilah telah melalaikan Sultan Mahmud Syah dan mereka menjadi berani melakukan apa sahaja terhadap perempuan apatah masyarakatnya.
Keadaan bertambah buruk apabila pegawai-pegawai menteri juga lalai dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap negara sampai gejala rasuah berleluasa kerana terjebak dalam hedonisme ini. Contohnya Hang Nadim telah merasuah seorang pelulut untuk melarikan Tun Teja demi melunaskan kehendak Sultan. Hal yang sama dilakukan oleh Patih Adam untuk memiliki Tun Minda, Tun Hassan Temenggung, Bendahara Tun Mutahir, Laksamana Khoja Hassan juga terlibat dalam memberi dan mengambil rasuah.
Sikap Sultan Mahmud Syah ini bukan perkara baru. Ini digambarkan juga dalam kerajaan Samudera-Pasai apabila Sultan Malikul Mansur merampas gundik Sultan Malikul Tahir, saudaranya sendiri. Lebih teruk lagi dalam adalah apabila Sultan Ahmad berahi pada anaknya sendiri, Tun Medam Peria dan Tun Tekiah Dana. Namun niat bangsat itu sempat dihalang oleh Tun Beraim Bapa, anak Sultan Ahmad sendiri yang akhirnya dihukum bunuh ekoran masuk campur dalam hal itu.
Persoalannya, apakah cerita-cerita begini juga hal baru memasuki tahun 2020 ini? Sendiri fikir dan jawab dalam hati kerana sampai Kiamat pun, golongan Monarki akan mempertahan Akta Hasutan dari dimansuhkan secara total kerana Akta Hasutan adalah alat untuk menakutkan rakyat dari terus bersuara. Dan kita semua tahu, seberapa kuat kita berusaha, seberapa murni niat Monarki pada awam, seberapa banyak selfie dan fesyen baju awam ditayang, sampai kita mati bangun semula, status sosial ini akan terus bertakhta dan bersenang-senang, sedangkan esok pagi, setelah kita habis pesta memuja memuji ada yang tubuh yang terpaksa melacur untuk sesuap nasi.
Itu baru sedikit sekitar kisah di Melaka dan Pasai. Belum lagi di negeri lain. Belum lagi tentang apakah respon masyarakat umum (Maksudnya masyarakat biasa ya, BUKAN kaum Sultan, kerabat diraja, para pembesar dan elit), yang sudah tentu sukar difahami kalau yang menjadi rujukan cuma buku teks SPM/STPM. Jadi kembali pada perkara penting tentang siapa dan apa respon yang dirakam ketika itu?
Nah, dalam Hikayat Abdullah karya utama Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi (Abdullah Munsyi), seorang pemikir di zamannya menulis bagaimana ketika dia melakukan pelayaran menulis tentang kemiskinan di negeri Pahang yang ketika dahulu pernah menjadi negeri yang maju. Hal ini berlaku kerana masyarakat Pahang itu duduk dalam ketakutan akan penganiayaan dari tamak halobanya Raja-raja dan para pembesar ketika itu. Sehingga menjadi perbualan orang kebanyakan(biasa),
“Apa guna rajin kita itu? Maka jikalau kita mendapat sadikit wang atau makanan, nischaya di-lobakan dan di rampas oleh orang besar itu.”
Dalam satu catatan Abdullah Munsyi lagi, beliau mengisahkan pertemuannya dengan masyarakat dan penduduk di Kelantan saat beliau menceritakan bagaimana kehidupannya di Singapura. Dalam percakapan itu, seorang penduduk meminta agar Abdullah Munsyi membawanya bersama ke Singapura kerana dia sudah tidak tahan dengan penganiayaan di negerinya. Maka Abdullah Munsyi bertanya tentang penganiayaan apa. Penduduk di situ tidak berani menjawab pertanyaan Abdullah Munsyi kerana mereka takut sampai pada pengetahuan raja dan mereka akan di bunuh.
Sampailah Abdullah Munsyi memberi jaminan agar mereka tidak takut, maka penduduk di situ bercerita bahawa mereka tidak pernah diberi makan dan minum oleh Raja meski bekerja sehari-hari hanya untuk Raja. Kalau ada perahu, tanaman, hidup-hidupan yang diinginkan Raja, maka Raja akan mengambilnya secara percuma. Lagi, kalau ada harta dan anak perempuan yang baik yang Raja inginkan, tidak ada yang mampu menghalang kehendaknya, kerana barangsiapa yang menghalang akan ditikam mati. Suasana ini dirakam dalam catatan Abdullah Munsyi, bahawa kehidupan masyarakat dek perangai Raja ketika itu seperti dalam Neraka.
Melalui pembacaaan sekitar kisah Monarki di Melaka dan Pasai, keluhan masyarakat awam dalam catatan dan pemerhatian Abdullah Munsyi, tahulah kita bahawa perangai golongan Monarki ini bukanlah hanya pada Sultan Melaka, Pasai dan Pahang. Bahkan juga di Kedah. Kita pasti tidak dapat melupakan dalam Hikayat Merong Mahawangsa diceritakan bagaimana Raja Bersiung membunuh orang tanpa usul periksa hanya kerana mahukan darah gulai dan hati manusia panggang. Kegilaan apakah ini?
Kaki perempuan. Gila seks. Rasuah. Penting Diri. Membunuh. Tidak cerdas. Minum darah dan banyak cerita lain ini pasti tidak akan diceritakan dalam buku teks Sejarah secara tuntas. Maka sebenarnya, tidak hairanlah mengapa golongan Monarki mampu bertahan sehingga kini dan disokong, kerana naratif sejarah yang sampai telahpun dipilih oleh mereka yang berkuasa. Kita harus jelas bahawa perangai-perangai setiap Sultan ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi adalah suatu sosiosejarah kekuasaan yang perlu dikaji secara kritis dengan keberpihakan pada masyarakat banyak.
Lalu ketika orang mengatakan, betapa peliknya anti monarki melihat orang mempertahan Monarki, kita cuma tersenyum sendiri. Ianya bukan tentang anti. Tetapi pegangan kita; dalam setiap perkara apa pun, jika ada orang yang berani-berani menyuruh dan memaksakan kita sembah selain Tuhan; dengan sejarah yang diselindung kebobrokannya ini untuk mempertahankan kuasa sehingga hari ini- sebagai manusia mandiri- sudah pastilah kita tidak akan tunduk pada tuan;- hanya Tuhan.
Comments