Oleh Andi Suraidah.
SEBAGAIMANA seksualiti wujud dalam spektrum, begitu juga kepimpinan yang boleh dimanifestasikan dalam bentuk maskulin atau feminin atau kedua-duanya. Aku terpanggil untuk menyinggung soal polariti gender dalam jenis kepimpinan.
Aku teringat isi perbualan bersama bekas rakan sekerja yang kini sedang melanjutkan pelajaran di salah sebuah negara Skandinivia. Kami berbicara tentang kepimpinan perempuan dalam bidang yang kami ceburi. Menjadi pemimpin perempuan di tengah-tengah kepimpinan maskulin, benar-benar menjengkelkan. Seperkara yang menjadi tanda tanya waktu itu adalah, kadangkala pemimpin perempuan dalam gerakan hak asasi perempuan terpaksa mengambil jalan mengetengahkan karakter maskulin supaya suara mereka didengari dan pandangan mereka dihormati oleh pemegang taruh lain, walaupun mereka semestinya lebih faham dan pakar akan bidang masing-masing.
Jangan disalahfahamkan, si pemimpin boleh jadi seorang lelaki mahupun perempuan, tetapi amalan kepimpinan mereka boleh jadi maskulin. Kepimpinan maskulin diungkapkan melalui karakter seperti kecekapan dan ketegasan, manakala kepimpinan feminin dikarakterkan sebagai kemahiran lunak (soft skills) dan berbentuk komunal contohnya. Isunya bukan ekspresi kepimpinan tersebut maskulin atau feminin tetapi bentuk-bentuk stereotaip yang mengundang kepada diskriminasi di dalam memilih pucuk kepimpinan. Apabila mendefinisikan pemimpin yang berkesan, ciri-ciri feminin secara tradisinya dianggap sekunder.
Cuba lihat disekeliling kita, berapakah peratus komposisi pemimpin dalam masyarakat akar umbi adalah perempuan? Lanjut lagi, renungkan pula jumlah pemimpin perempuan yang memegang institusi penting negara seperti dalam badan kehakiman, badan pertahanan atau polis dan tentera, Majlis Perbandaran negeri-negeri, posisi-posisi menteri yang genting, seperti Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, antara lainnya. Bagaimana amalan kepimpinan yang akhirnya melayakkan mereka sampai ke posisi tersebut?
Jika kamu membaca tulisan ini sambil mengatakan, Bank Negara Malaysia hari ini dipimpin oleh seorang perempuan, dan buat julung kalinya kita akhirnya mendapat seorang Ketua Hakim negara perempuan, aku ingin tegaskan, sudah tentu ini perubahan yang ditunggu-tunggu, tetapi masih belum cukup. Separuh daripada populasi di Malaysia adalah perempuan, sejarah mencatatkan perempuan sekian lama bergelut dengan diskriminasi penangan patriarki, sistem dan budaya masih sahaja tidak menyediakan ekosistem yang memungkinkan perempuan menyumbang ke tahap maksimum.
Pemimpin perempuan dianggap mempunyai kepimpinan berjenis feminin, yang tidak dianggap kualiti pemimpin, maka dengan itu dianggap tidak bersesuaian memimpin sesetengah posisi penting. Walhal tentu sahaja itu adalah stereotaip. Impak kepada stereotaip inilah yang mengakibatkan kepada penindasan lanjutan. Namun kita juga harus berhati-hati untuk tidak jatuh ke dalam perangkap kepimpinan maskulin. Feminin tidak mesti perempuan, maskulin tidak mesti lelaki. Implikasinya, jika seorang lelaki yang tidak memiliki ciri-ciri kepimpinan maskulin tradisional, jelas akan ada pergeseran yang akhirnya boleh merosak kariernya. Begitu pula perempuan, yang terpaksa memimpin secara maskulin, atau lebih maskulin daripada rakan sekerja lelaki lain yang lazim memimpin berciri maskulin, sehingga terpaksa mengatasi (outdo) pemimpin lelaki untuk maju dalam sistem yang turun-temurun punya kecelaan. Saya sajikan stereotaip ‘perempuan adalah makhluk beremosi, maka tidak layak memimpin’ untuk bacaan anda:
“I don't think a woman should be in any government job whatever. I mean, I really don't. The reason why I do is mainly because they are erratic. And emotional. Men are erratic and emotional, too, but the point is a woman is more likely to be”–President Richard Nixon (Clymer, 2001)
“Here is my dilemma…as a woman in a high public position or seeking the presidency as I am, you have to be aware of how people will judge you for being, quote, ‘emotional.’ And so it's a really delicate balancing act—how you navigate what is still a relatively narrow path—to be yourself, to express yourself, to let your feelings show, but not in a way that triggers all of the negative stereotypes.”–Hillary Rodham Clinton (Clinton, 2016)
Perempuan perlu menakar emosinya di ruangan awam sebagai pemimpin, lelaki tidak? Apabila pemimpin lelaki membuat keputusan ‘beremosi’ , masih saja dia dilihat rasional, cekap dan berkepimpinan. Memang emosi itu hanya ada pada perempuan?
