Oleh: Azura Nasron.
“KITA tidak kecam orang Cina, kita tidak kecam orang India, tetapi kita kecam orang Melayu yang tidak buat apa yang harus dilakukan untuk mengembalikan maruah orang Melayu,” katanya.
Ya, benar Tun. Kita memang kena kecam orang Melayu yang tidak buat apa yang harus dilakukan untuk mengembalikan maruah orang Melayu ini. Mereka ini juga dikenali sebagai elit, Tun. Tapi elit ni bukan Melayu saja, wahai Tun. Ia tidak kira bangsa! Asalkan dia kaya dan berkuasa dialah yang memegang tampuk kekuasaan Tun. Kalau Tun tak faham, mari sini saya berikan contoh.
Di saat mereka sibuk ber-kongres, para peniaga pasar Selayang masih lagi dalam keadaan kekeliruan. Bangunan yang tidak serupa bangunan pasar. Bila kami selidik-selidik patutlah bangunan ini teruk, rupanya pemaju syarikat adalah dari Azam dan Azan Sdn Bhd (AASB). Syarikat ini kecil dan mereka hanya mempunyai pejabat satu tingkat di atas sebuah lot kedai di Ampang.
Pada masa yang sama, tiada apa-apa laman sesawang atau sosial media syarikat untuk menggembar-gemburkan kejayaan syarikat mereka sebagai pemaju terutama dalam tiga tahun kebelakangan ini. Logik pemaju kalau mahu dapat projek, haruslah ‘gebang lebat’ status dan kejayaan mereka. Berikutan ini, tidak hairanlah bangunan pasar baru ini kawasan dalamnya banjir sana-sini. Di tambah dengan lif yang tidak berfungsi, lot kecil setiap kedai. Lebih parah certificate of fitness sampai ke sudah belum muncul.
Jadi akhirnya yang menjadi mangsanya siapa?
Sudahlah peniaga kehilangan punca pendapatan sementara, di tambah pula dengan tuduhan masyarakat luar yang mengatakan mereka tidak bersyukur kerana mempunyai tempat baharu. Ibarat dalam satu lagu Malique, Ku dihukum masuk neraka oleh manusia!
Lalu kita berfikir, sudah kalau tidak punya pengenalan syarikat di laman sesawang, bagaimana mereka bisa mendapat tender projek? Signifikan mempunyai informasi di laman sesawang ini tidak lain tidak bukan untuk mempamerkan kejayaan projek lalu bagi meyakinkan pelabur dan pemberi kontrak. Di sini, kita boleh datang dengan andaian hanya syarikat bumiputera yang bertujuan menggasak kontrak kerajaan yang tidak akan lakukan perkara sebegini.
Maklumlah, menggasak kontrak kerajaan bukanlah susah mana pun. Kalau ada kenalan, seperti mana kenalan dengan Dato' Sri atau orang ternama yang berpangkat dalam politik terkemuka tanah air, sudah pasti mudah dalam mendapat laba. Di peringkat masyarakat, mereka mencanangkan projek lulus atas alasan tender. Hakikatnya, dek kekuasaan elit itu sendiri mereka nebas melakukan apa-apa.
Mudah untuk kita rangkumkan perihal di atas kepada satu nama, iaitu korupsi. Korupsi inilah yang Malaysia gagal untuk menghambat kewujudannya apatah lagi menyusutkan pergerakan ‘aktiviti’ ini. Sejak awal kemerdekaan hinggalah kepada pemerintahan bawah Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan pergerakan korupsi ini masih sama.
Secara tidak langsung, kita boleh katakan pusing-pusing masih benda yang sama berlaku cuma siapa di atas itulah yang menjadi teka-teki dalam mendapatkan ‘harta’.
Korupsi merupakan upaya sengaja melakukan kesalahan atau melalaikan tugas yang diketahui sebagai kewajiban atau tanpa hak menggunakan kekuasaan dengan tujuan memperoleh keuntungan yang sedikit banyak bersifat pribadi.
Kata Syed Hussein Alatas, kesan kepada korupsi ini ada banyak. Antaranya ialah:
Kesan Metastatik iaitu korupsi cenderung makin menyebar dan membesar sehingga pejabat korup cenderung kelihatan lebih besar pengaruhnya dimata orang yang membutuhkannya.
