top of page
Search

Pantun Nasihat

  • Writer: Admin Baik Hati
    Admin Baik Hati
  • Jul 14, 2019
  • 1 min read

oleh Ruby Mas.



Seribu batu bau memikat,

Bunga sekuntum buruan kumbang,

Jika mahu saham meningkat,

Jadilah penyumbang bukan penumpang.


Kumbang jatuh di lantai kaca,

Akibat terbang terkhilaf cara,

Bukan banyak pemberat neraca,

Nawaitu ikhlas diambil kira.


Semalu tumbuh bawah ampaian,

Pegang sedikit terluka jari,

Harta rupa mungkin ujian,

Akhlak terpuji pagari diri.


Lilin menyala cepatnya padam,

Tanda penghuni tidur lama,

Dalam hidup jangan berdendam,

Tuan juga mangsa pertama.


Semut lesu mencari gula,

Kerengga leka dengan sarangnya,

Rosak susu kerana nila,

Rosak manusia kerana hatinya.


Matahari pagi cantik menaik,

Tampak indah di air terjun,

Jangan dikata hatimu baik,

Jika kalimah panah beracun.


Anak terubuk umpan jenahak,

Kepala tenggiri dipenggal-penggal,

Tuan sibuk melaung hak,

Kewajipan sendiri ditinggal-tinggal.

 
 
 

Comments


Hak Cipta Terpelihara Jurnal Sang Pemula © 2019 

bottom of page