top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

PENJELASAN JURNAL SANG PEMULA BERHUBUNG PERANAN MENTERI AGAMA TERHADAP ISU MIGRAN & RASISME

(Wulan: Adalah Kemanusiaan yang Tumbuh Teguh)


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Kami sidang editor media Jurnal Sang Pemula (JSP) ingin merespon secara publik teguran baik dari Setiausaha Akhbar kepada YB Menteri Agama, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang artikel yang dikeluarkan di portal media JSP bertajuk ‘Bayi Perempuan Wulan’ yang ditulis oleh salah seorang penulis JSP. Kenyataan umum ini kami rasakan sangat penting untuk orang awam tahu agar kemaslahatan seluruh umat terjaga dan tersebar di sekalian alam. Ia juga penting agar wacana kritik sosial terus melebar sayapnya di Malaysia.


SUA Menteri Agama mengatakan bahawa tidak ada dikotomi daripada YB Menteri dalam isu penyaluran sumbangan. Malah beliau juga menegaskan jika pihaknya tahu mengenai urusan bayi yang disebut di dalam artikel, pasti pihaknya akan membantu. Dikatakan juga bahawa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih 22,000 migran mendapat sumbangan wang dan barang dapur dan ini boleh dirujuk Kad Laporan yang ada disiarkan di media sosial beliau sendiri.


Persoalan yang ingin dibangkitkan di sini adalah, adakah kerajaan hanya mampu memberikan sumbangan wang dan bantuan barang dapur yang mana badan-badan NGO telah memberikan sumbangan yang lebih banyak kepada komuniti migran iaitu hampir RM450,000 sepanjang PKP ini?


Artikel yang dikeluarkan bertujuan untuk menggerakkan persoalan akan peranan utama kerajaan iaitu melaksanakan sistem yang tidak mendiskriminasi komuniti migran dan mengiktiraf hak asasi mereka sebagai manusia. Contohnya keperluan untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan terutamanya kesihatan ibu dan anak yang sangat ditekankan oleh WHO.


Tambahan pula, barisan menteri terutamanya YB Menteri Agama sepatutnya mengamalkan nilai keadilan kepada semua golongan tanpa mengira status sosial. YB Menteri Agama juga sepatutnya menyatakan sikap dengan jelas, tidak diam dan menegur orang awam terutamanya orang Islam supaya tidak rasis dan xenofobik kepada komuniti marginal seperti migran dan pendatang asing.


Sejujurnya, kami berasa gembira kerana penulisan di portal ini mendapat perhatian kerajaan. Terima kasih kerana memberi maklumbalas dan menghubungi penulis artikel kami. Tujuan penulisan-penulisan di portal Jurnal Sang Pemula ini adalah untuk mengetengahkan isu-isu yang sepatutnya kerajaan ambil tahu dan memberikan pandangan alternatif agar benih-benih kemanusiaan terus tumbuh hidup.


Seperti lirik Yab Sarpote | Benih, begitulah kemanusiaan akan kekal relevan.


Untuk setiap mata yang dibutakan

Untuk setiap suara yang dibungkam

Akan tumbuh jiwa-jiwa baru yang menyuarakannya

Untuk setiap darah yang ditumpahkan

Untuk setiap nyawa yang dihilangkan

Akan hidup jiwa-jiwa baru yang menggantikannya

Bunga-bunga yang digugurkan oleh terik dan hujan

Tak benar-benar mati

Dia ‘kan tumbuh lagi

Sekalipun hidup hanyalah menunda kekalahan

Silakan kubur kami

Kami adalah benih.


Terima kasih,


Sidang Editor Jurnal Sang Pemula

Untuk Pencerahan dan Kesetaraan

12 views
bottom of page