Kesan Perkomplotan, iaitu korupsi cenderung membukakan jalan bagi korupsi lainnya atau menggurita, dimana sinergi antar kelompok akan menjadi semakin berkembang.
Kesan Pemberian Tertentu, iaitu kesan yang ditimbulkan akibat pemberian tertentu dan ini bisa beraneka ragam misalnya korupsi dalam pembelian kapal Tampomas mengakibatkan kualitas kapal buruk dan menimbulkan bencana kemanusiaan karena kapal tersebut tenggelam. Korupsi dalam pembuatan jalan mengakibatkan jalan cepat rusak sehingga akses masyarakat terganggu.
Kesan Penghilangan Potensi, iaitu korupsi yang digunakan untuk projek-projek penguasa sehingga anggaran pembangunan pelayanan publik terpinggirkan.
Kesan Transmutasi, iaitu munculnya pergeseran nilai dimana tokoh korup dianggap sebagai warga kehormatan atau Robinhood bagi sebagian kalangan.
Kesan Pamer, iaitu pamer hasil korupsi seperti perhiasan, rumah mwah dll sehingga korupsi seperti sesuatu yang menguntungkan dan positif.
Kesan Derivasi Kumulatif, iaitu kesan kumulatif yang muncul dari tindakan-tindakan korupsi seperti korupsi yang dilakukan menteri akan banyak membawa kesan bagi kebijakan dan progra di departemennya.
Kesan Psikosentris, iaitu munculnya ketagihan untuk melakukan tindakan korupsi ulang.
Kesan Klikmatis, iaitu munculnya penyimpangan nilai dimana orang-orang yang berjuang secara jujur malah tidak memperoleh reward yang memadai.
Kesan Ekonomis Korupsi, iaitu pemiskinan penduduk melalui penggerogotan ekonomi pemerintah.
Secara sosiologikalnya, korupsi terjadi disebabkan oleh faktor-faktor berikut. Pertama yang paling jelas adalah ketiadaan atau kelemahan kepimpinan dalam posisi-posisi kunci yang mampu memberikan ilham dan mempengaruhi tingkah laku yang menjinakkan korupsi. Sebagaimana yang dinyatakan dalam peribahasa Cina dan Jepun,"Dengan berhembusnya angin, melengkunglah buluh". Kelemahan pengajaran-pengajaran agama dan etika juga merupakan punca korupsi itu berlaku. Di sekolah yang penuh orientasi peperiksaan, anak-anak kecil kurang didedahkan dengan sikap pengajaran agama apatah lagi perihal etika.
Tidak dinafikan sama sekali, kolonialisme. Suatu pemerintah asing tidaklah menggugah kesetiaan dan kepatuhan yang diperlukan untuk membendung korupsi. Faktor kurangnya pendidikan perubahan radikal ini juga memberi kesan yang jarang dibincangkan.
Menurut Syed Hussein di dalam The Sociology of Corruption tatkala suatu sistem nilai mengalami perubahan radikal, korupsi muncul sebagai suatu penyakit transisional. Akhir sekali, keadaan masyarakat juga penyumbang kepada permasalahan ini. Korupsi dalam suatu birokrasi bisa memberikan cerminan keadaan masyarakat keseluruhannya. Faktor-faktor ini sangat bersilang antara satu sama lain, dan untuknya berdiri sendiri adalah sukar.
Berbalik kepada isu yang dibangkitkan tadi soalan paling tersial sekarang adalah apa nasib para peniaga ini dalam masa terdekat ini? Bagaimana dengan mereka yang miskin, yang gajinya cuma RM 50 sehari dalam hasil penjualan mereka? Bagaimana mereka akan meneruskan kerja mereka jika tempat yang diberikan itu langsung tidak memberi faedah untuk mana-mana orang hadir berikutan kekurangan yang banyak pada bangunan itu sendiri? Bagaimana pula keadaan peniaga yang sudah lama berniaga, tiba-tiba permit perniagaan tidak diluluskan? Siapa yang akan sambung memberi hasil pendapatan pada mereka?
Comments