Baru-baru ini pula saya terbaca sebuah artikel yang secara pokoknya menunjukkan bahawa lelaki lebih sering dinaikkan pangkat atau memegang peranan kepimpinan berbanding perempuan walaupun terdapat perbezaan dalam tingkah laku atau prestasi antara kedua-duanya. Pada tahun 2018, satu lagi kajian dijalankan oleh Andrea Vial daripada Universiti New York dan Jaime Napier daripada Universiti New York Abu Dhabi, yang menemukan bahawa lelaki dan perempuan berfikir bahawa pemimpin yang berjaya harus memiliki sifat "agen" positif, seperti kecekapan dan ketegasan, yang stereotaip maskulin. Sifat-sifat komunal yang positif, seperti kebaikan dan kepercayaan, yang secara stereotaip adalah feminin, dipandang kurang penting. Kajian ini tidak menilai sama ada responden percaya bahawa kecekapan adalah "maskulin" dan kebaikan adalah "feminin", tetapi kajian sebelumnya menunjukkan bahawa stereotaip ini wujud. “Telah ditunjukkan bahawa kecekapan lebih dikaitkan dengan lelaki lebih daripada dengan perempuan dalam penyelidikan yang lalu".
Tidak dapat tidak kita simpulkan, berat sebelah gender begitu kental dalam kehidupan sehari-hari masyarakat sehinggakan kepimpinan maskulin lebih diagungkan dan dianggap kepimpinan yang absah. Teori kepimpinan seperti yang kita fahami bertindak sebagai pemacu utama organisasi, perniagaan, dan kejayaan masyarakat, tetapi realiti semasa membuktikan kita masih hidup di dunia di mana kebanyakan pemimpin tidak dinilai secara objektif, dan di mana perbincangan mengenai prestasi pemimpin cenderung dicairkan untuk sesuatu pilihan, politik, atau ideologi.
Banyak kajian dan penelitian berat sebelah ke atas pemimpin perempuan. Pada satu sisi, ia boleh menggambarkan sikap konservatif sosial, sikap anti-feminis dan kecenderungan untuk mengekalkan status tradisional perempuan sebagai penjaga rumahtangga. Sebagai contoh, sikap berlainan terhadap peranan perempuan dalam masyarakat meramalkan tahap sokongan golongan liberal dan konservatif terhadap calon pekerja berjantina perempuan. Perempuan kelihatan tidak sesuai untuk jawatan kepimpinan oleh kerana tanggapan antara stereotaip feminin dan peranan pemimpin. Selain itu, apabila perempuan menunjukkan jenis sifat-sifat yang diperlukan untuk kepimpinan yang berkesan (contohnya, agensi), mereka kadang-kadang dihukum kerana melanggar jangkaan peranan gender. Kesan stereotaip gender boleh menimbulkan kesukaran untuk perempuan berkembang dalam peranan kepimpinan, dan dari masa ke masa memburukkan dan memperlambat kemajuan perempuan dalam hierarki organisasi.
Fenomena ini kembali mengagungkan sistem patriarki yang mengangkat karakter maskulin dan merendahkan karakter feminin dalam hidup manusia. Pemimpin lelaki termasuk rugi kerana kalau dia menonjolkan pimpinan yang tidak maskulin, kemaskulinan nya diragui, walhal kita tidak perlu hanya punya satu jenis karakter. Malah pakar saintis sosial percaya bahawa sifat komunal "akan menentukan pemimpin abad ke-21", menggabungkan kepimpinan maskulin dan feminin.
Comentarios