Oleh : Nurfarahin Wahid
KETIKA berdiri di hadapan khayalak, seorang rektor pendidikan dengan lagak mengetahui semua bersedia untuk menerima soalan apa pun daripada audiens. Mengimpikan soalan ‘kritis’ daripada siswa pendidik, rektor itu sudah mengangkat dagu menanti soalan ‘kritis’ dan aras tinggi daripada yang mendengar. Seluruh jagat tahu, pendidikan mana mungkin menggagalkan. Pendidikan adalah untuk membebaskan manusia dari penjara kebodohan dan kemunduran. Pendidikan adalah untuk manusia terus melangkah dalam dunia yang penuh dengan sial dan ketidakadilan. Pendidikan adalah magis yang dimainkan oleh tangan – tangan ahli silap mata hingga akhirnya mengaburi mata manusia. Soalnya, adakah pendidikan menggagalkan? Memenjara manusia dalam ketidakadilan? Jika tidak, adakah pendidikan memecah kebobrokan? Membebaskan manusia dari akar kehinaan dan kecamuk dunia? Adakah pendidikan benar – benar pendidikan?
Lalu, seorang siswa pendidik mengangkat tangan bertanyakan soalan kerana mana mungkin seorang mahasiswa tidak berfikir. Mana mungkin seorang mahasiswa tidak bersuara dan menyumbang idea. Mana mungkin. Soalannya, dalam mengejar gelombang revolusi 4.0 ini, pendidikan masih lagi seperti Pak Pandir. Masih berada di atas pokok berangan jauh semacam sudah berada di Finland. Di era digital ini, segalanya di hujung jari. Seluruh manusia ialah Bill Gates atau setidaknya Mark Zuckerberg. Kelihatan jauh di hadapan bukan? Di tengah – tengah bandar, seluruh sekolah sudah berlari di atas kecanggihan teknologi. Para elitis sudah tidur di atas hamparan buah fikiran Steve Jobs. Namun tuan rektor, saat para elitis bangun tidur dengan pengera telefon, di suatu sudut di hujung jalan, ada yang celik dengan bingit ayam berkokok. Saat elitis teriak marah kerana bekalan elektrik terputus untuk beberapa jam, di hujung kampung, mereka berpanas kerana genset sudah berhari tidak berfungsi. Di saat elitis berlawan menekan papan kekunci, di hujung kampung, mereka tak pernah melihat yang namanya tetikus. Tuan rektor, di sebuah sekolah, lantainya masih kayu dan buku di perpustakaan sudah hancur dimakan anai – anai. Lalu apa ertinya sekolah, tuan? Apa ertinya berenang dalam ombak revolusi kalau keperluan asas sahaja tidak tersediakan? Bukankah pendidikan adalah untuk memecahkan tembok kemunduran?
Pendidikan bersifat sangat elitis. Memanjat gunung revolusi (kononnya) dengan pantas sehingga terlupa ada bukit – bukit kecil yang tak tertawan. Tuan rektor, di tanah elitis jalan raya sudah menghubungkan banyak tempat. Di tanah elitis, bekalan elektrik sudah stabil. Tidak cukup dengan kipas bilah tiga, setiap rumah dilengkapi dengan pendingin hawa. Di tanah elitis, guru tidak lagi mencemar wajah dengan kesan kapur. Namun, sebalik kesibukan kota dan aspirasi menteri Pak Pandir, ada anak – anak yang membaca buku dengan lampu pelita. Ada yang terlentang di ruang tamu dengan pintu terkuak kerana inginkan angin malam. Ada kawasan yang memerlukan masa berhari – hari untuk berada dalam capaian. Ada guru yang tidak mengajar kerana kapur tinggal habuk sahaja. Lalu apa ertinya revolusi tuan? Apa ertinya bersemayam di atas awan digital kalau keperluan utama tidak dapat dinikmati? Adakah pendidikan adalah untuk mereka sang elitis? Bukankah pendidikan itu untuk semua?
Tuan rektor, sepertinya kita sudah tenggelam dalam derasnya teknologi. Sekonyong – konyong mengejar revolusi sedangkan ada yang lemas terkapai – kapai. Tiada yang salah dengan revolusi. Tiada yang salah dengan teknologi. Tidaklah begitu pintar namun bukankah sewajarnya mengejar pembangunan masyarakat di kampung – kampung dan berlari di atas pelangi teknologi itu adalah perlu diseimbangkan. Tidakkah kita sedar bahawa jurang kemajuan antara elitis dengan yang sebaliknya adalah begitu membimbangkan? Bukankah pendidikan adalah untuk mencapai kemajuan?
Di khalayak ramai, rektor berterima kasih mendengar soalan ‘kritis’ seorang siswa pendidik. Mahasiswa sudah semestinya berfikiran kritis. Mana mungkin seorang mahasiswa tidak berfikir. Mana mungkin seorang mahasiwa tidak bersuara dan menyumbang idea. Mana mungkin. Bukankah sedari dulu pendidikan mengajarkan kita untuk berfikiran kritis? Lalu dia katakan, duduk dan belajarlah. Soal ini, bukan untuk kalian fikirkan. Tidak penting dan bukan untuk kamu tanggungjawabkan.
Lalu, apa ertinya pendidikan?
Commentaires